SELAMA 28 tahun dalam sektor hartanah, Maju Holdings Sdn Bhd (Maju Holdings) terus memberikan saingan kepada syarikat hartanah terkemuka di negara ini.

Projek utama pemangkin kepada kejayaannya kini adalah pembangunan Bandar Tasik Selatan di Kuala Lumpur meliputi bangunan komersial, residen dan Terminal Bersepadu Selatan, sekali gus melonjakkan namanya dalam industri hartanah.

Selain itu, Maju Group juga menguasai projek pembangunan di beberapa negeri seperti Johor dan Terengganu serta terlibat dalam pelbagai projek pembangunan premis kerajaan. Ikuti perkongsian bersama Pengerusi Eksekutif Kumpulan Maju Holdings, Tan Sri Abu Sahid Mohamed.

Lebih dua dekad dalam industri, boleh ceritakan pencapaian projek pembangunan besar yang berjaya disiapkan di bawah Maju Holdings?

Maju Holdings bermula dalam bidang hartanah pada 1989 dengan pembangunan Bandar Tasik Selatan di Kuala Lumpur melibatkan tanah seluas 85.39 hektar, yang menjadi projek pertama kami. Projek pertama di Bandar Tasik Selatan adalah rumah teres dua tingkat dan rumah kedai. Pada masa itu, harga jualan rumah adalah sekitar RM146,000 pada tahun 1990 atau 1991, namun kini harga pasaran rumah di situ melonjak ke RM900,000 ke RM1.1 juta.

[ARTIKEL BERKAITAN: Maju Holdings pemaju hartanah berjaya

Selain itu, kami juga syarikat hartanah yang membangunkan kondominium pertama di atas tanah rizab Melayu iaitu di Bukit Saujana, Johor Bahru, Johor sekitar 1990-an dan hanya menjual unit ini kepada orang Melayu sahaja. Kemudian, kami juga terlibat projek pembangunan rumah pekerja di Terengganu.

Untuk pembangunan Bandar Tasik Selatan, adakah ia telah siap sepenuhnya?

Ia masih belum lengkap sepenuhnya. Pembangunan Bandar Tasik Selatan melibatkan lapan fasa. Fasa satu hingga empat dan tujuh serta lapan telah siap. Manakala, fasa enam pula melibatkan pembangunan South Lake Residence. Bakinya, iaitu fasa lima yang melibatkan 2.02 hektar masih belum dibangunkan. Kami sedang membuat pertimbangan untuk membangunkan pusat penjagaan kesihatan di situ.

Mungkin kami akan bina hospital atau tempat bersalin sebab tanah itu agak kecil. Kami jangkakan pembinaan akan bermula setahun atau dua tahun lagi dan kami perlu mendapatkan kelulusan Kementerian Kesihatan jika ingin membangunkan pusat penjagaan kesihatan di sini. Apabila fasa lima ini siap, maka pembangunan Bandar Tasik Selatan telah lengkap sepenuhnya.

Projek pembangunan sedang dijalankan pada masa ini?

Pada masa ini, kami sedang rancak menyiapkan projek pembangunan bercampur di Kuala Lumpur yang melibatkan nilai pembangunan kasar (GDV) RM6 bilion yang dijangka siap pada pertengahan 2020. Projek ini merangkumi bangunan komersial dan residen bertingkat.

Kami membangunkan 4,200 unit banglo dua tingkat di bangunan 30 tingkat ini. Rumah ini dilengkapi separa perabot antaranya dapur, kabinet dapur, peti ais, mesin basuh, ketuhar gelombang mikro, televisyen, pemanas air dan pendingin hawa. Dalam projek pembangunan ini juga, kami akan membangunkan panggung wayang, medan selera dan lain-lain.

Boleh kongsikan projek pembangunan Maju Holdings pada masa depan?

Pada Jun tahun depan, kami akan memulakan projek pembangunan bercampur di Salak South, Kuala Lumpur melibatkan 6,000 unit kediaman. Menariknya, keunikan di sini adalah pembangunan sekolah antarabangsa dan kami akan buka kepada mana-mana pihak atau sekolah yang berhasrat untuk membeli atau menyewa bangunan ini apabila ia siap kelak.

Selain itu, di Johor, kami mempunyai 452.44 hektar tanah yang belum dibangunkan lagi iaitu di kawasan Ulu Tiram. Keluasannya hampir menyamai kawasan Subang Jaya dan USJ. Kami sudah mendapat kelulusan untuk membangunkan padang golf di sini dan merancang untuk membangunkan sekolah rendah dan pembangunan-pembangunan lain.

Bagaimana dengan perancangan syarikat untuk pembangunan rumah kos rendah bagi membolehkan lebih ramai memiliki kediaman sendiri?

Sebagai peniaga, kami memang bertanggungjawab untuk membantu orang kurang bernasib baik. Dalam projek pembangunan Bandar Tasik Selatan sebelum ini, kami diwajibkan untuk membangunkan 760 unit rumah kos rendah, tetapi kami telah membina 1,904 unit rumah kos rendah, iaitu lebih tinggi daripada yang diwajibkan pihak berkuasa bagi membolehkan kami membantu golongan kurang berkemampuan memiliki kediaman.

Kira-kira 200 unit kediaman ini dijual kepada pekerja-pekerja Maju Holdings dan rakan-rakan yang berpendapatan rendah, selebihnya dijual oleh pihak berkuasa tempatan.

Usaha dilakukan bagi membantu lebih ramai orang memiliki kediaman sendiri?

Pada awal tahun ini, Maju Holdings memperkenalkan program pemilikan rumah yang unik, dikenali sebagai OwnitNow sempena pelancaran pembangunan bersepadu Sky Five, Maju Kuala Lumpur.

Menerusi program ini, pembeli boleh membayar RM2,000 dan menandatangani perjanjian jual beli (SPA) dengan segera bagi memiliki apartmen tiga bilik dengan keluasan 882 kaki persegi pada harga bermula RM590,000. Untuk bayaran pendahuluan 10 peratus pula, ia akan dibayar secara bulanan selama 42 bulan tanpa kadar faedah.