SEPULUH tahun menceburkan diri dalam bidang pembinaan sebagai syarikat kontraktor Kelas G2 di bawah Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) sejak 2007, Sinar Rezeki Resources (Sinar Rezeki) yang diasaskan oleh Mohd Hairom Abu, 36 bakal berkembang sebagai pusat sehenti bidang binaan.

Biarpun beribu pejabat di Melaka, ia tidak menghalang usahawan ini mengukuhkan lagi syarikatnya sebagai empayar pembinaan yang boleh beri semua khidmat dalam satu masa.

Ikon Lanai berasal dari Batu Pahat, Johor ini berkata, dia ingin menjadikan syarikat Sinar Rezeki one stop centre atau pusat sehenti pembinaan yang menawarkan pelbagai khidmat bermula daripada rekaan, kelulusan, pembinaan sehinggalah kepada hiasan dalaman.

“Harapan saya pada masa hadapan adalah untuk membesarkan empayar syarikat saya dengan mempunyai kilang perabot sendiri bagi membolehkan mengeluarkan hasil rekaan perabot hiasan dalaman sendiri.

“Ia bagi memudahkan pelanggan saya untuk mendapatkan perkhidmatan dari awal sehingga akhir memiliki kediaman mereka. Selain itu saya mahu jadi ikon kepada anak muda untuk menceburi bidang ini,” katanya.

Berkongsi pengalaman awalnya menceburkan diri dalam lapangan pembinaan, Mohd Hairom berkata, ia bermula dari minatnya yang mendalam sejak dari bangku sekolah lagi.

“Saya dibesarkan daripada keluarga susah. Daripada kesusahan itu, menjadikan diri saya mahu mengubah kehidupan keluarga kepada lebih baik.

"Sejak dari kecil juga saya memang mempunyai minat dalam sektor pembinaan. Oleh itu, ketika masih bersekolah, apabila tibanya cuti sekolah, saya akan mengambil upah sambilan dengan bekerja kontrak membuat rumah di kampung,” katanya.

Tambahnya, selepas tamat belajar di Universiti Teknologi Mara (UiTM), dia berpeluang pula menimba pengalaman dengan bekerja di syarikat gergasi dari 2002 sehingga 2007.

“Daripada pengalaman dan ilmu yang diperoleh selama lebih enam tahun di syarikat gergasi itu, saya berazam untuk memiliki syarikat sendiri.

“Akhirnya pada 2007, saya berjaya menubuhkan dan mendaftarkan Sinar Rezeki dengan modal RM25,000,” katanya.

Pada awalnya, anak bongsu daripada sembilan beradik ini berkata, syarikat fokus kerja-kerja ubah suai rumah.

“Kemudian setelah dua tahun, kami berjinak pula dengan tender kerajaan dan pembinaan rumah sebuah berkonsepkan reka dan bina.

“Kini, saya miliki anak syarikat di bawah Sinar Rezeki yang turut sedia khidmat rekaan dalaman selain ambil kontrak bina kediaman,” katanya yang turut berterima kasih kepada isterinya yang menyokongnya selama ini.

Dalam impian untuk memiliki sesebuah hartanah atau kediaman di atas tanah sendiri, pemilihan syarikat kontraktor yang berkaliber amat penting.

Lebih mudah sekiranya syarikat kontraktor itu mampu menguruskan segalanya, dari A hingga Z. Perkhidmatan itu bukan sahaja terhad kepada urusan rekaan dan membina rumah, tetapi juga urusan peguam dan urusan pihak berkuasa tempatan (PBT).

Tampil memenuhi kehendak pelanggan, Sinar Rezeki Resources (Sinar Rezeki), kini menyediakan kesemua perkhidmatan tersebut menerusi konsep pusat sehenti pembinaan bagi memudahkan pelanggan memiliki rumah idaman.

Ikuti perkongsian Pengasas yang juga Pengarah Urusannya, Mohd Hairom Abu, mengenai perkhidmatan yang ditawarkan.

Apakah perkhidmatan ditawarkan Sinar Rezeki?

Perniagaan utama syarikat Sinar Rezeki adalah dalam bidang pembinaan rumah sebuah di tanah sendiri yang berkonsepkan reka dan bina. Kami reka rumah yang mahu dibangunkan dan kami juga akan bina rumah tersebut.

Pada awalnya, syarikat ini hanya melakukan kerja-kerja ubah suai rumah. Namun kami optimis mengembangkan syarikat dan mula menerima tender daripada kerajaan dan persendirian untuk membina rumah.

Berkonsepkan pusat sehenti pembinaan, Sinar Rezeki kini menyediakan pelbagai perkhidmatan, termasuk perundingan dengan menyediakan rekaan sehingga memperoleh kelulusan PBT dan sijil layak menduduki (CF) bangunan. Pasukan kami terdiri daripada arkitek, peguam, kontraktor dan pereka sendiri.

Bagaimana perkhidmatan tersebut dilaksanakan?

Kami semua berada di bawah satu bumbung. Oleh itu kerja rekaan rumah atau hiasan dalaman boleh terus dilakukan sebaik sahaja pelanggan telah memilih kontraktor untuk kediaman mereka.

Arkitek pula, kami telah melantik panel tetap untuk semua kelulusan berkaitan projek. Begitu juga dengan peguam, kami lantik sebagai panel dalam urusan perjanjian. Masing-masing punya kepakaran tersendiri dan ianya lebih mudah untuk diuruskan. Biasanya, kami akan duduk berbincang mengenai projek yang akan dijalankan.

Bayaran yang dikenakan untuk perkhidmatan menyeluruh dan bagaimana sambutannya?

Pembayaran untuk pembinaan dan rekaan yang kami sediakan pula perlu dilakukan secara tunai, pinjaman bank atau pinjaman Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA). Anggaran untuk keseluruhan perkhidmatan bermula RM100,000 bergantung pada permintaan pelanggan dan rumah yang mahu dibina.

Untuk perkhidmatan pengubahsuaian rumah pula bermula dari RM40,000 sehingga RM200,000. Alhamdulillah pelanggan kebanyakan menggunakan perkhidmatan menyeluruh kerana memudahkan kerja mereka.

Sehingga kini, berapa banyak pembangunan yang dijalankan?

Lebih daripada 50 rumah telah kami ubah suai dan beberapa pembinaan rumah sebuah siap dibina. Walaupun pejabat kami di Melaka, tetapi banyak juga projek yang kami terima dari luar antaranya Kuala lumpur dan Seremban.

Tempoh masa yang diambil untuk sesebuah projek misalnya rumah banglo setingkat, mengambil masa lima sehingga 10 bulan bergantung pada saiz rumah tersebut.

Sementara itu, projek yang sedang dijalankan adalah projek rumah sebuah dengan pinjaman bank dan pinjaman Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA) iaitu dua buah rumah banglo setingkat di Alor Gajah, Melaka. Dan satu lagi projek ialah projek membina bumbung dan baik pulih medan selera di dalam kem Tentera Sungai Udang, Melaka.

Perkhidmatan yang sering menjadi pilihan pelanggan?

Kebanyakan pelanggan memilih untuk membina rumah mengikut cita rasa mereka. Syarikat kami akan memberi cadangan dan bantuan dalam hal tersebut untuk mereka rumah mengikut cita rasa yang mereka inginkan. Begitu juga urusan peguam untuk jual beli rumah, kami mempunyai panel dengan peguam yang boleh membantu dalam urusan tersebut.

Untuk projek kediaman individu, apakah pakej yang ditawarkan syarikat?

Bagi pakej tersebut, kami menawarkan pelanggan yang ingin membina rumah di atas tanah sendiri mengikut bajet pelanggan. Bukan sahaja ambil upah membina, tetapi kami juga menawarkan rekaan rumah yang diingini mengikut kemampuan bajet yang disediakan.

Selain itu, pakej rundingan dari arkitek yang pakar juga kami turut sediakan. Ia memberi kelebihan kepada pelanggan kami untuk mendapatkan rumah, dan rekaan rumah dengan bajet mereka, tetapi hasilnya memuaskan hati. Sehingga urusan PBT bagi kediaman itu juga kami disediakan.

Apakah perancangan syarikat pada masa akan datang?

Perancangan kami mahu menjadi syarikat pemaju Bumiputera yang mampu berdaya saing dengan syarikat gergasi sedia ada. Di samping kami juga ingin menjadi kontraktor yang boleh mereka dan membina dalam satu masa dengan kualiti dan kekemasan keutamaan kami.

Kami juga ingin jadikan syarikat sebagai pusat perkhidmatan dalam sektor pembinaan, rekaan dan perundingan (consultan) bagi memudahkan urusan kepada semua pelanggan kami untuk berurusan dengan satu pihak sahaja seperti one stop centre dalam pembinaan.