HOMESTAY tumbuh umpama cendawan selepas hujan. Banyak pilihan homestay mula dibangunkan dengan keunikan tersendiri bagi menarik lebih ramai pengunjung. Trend homestay kontena juga menjadi salah satu daripadanya.

Pemilik Homestay Kontena Melaka, Shafie Bustan berkongsi tip dan panduan lengkap bagi membina homestay kontena dengan harga murah.

Kenapa perlu pilih homestay kontena?

Salah satunya untuk tampak lebih kasual dan menarik, selain harganya yang lebih murah. Malah, proses pembinaan lebih cepat memandangkan kontena adalah jenis mudah alih, boleh dipindahkan ke mana-mana lokasi.

Perkara paling penting adalah mengetahui saiz kontena, hanya ada dua saiz sahaja iaitu 40 kaki atau 20 kaki panjang. Manakala, lebar lebih kurang sembilan kaki.

Cari kontena yang tidak lagi sesuai untuk digunakan untuk mengangkut barang (terpakai) kerana harganya jauh lebih murah berbanding dengan yang baru.

Di manakah kontena boleh diperoleh dan berapa harganya?

Terdapat banyak harga kontena dalam pasaran. Jadi untuk mendapatkan harga murah haruslah bertanya kepada dua atau tiga pembekal, pasti akan mendapat harga yang perbezaan dalam sebut harga.

Shafie

Semua kontena sama sahaja sebab kontena yang dibeli ini sudah dipakai dan keadaan serta rupa kontena sememangnya tidak elok. Terdapat dua saiz kontena, 20 kaki RM3,500 hingga RM4,500 dan kontena 40 kaki bermula RM6,000 hingga RM7,500. Bagi yang tidak tahu di mana mencari pembekal, boleh layari iklan di www.mudah.my atau www.kontenamurah.com.

Kos penghantaran kontena? 

Kos penghantaran, ia perlu ditanggung oleh pembeli. Ada dua tempat yang anda boleh beli iaitu di Pelabuhan Klang atau di Pasir Gudang. Ini boleh rujuk kepada kawasan terdekat kontena itu hendak dihantar.

Kos penghantaran satu kontena 40 kaki adalah RM1,000 dari Pelabuhan Klang ke Melaka. Sekiranya jarak tempat lebih jauh, maka kos penghantaran juga lebih tinggi.

Sebelum penghantaran, perlu dipastikan tapak untuk letak kontena ini telah siap dan kren (yang disewa) perlu tersedia bagi mengangkat kontena daripada lori. Harga sewa kren biasanya RM800 (separuh hari) tidak bergantung kepada jumlah kontena yang ingin diangkat.

Langkah pertama pembinaan homestay kontena?

Sebelum kontena sampai, penyediaan tapak bagi meletakkan kontena perlu dibuat yang dikenali sebagai proses footing, yang mana konkrit perlu ditanam di dalam tanah.

Perkara yang perlu dititik beratkan adalah ukuran. Setiap ukuran perlulah tepat! Jika tidak, kedudukan kontena dikhuatiri tidak seimbang kelak.

Bermula dari sini, kerja-kerja pembinaan boleh terus dilakukan berdasarkan kepada reka bentuk yang disediakan kepada kontraktor. Pemantauan pemilik homestay diperlukan dalam proses ini.

Selain itu, dalam penyediaan tapak untuk kontena, perlu diambil kira saluran longkang, air kumbahan selain kos-kos dalaman kontena seperti pendingin hawa, langsir dan lantai.

Pemilik Homestay Kontena Melaka melengkapkan ruang dalaman dengan kemudahan seperti di hotel.

Kontena panas, bagaimana cara elak kepanasan itu?

Ramai yang beranggapan bahawa duduk dalam kontena ini terlalu panas sehingga tidak sesuai untuk dijadikan tempat tinggal.

Banyak artikel yang saya baca tentang cara-cara mengurangkan kepanasan dalam kontena. Antara yang jimat kos adalah dengan tanam pokok-pokok supaya tempat tersebut lebih redup. Tetapi, bagi Homestay Kontena Melaka, saya menggunakan heat insulation jenis aluminium fiber, yang sudah terbukti dapat mengurangkan kepanasan.

Manakala, dinding kontena menggunakan OSB Board, mudah dan senang dipasang dengan harga sekeping (4x8kaki) RM49 (waterproof) dan RM39 (bukan waterproof).

Kos wiring setiap kontena?

Selepas reka bentuk selesai, pemilik perlu tahu kos pendawaian. Untuk mendapatkan harga yang berpatutan, boleh rujuk kepada beberapa kontraktor di kawasan tersebut.

Bagi homestay ini, saya pilih sebut harga terendah yang ditawarkan iaitu RM1,000 bagi setiap unit kontena bersamaan RM4,000 bagi empat kontena (fasa pertama).

Tarikan lain yang perlu dibuat bagi menarik pengunjung?

Dalam dunia homestay, kita perlu bijak mencari daya tarikan orang luar untuk datang berkunjung. Selain menggunakan platform laman sosial Facebook di Homestay Kontena Melaka, pada awalnya lagi saya telah rancang untuk buat lukisan 3D di tembok pagar kawasan homestay tersebut.

Pelukis 3D ini diterbangkan khas dari Indonesia untuk melukis kerana kos upah jauh lebih murah berbanding pelukis di sini.

Pemilik homestay kontena perlu menyediakan fasiliti mesra keluarga untuk keselesaan pengunjung.

Selain itu, Homestay Kontena Melaka juga mempunyai kolam renang bagi menjadikan percutian keluarga khususnya yang ada anak-anak lebih menarik.

Berapa kos keseluruhan membina homestay kontena?

Satu unit kontena berukuran 20 kaki akan memerlukan RM15,000 hingga RM20,000 bergantung kepada reka bentuk dan bahan yang digunakan dalam kontena.

Bagi Homestay Kontena Melaka, saya banyak membeli barangan sendiri agar lebih jimat dan murah.

Kalau mahukan kontena yang cantik dan kemas, bajet lebih kurang RM20,000 seunit.