BIDANG hiasan dalaman semakin mendapat permintaan tinggi dan ia menjadi elemen penting kerana sentuhan magis pereka mampu memberi elemen eksklusif kepada tata riasnya.

Setiap ruang digunakan dengan sebaik  mungkin, dengan susun atur perabot yang kemas dan sesuai dengan kedudukannya, hiasan lampu, dinding dan langsir menjadikan kediaman yang indah untuk didiami, bukan setakat sebagai hiasan sahaja.

Ikuti temu bual lanjut bersama Pengasas Lentera Creative Home, Amran Azhar

Sejauh manakah potensi perniagaan hiasan dalaman tempatan?

Industri hiasan dalaman mempunyai potensi cerah dan mempunyai permintaan tinggi dalam pasaran tempatan dan antarabangsa.

Sepanjang lebih 10 tahun berpengalaman dalam bidang hiasan dalaman, rata-rata pelanggan mahu perkhidmatan dalam kalangan Bumiputera kerana mempunyai sentuhan yang mempunyai 'jiwa', kelas tersendiri dengan menggabungkan elemen penting untuk menghasilkan eksklusif.

Bagaimanapun, pemilik perniagaan hiasan dalaman Bumiputera hanya 10 peratus. Perniagaan ini perlu diterokai kerana ia adalah penggerak kepada ekonomi.

Saban tahun, permintaan akan meningkat berikutan pertumbuhan industri hartanah tempatan yang menunjukkan positif, sekali gus memacu kepada permintaan hiasan dalaman. 

Apakah yang boleh diterokai dalam bidang perniagaan hiasan dalaman?

Hiasan dalaman mempunyai skop yang besar yang boleh diterokai. Ia memberikan inspirasi kepada pemilik kediaman dengan pelbagai tema menarik dan penyelesaian baharu dalam menjelmakan rumah idaman pelanggan.

Malahan hiasan dalaman juga elemen penting di ruang hotel, resort, istana, pejabat dan sebagainya.

Setiap elemen dalam hiasan dalaman langsir, kertas dinding, bunga hiasan, lampu, perabot mempunyai kaitan di antara satu sama lain.

Permainan warna dan rekaan fabrik memainkan peranan penting untuk menambah seri.

Secara tidak langsung, ia menjadi nadi penggerak ekonomi kerana wujudnya pelbagai peluang pekerjaan dan permintaan tinggi terhadap perkakasan yang digunakan. 

Bidang hiasan menjanjikan pendapatan yang lumayan, apakah perkara penting untuk kukuh dalam perniagaan ini?

Apa yang penting dalam menjalankan perniagaan ini, anda perlu mempunyai minat, ilmu dan kemahiran serta pengalaman.

Saya sendiri bermula dari bawah, antaranya mengetuk pintu rumah untuk menjual 'sentuhan' saya kepada pelanggan dan mengedarkan risalah di sekitar Lembah Klang.

Sehingga kini, saya masih belajar dan meneroka bidang hiasan dalaman dengan mengkaji dan melakukan pencarian di internet melihat hiasan dalaman terkini di peringkat antarabangsa dan disesuaikan dengan cita rasa penduduk tempatan.

Alhamdulillah, setiap sentuhan tersebut menepati cita rasa pelanggan yang terdiri daripada pelbagai golongan masyarakat.

Segelintir masyarakat masih takut untuk menerokai bidang ini kerana bermain dengan idea dan kreativiti, apakah nasihat kepada mereka?

Tidak dinafikan hiasan dalaman memerlukan idea dan kreativiti. Kadang-kala idea yang diberikan kepada pelanggan, diterima dan ada yang ditolak.

Berkerjaya dalam bidang ini, kami profesional untuk berdepan dengan mereka yang menggunakan perkhidmatan kami.

Gabungan idea dan kreativiti adalah bonus untuk memenuhi kehendak pelanggan yang perlu lahir dalam diri sendiri.

Amran sentiasa mengadakan perbincangan bersama kakitangannya

Melihat dari sisi lain, hiasan dalaman berkait rapat dengan beberapa rangkaian perniagaan antaranya pembekal material kecil dan besar, perabot, bunga, fabrik, lampu dan sebagainya untuk menjadi penghias dekorasi sebuah rumah.

Kesemua pembekal ini pula berkait dengan usahawan-usahawan yang terlibat dalam bidang jahitan dan pertukangan. Hiasan dalaman membantu menjana pendapatan dan peluang pekerjaan serta melahirkan ahli perniagaan.

Apakah yang ditawarkan Lentera Creative Home?

Lentera Creative Home memfokuskan kepada hiasan dalaman sebuah rumah iaitu ruang tamu, ruang makan, bilik tidur, dapur dan sebagainya.

Malahan, Lentera Creative Home juga memberikan perkhidmatan hiasan dalaman di hotel, resort dan pejabat kerajaan. Menariknya, Lentera Creative Home menyediakan perkhidmatan hiasan dalaman mengikut bajet pelanggan dan caj yang kenakan mengikut saiz ruang dan material yang diperlukan dan ruang rumah.

Kami menerima sesiapa sahaja yang membuat tempahan. Ada pelanggan yang takut untuk berurusan dengan kami kerana menganggap mahal, hasil sentuhan kami berdasarkan kepada bajet pelanggan.

Sepanjang bergelar pereka hiasan dalaman, apakah cabaran yang dihadapi?

Dalam bidang ini, kita perlu kuat kerana risiko tinggi terutamanya berdepan dengan pelbagai jenis karenah pelanggan. Kami melayani mereka secara profesional.

Selain itu, cabaran lain adalah mencari idea, material dan sebagainya. Walaupun berdepan dengan pelbagai cabaran, ia tidak mematahkan semangat saya untuk terus melebarkan perniagaan ini.

Saya merancang untuk menembusi pasaran luar negara dalam masa terdekat berikutan mendapat permintaan tinggi terutamanya dari Brunei.