MEMILIKI kediaman yang memenuhi citarasa adalah impian setiap orang.

Tidak sekadar menjadikannya tempat tinggal, sebuah rumah sebenarnya merangkumi pelbagai aspek kehidupan kerana kediaman adalah jantung kepada setiap penghuninya.

Memahami kehendak dan keperluan ini, IJM Land dan Amona Development bergabung menyediakan kediaman sempurna untuk kehidupan harian khusus buat kumpulan sasar iaitu golongan profesional muda yang mahu memiliki kediaman sendiri.

Justeru, melalui pembangunan perumahan Suria Pantai, impian berada dalam sebuah rumah yang selesa dan selamat di Kuala Lumpur pada harga bukan jutaan ringgit bukan mustahil!

Penyelesaian sempurna

Menerusi projek ini, IJM Land dan Amona Development komited memberi penyelesaian sempurna bagi mengatasi kebimbangan masyarakat yang kurang mampu untuk memiliki rumah sendiri dengan menawarkan kediaman di lokasi strategik tapi mampu milik.

Suria Pantai adalah projek paling ideal  usahasama IJM Land dan Amona Development.

Pengurus Besar Kanan (Wilayah Tengah) IJM Land, Datuk Hoo Kim See berkata, apabila sesebuah bandar yang dibina mempunyai hab komersial dan pelbagai kemudahan lain, maka kos untuk mendiami kawasan tersebut menjadi lebih tinggi.

"Hal ini menyebabkan kebanyakan golongan muda kurang mampu bagi membeli kediaman di kawasan sebegitu. Namun demikian, IJM Land dan Amona Development menyokong inisiatif kerajaan iaitu Rumah Mampu Milik Wilayah Persekutuan (RUMAWIP) bagi memenuhi keperluan generasi muda memiliki rumah mereka sendiri.

 

"Justeru, IJM Land dan Amona Development sepakat membangunkan perumahan Suria Pantai iaitu kediaman pada harga sekitar RM275,000," katanya.

Beliau berkata, menerusi pembangunan projek ini jelas memperlihatkan komitmen syarikat dalam menyokong usaha kerajaan membangunkan kediaman dengan harga yang berpatutan untuk generasi muda.

Terletak di Segitiga Emas Baharu

Kim See berkata, Perumahan Suria Pantai terletak di Segitiga Emas Baharu, Kuala Lumpur iaitu berdekatan laluan perhubungan sekitar 3 kilometer (KM) untuk ke Mid Valley dan 5KM ke KL Sentral.

"Nilai hartanah pembangunan di sekitar kawasan tersebut boleh mencecah jutaan ringgit. Namun, harga yang kami tawarkan amat berpatutan. Ia sangat  berbaloi untuk dimiliki dan tidak boleh dilepaskan,” katanya.

Jelasnya, Suria Pantai bakal mendapat manfaat besar dari Persimpangan Pantai Sentral Park yang akan siap dibina pada suku keempat tahun ini di mana ia akan menghubungkan pemilik rumah ke kawasan tumpuan utama seperti KL, Petaling Jaya, Bangsar, Cheras, Subang dan Sunway.

"Dengan keseluruhan kediaman berjumlah 896 unit, Suria Pantai merupakan kediaman berkepadatan rendah menawarkan keluasan rumah berukuran 810 kaki persegi, dan memiliki ketinggian 34 tingkat yang mana setiap tingkat mempunyai 26 unit rumah.

"Ia direka dengan menawarkan tiga bilik tidur dan dua bilik mandi bagi memenuhi keperluan setiap pembeli rumah sama ada golongan bujang profesional, pasangan berkahwin mahupun mereka yang sudah berkeluarga.  Setiap unit datang dengan satu ruang parkir bertutup. Kediaman ini juga akan mempunyai kemudahan lain antaranya kolam renang, taman permainan, dan dewan serbaguna untuk pelbagai aktiviti," katanya.

Selain itu katanya, penghuni akan mendapat jaminan servis keselamatan daripada pemaju menerusi perkhidmatan pengawal keselamatan bagi kediaman.

 'Bonus' kepada pencinta alam

Berada berdekatan Taman Rimba Bukit Kerinchi, sebuah rizab hutan seluas  80 hektar di pinggir kawasan perumahan menjadikan Suria Pantai antara kawasan tumpuan.

Kim See berkata, keberadaan kawasan hijau rizab berkenaan bakal memberi keseronokan tersendiri kepada pencinta alam untuk melakukan aktiviti riadah seperti mendaki bukit, jogging, dan berbasikal sambil menikmati suasana damai dengan  kehijauan khazanah hutan yang masih tersimpan.

"Justeru, Bukit Kerinchi pastinya menjadi pilihan untuk penduduk lari sebentar daripada kesibukan kota. Berada di dalam kediaman Suria Pantai, penghuni akan bangun tidur ditemani udara pagi serta kicauan burung yang memberikan ketenangan sebelum memulakan hari.

"Persekitaran semula jadi yang mampu menyediakan udara segar cukup untuk menjauhkan penghuni daripada hiruk-pikuk kota. Persekitaran sebegitu, meluangkan masa bersama yang tersayang menjadi lebih bermakna. Pemilik rumah pasti gembira berada berdekatan alam semula jadi dengan

kemudahan antaranya pusat beli-belah, institusi pendidikan, hospital dan klinik, pasar raya, hotel, kelab golf dan taman rekreasi," katanya.

Segala-galanya tersedia

Tambahnya, pemilik rumah yang mempunyai anak-anak boleh menarik nafas lega kerana terdapat beberapa sekolah berdekatan iaitu SK Bangsar dan SMK Seri Pantai dengan jarak kira-kira 2KM dari Suria Pantai.

"Selain itu, berada berdekatan pusat membeli-belah seperti Mid Valley, KL Gateway, Aeon Prime serta kemudahan bank membantu memudahkan urusan harian

"Perumahan ini juga terletak secara strategik berhampiran stesen kereta api laluan LRT dan KTM seperti stesen KL Sentral, stesen LRT Universiti dan stesen KTM Pantai Dalam.

Kemudahan lain  yang berdekatan termasuklah institusi pendidikan seperti Universiti Malaya serta pusat penjagaan kesihatan seperti Pusat Perubatan Universiti Malaya, Hospital Perubatan Pantai dan Hospital Columbia.

"Individu dengan pendapatan bulanan kurang daripada RM10,000 atau gabungan pendapatan isi rumah tidak lebih RM15,000 layak memiliki kediaman ini dengan syarat mereka kini bekerja dan menetap di Wilayah Persekutuan.

Pembangunan hartanah ini kini dibuka untuk pendaftaran melalui portal rasmi Suria Pantai dan bakal pembeli boleh berkunjung ke galeri jualan, Galeri ICE Pantai Sentral Park di Jalan Pantai Sentral Kuala Lumpur," katanya.