PELABURAN Hartanah Bhd (PHB) sedang menjalankan kerja-kerja pembinaan bagi projek pembangunan bersepadu di Jalan Bangsar, Kuala Lumpur dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM5 bilion.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Kamalul Afifin Othman berkata, projek dengan keluasan 19 ekar itu telah memulakan pembinaan pada pertengahan tahun ini bagi menara pertama dan dijangka akan siap menjelang 2021.

"Nilai GDV bagi bangunan pertama melibatkan kos sebanyak RM500 juta. Buat masa ini, tujuh bangunan itu merangkumi pejabat dan kediaman," katanya.

Mengulas berhubung pemilikan tanah PHB, Kamalul berkata, PHB mempunyai 1,000 ekar tanah sedia ada dengan mendapat beberapa tanah di lokasi strategik.

Menurutnya, PHB kini telah mengenal pasti dan memperoleh beberapa aset yang berkualiti dan akan membangunkan projek pembangunan sendiri di seluruh negara.

PHB adalah syarikat pemegangan pelaburan hartanah dan anak syarikat milik penuh Yayasan Amanah Hartanah Bumiputera (YAHB) yang  ditubuhkan pada 8 Mei 2006 dengan matlamat untuk meningkatkan pemilikan Bumiputera dalam aset hartanah komersial utama di Malaysia.

PHB kini disokong 19 hartanah komersil yang terdiri daripada pelbagai kelas aset yang terdiri daripada bangunan pejabat, hospital pakar, pusat membeli-belah dan gudang logistik.