Memilih untuk fokus pada kepakaran penyiasatan tanah, geoteknikal, menjadikan MMA Tech Engineering Sdn Bhd (MMA Tech Engineering) yang diasaskan oleh Zakaria Abdullah, berjaya memperoleh pelbagai projek berimpak tinggi di negara ini.

Biarpun baru berusia tujuh tahun di dalam industri, syarikat ini tetap boleh dibanggakan kerana menjadi antara kontraktor yang sering diberi kepercayaan untuk membuat penyiasatan tanah bagi projek besar di negara ini. Ikuti perkongsian bersama Pengarah Urusannya, Zakaria Abdullah.

Boleh jelaskan mengenai bidang kepakaran MMA Tech Engineering?

Kami mempunyai dua kepakaran, iaitu menyediakan perkhidmatan kerja-kerja penyiasatan tanah dan pembaikan  cerun. Kerja penyiasatan tanah di lakukan dengan memperoleh maklumat keadaan bawah tanah sebelum sesuatu projek boleh dilaksanakan, data ini dapat membantu pihak jurutera dalam merancang reka bentuk dan anggaran sesuatu kos projek. Kerja pembaikan cerun pula, MMA Tech Engineering sering mendapat projek membaiki cerun yang di kebanyakan lebuh raya di Malaysia.

Bagaimana proses penyiasatan tanah dijalankan?

Penyiasatan tanah dilakukan dengan menggerudi tanah pada kedalaman tertentu menggunakan mesin pengorek. Ujian tertentu dilakukan dan sampel  juga diambil dan data ini direkodkan dan dianalisis oleh ahli geologist bertauliah.

Kedalaman lubang gerudi boleh mencecah 100 meter bergantung pada keadaan tapak dan jenis infrastruktur yang hendak dibina.

Antara proses penyiasatan tanah menggunakan mesin pengorek.

Sampel tanah dan batu yang diperolehi akan dibawa ke makmal untuk ujian seterusnya. Data yang diperolehi digunakan oleh jurutera untuk perancangan rekabentuk .

Kami juga pakar dalam penyelenggaraan cerun terutama untuk konsesi lebuh raya di negara ini. Antara pelanggan kami ialah Plus, UEM Edgenta, Ecovast, Gamuda Berhad dan Jabatan Kerja Raya (JKR).

Berapakah lama tempoh masa yang diperlukan untuk sesebuah projek?

Tempohnya bergantung kepada keluasan tapak dan permintaan pelanggan sendiri. Selalunya dari seminggu ke dua bulan diperlukan untuk jalankan kerja-kerja penyiasatan tanah. Jika tempoh singkat diberikan, kami memerlukan mesin yang lebih banyak untuk menjalani operasi tersebut. Namun sekiranya tempoh yang agak panjang, memadai  satu atau dua mesin sahaja yang diperlukan.

Apakah cabaran yang perlu dilalui?

Cabaran banyak dari segi teknikal, logistik dan masalah di tapak. Contoh untuk projek lebuh raya, kami pernah meredah hutan simpan di belakang Bukit Ampang, selama enam bulan bagi melakukan penyiasatan di lokasi yang telah ditentukan oleh jurutera. Oleh kerana tiada laluan, kami terpaksa menarik mesin pengorek sedikit demi sedikit sepanjang laluan yang mahu dibina di situ tanpa merosakkan pokok di hutan.

Kerja penyelenggaraan cerun dijalankan pekerja MMA Tech Engineering.

Lain pula penyiasatan dalam sungai bagi projek membina jambatan, perlu melalui air serta hujan. Apa kami buat adalah menarik mesin pengorek di atas floating poonton.

Selain itu, jika pembangunan di Kuala Lumpur, cabaran trafik dan perkhidmatan bawah tanah perlu dilalui contohnya kabel Telekom Malaysia dan kabel Tenaga Nasional Berhad.

Sebelum memulakan pengorekan, kami terelbih dulu perlu imbas dahulu keadaan dalam tanah dengan mesin pengimbas untuk memastikan kawasan tersebut selamat untuk dikorek tanpa jejas kabel yang ada.

Boleh kongsikan antara projek yang telah dan sedang dijalankan syarikat?

Banyak projek yang berjaya kami selesaikan, antaranya projek Transit Aliran Masa (MRT), Transit Aliran Ringan (LRT), projek apartmen di Parcel Z, Putrajaya, Kolam Takungan Aliran Air Banjir di Lembangan Sungai Selangor dan penyiasatan tanah di Jalan Cochrane, Kuala Lumpur.

Projek sedang dibangunkan antaranya Jambatan Kerian, Kuala Krai, Kelantan; projek MRT Sungai Besi-Ulu Kelang dan projek menambah lorong jalan di Lebuh Raya Utara Selatan (Plus) untuk laluan Sungkai ke Slim River, Perak.

Apakah harapan MMA Tech Engineering pada masa depan?

Sebagai sebuah syarikat, saya mahu memastikan perniagaan kukuh dan sentiasa stabil walaupun berhadapan dengan keadaan ekonomi negara tidak menentu.

Untuk mencapai hasrat itu, kami di MMA Tech Engineering perlu memastikan hasil kerja yang terbaik supaya pelanggan terus mempercayai kerja kami dan sedia bekerjasama untuk projek seterusnya.

Zakaria sentiasa memantau dan berbincang dengan pekerjanya bagi sebarang projek akan dan sedang dijalankan.

Pada masa sama saya juga menyasarkan peningkatan pendapatan syarikat yang melebihi RM20 juta setahun.