PENGARAH eksekutif, RMA Design Team Sdn Bhd, Ar Mohamad Ayof Bajuri melibatkan diri dalam industri pembinaan rumah seawal usia di bangku sekolah lagi, apabila sering menolong ayahnya, Bajuri Salleh yang merupakan tukang rumah.

Minatnya dalam bidang itu mula tertanam apabila Mohamad Ayof sering membantu ayahnya membina rumah, sekali gus secara tidak langsung dia mula berjinak-jinak serta memasang impian menjadi seorang arkitek.

"Dari kecil saya terdedah kerja-kerja pembinaan bangunan dan rumah seperti menyusun batu bata, mengangkat simen, kayu, sehinggalah kepada melukis pelan rumah.

"Melihat kepuasan dan hasilnya itu, saya mula rasa seronok dan gembira menyebabkan saya berhasrat untuk menjadi seorang arkitek," katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di pejabatnya di Wangsa Maju, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Selepas melanjutkan pelajaran dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), bekas pelajar Sekolah Tinggi Batu Pahat ini mengambil keputusan untuk menyambung pelajaran dalam Diploma Seni Bina di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Skudai, Johor seterusnya di peringkat Sarjana Muda Seni Bina di universiti yang sama bermula 1987 hingga 1994.

Selepas menamatkan pengajian, Mohamad Ayob bekerja di dua syarikat swasta tempatan selama lima tahun bagi menimba ilmu pengetahuan sebelum mengambil keputusan untuk bersara lebih awal bagi membuka syarikat sendiri.

Daripada wang simpanan dan wang yang diterimanya menerusi Skim Pemberhentian Sukarela (VSS), Mohamad Ayof membuka syarikat dalam perniagaan perunding arkitek pada 1997.

Bermula hanya daripada satu syarikat, Mohamad Ayof berjaya mengembangkan perniagaannya kepada beberapa syarikat termasuk perkhidmatan mencuci bangunan, selepas melihat potensi perniagaan ketika itu.

"Dalam tempoh itulah, saya belajar selok-belok perniagaan dengan memahami pasaran dan permintaan, sehinggalah, saya sedar, saya perlu memberi tumpuan kepada satu perniagaan yang dekat dengan jiwa dan kepakaran saya iaitu seni bina," katanya.

Akhirnya, anak kelahiran Batu Pahat, Johor ini membuka RMA Design Team Sdn Bhd bersama dua lagi rakan kongsinya iaitu Ar Muhamarram Adja Radjeman dan Datuk Ar Saifullizan Osman pada 2003.

Arkitek berusia 48 tahun ini mendapat sijil arkitek profesional ketika berusia 36 tahun iaitu dua tahun selepas menubuhkan syarikat RMA Design Team, yang merupakan syarikat perunding arkitek yang berdaftar di Lembaga Arkitek Malaysia.

Mohamad Ayof mengakui dia berjaya mendapatkan sijil profesional itu selepas mengambil peperiksaan sebanyak dua kali.

Sehingga kini, Mohamad Ayof sudah berkecimpung dalam dunia seni bina selama 14 tahun, yang mana dibentuk selepas pengalaman perniagaan yang dilakukan olehnya sebelum ini.

Peranan jurubina dalam memenuhi kehendak pelanggan

Arkitek atau jurubina ialah orang yang telah dilatih untuk merancang, mereka bentuk bangunan dan menyelia pembinaan. Dalam industri pembinaan, mereka adalah individu yang akan mereka bentuk serta susun atur bagi sesebuah pembangunan.

Setiap reka bentuk yang dihasilkan adalah sangat penting, yang mana secara tidak langsung menyumbang kepada peningkatan jualan unit daripada pembeli bagi projek kediaman mahupun komersial.

Syarikat seni bina memainkan peranan utama di dalam memastikan hasil karya susun atur dan reka bentuk bangunan menjadi kenyataan. Bagaimanapun, reka bentuk yang dihasilkan bukanlah mengikut cita rasa arkitek sebaliknya ianya perlu menepati kehendak pelanggannya.

Siapakah yang menentukan reka bentuk sesuatu bangunan?

Kebelakangan ini bangunan mencakar langit, komersial mahupun perumahan dihasilkan dengan reka bentuk yang moden dan terkini.

Namun, reka bentuk sesebuah pembangunan (bangunan) itu bukanlah bergantung kepada arkitek semata-mata tetapi lebih kepada memenuhi permintaan dan kehendak pelanggan (termasuk pemaju hartanah, pemilik bangunan mahupun individu).

Perkembangan reka bentuk masa kini berlandaskan kepada peradaban masyarakat. Bagi saya setiap reka bentuk pembangunan yang dibangunkan mempunyai tujuan tersendiri kenapa ia dibuat sebegitu dan bukannya bergantung kepada seni bina semata-mata.

Bagaimanapun, apa yang penting, setiap reka bentuk itu sendiri bergantung kepada kos dan cita rasa pelanggan kami.

Seni bina moden yang mudah dijual?

Sebagai arkitek, sebelum membina satu reka bentuk bangunan kita kena memahami keperluan dan kehendak pelanggan. Reka bentuk dan susun atur bergantung kepada pelanggan dan bukannya datang daripada arkitek.

Kami perlu mengetahui konsep dan reka bentuk yang menjadi permintaan dan sambutan pelanggan, juga memahami gaya hidup moden hari ini. Selain itu, kami juga perlu mengambil tahu rekaan bagaimana yang mudah untuk dijual kepada pembeli.

Dewasa ini, reka bentuk gaya moden menjadi pilihan pelanggan bagi projek pembangunan kediaman.

Bagaimana dengan sasaran pelanggan RMA Design Team?

Kami menawarkan perkhidmatan rundingan seni bina kepada pelbagai sektor yang merangkumi syarikat swasta, korporat, badan berkanun, kerajaan sehinggalah kepada individu.

Antara projek yang kami telah reka bentuk adalah seperti  asrama, surau, masjid, kompleks kerajaan, masjid, pangsapuri perkhidmatan , pangsapuri, apartmen, perumahan bertanah, hospital, menara, kuaters, hotel, stesen bas, pembangunan bercampur, kolej dan sekolah.

RMA Design Team juga banyak terlibat di dalam pelbagai projek yang besar dan mega di negara ini. Kesemua tender yang kami peroleh meliputi projek pembangunan di seluruh negara termasuk di Sabah dan Sarawak.

Projek-projek pembinaan yang diterima syarikat?

Sebanyak 90 peratus projek yang kami peroleh datang daripada tender. Dengan syarikat yang dikenali ramai, RMA Design Team berjaya mendapat kepercayaan banyak pelanggan dari dalam negara.

Komitmen dan hasil reka bentuk yang kami lakukan mampu mengukuhkan kedudukan syarikat di pasaran tempatan. Bagaimanapun, tender itu bergantung kepada rezeki masing-masing. Bagi memastikan syarikat terus bertahan, kami akan memastikan bahawa syarikat akan mendapat sekurang-kurangnya satu tender dalam setahun.

Dalam syarikat seni bina, kami tidak mendapat keuntungan dalam tempoh yang singkat sebaliknya dalam tempoh yang lama, sebab itu kekerapan tender itu memainkan peranan untuk kami bertahan di dalam pasaran, sekali gus mengukuhkan kedudukan syarikat di dalam pasaran tempatan untuk terus merebut peluang-peluang yang ada pada masa akan datang.

Harapan untuk syarikat pada masa akan datang?

Saya mahu memastikan syarikat terus maju dan diuruskan oleh kakitangan yang mempunyai potensi baik dalam bidang ini khususnya pengurusan syarikat, yang bakal menerajui RMA Design Team.

Saya mahu syarikat ini diambil alih oleh seorang yang berpengalaman dan berpengetahuan tinggi dalam industri supaya dapat membawa jenama dan nama syarikat ke peringkat lebih tinggi.

Seperti mana-mana syarikat, sudah tentu saya mahu RMA Design Team menjadi syarikat perunding arkitek yang dikenali di seluruh negara pada masa akan datang.

Cabaran dan dorongan kejayaan hari ini?

Faktor pendorong utama di dalam industri perunding arkitek ini adalah keluarga yang sentiasa memahami saya. Juga kepada rakan kongsi yang saling sentiasa mempunyai kepercayaan dan memahami antara satu sama lain.

Selain itu, kerjasama yang gigih secara berpasukan oleh 35 kakitangan RMA Design Team juga menjadi pendorong dan tulang belakang syarikat kejayaan kami selama ini.