SEAWAL usia 17 tahun, Syaifulloh Imam Muhtasari terpaksa menggalas tanggungjawab besar apabila bapanya meninggal dunia akibat leukemia pada 2005.

Sebagai anak lelaki pertama dalam keluarga, Pengarah Urusan Maju Group of Companies itu terpaksa mengambil alih tugas sebagai ketua keluarga dan pada masa sama juga menguruskan syarikat kontraktor milik arwah bapanya itu yang berusia lebih dua dekad.

“Sudahlah baru kehilangan bapa, kami sekeluarga terpaksa pula berdepan dengan tragedi ‘hitam’ apabila rakan kongsi syarikat bapa ‘meninggalkan’ kami dengan liabiliti bernilai jutaan ringgit sehinggakan membuatkan kami jatuh terduduk.

“Ibu saya ketika itu suri rumah dan memang tidak tahu tentang dunia pembinaan serta perniagaan bapa. Pada usia itu, saya terlalu muda untuk menguruskan syarikat dan tidak tahu selok-belok perniagaan. Namun, saya bernasib baik kerana sudah didedahkan dengan dunia kontraktor dengan turun ke tapak pembinaan sejak usia 15 tahun lagi oleh arwah bapa,” katanya.

Atas sokongan keluarga dan rakan, Syaifulloh yang lebih dikenali sebagai Saif Muhtar, 29, akhirnya nekad menguruskan legasi perniagaan tinggalan arwah bapanya didorong oleh rasa tanggungjawab untuk melunaskan liabiliti bernilai jutaan ringgit, selain sebagai sumber rezeki keluarga.

Walaupun bekerja, anak jati Klang, Selangor itu tetap meneruskan pembelajarannya bagi menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Saya berusaha melangsaikan hutang syarikat dengan pembekal dan pada masa sama, menyiapkan projek rumah yang belum siap atas rasa tanggungjawab.

“Ia bukan sesuatu yang mudah dan saya juga pernah berputus asa dengan memohon bekerja sebagai pembantu stesen minyak. Namun, berkat dorong keluarga dan rakan yang percayakan saya, akhirnya saya bangkit meneruskan perniagaan keluarga,” katanya.

Selain itu, Saif Muhtar juga berpengalaman mengendalikan tiga syarikat pembinaannya sendiri bersama beberapa rakan kongsi.

“Walaupun tidak mendapat pendidikan formal dalam bidang pembinaan, namun saya banyak belajar secara tidak formal daripada arwah bapa dan ketika belajar di Indonesia.

“Malah, saya didedahkan dengan Sistem Binaan Berindustri (IBS) sejak di Indonesia lagi, sebelum sistem ini memasuki Malaysia. Disebabkan itu, ketika mengambil alih perniagaan arwah bapa, saya mengguna pakai sistem IBS dalam pembinaan bangunan,” katanya.

Sepanjang 12 tahun dalam industri pembinaan, Saif Muhtar membangunkan lebih 100 rumah menerusi kaedah konvensional menggunakan batu bata mahupun sistem IBS.

Kini, menerusi Maju Group of Companies yang ditubuhkan awal 2016, Saif Muhtar bersama rakan kongsinya membangunkan projek pembangunan hartanah, pembinaan menerusi sistem IBS, kontraktor am, pengubahsuaian bangunan, kerja-kerja elektrikal, hiasan dalaman dan lain-lain.

Maju Group of Companies merupakan gabungan lima syarikat kontraktor termasuk sebuah syarikat miliknya, Masjaya Eco Construction Sdn Bhd dan syarikat milik keluarganya, IBS Focus Construction, selain Maju Era Development Sdn Bhd, Max Electrical & Supply Engineering Sdn Bhd dan Maju Cekap Construction Sdn Bhd.