BAGI melengkapkan rantaian dalam industri pembinaan dan hartanah, Maju Group of Companies ditubuhkan awal tahun lalu hasil gabungan lima syarikat kontraktor, yang mempunyai kepakaran masing-masing termasuk dalam pembangunan menggunakan kaedah konvensional dan sistem Binaan Berindustri (IBS).

Syarikat terlibat adalah Masjaya Eco Construction Sdn Bhd (Masjaya Eco Construction), IBS Focus Construction, Maju Era Development Sdn Bhd (Maju Era Development), Max Electrical & Supply Engineering Sdn Bhd (Max Electrical) dan Maju Cekap Construction Sdn Bhd (Maju Cekap Construction).

Gabungan itu dilihat akan merancakkan lagi industri pembinaan negara. Bersama Pengarah Urusan Maju Group of Companies, Syaifulloh Imam Muhtasari atau lebih dikenali sebagai Saif Muhtar, membincangkan hala tuju syarikat itu.

Apakah perkhidmatan ditawarkan Maju Group of Companies?

Syarikat kami menawarkan perkhidmatan membangunkan rumah dan premis lain menerusi kaedah konvensional menggunakan batu-bata atau sistem IBS mengikut kehendak pelanggan. Bagi sistem IBS, kami hanya menggunakan dua jenis iaitu sistem panel konkrit IBS dan Steel Frame & Wet Wall System yang diiktiraf oleh Jabatan Bomba dan Sirim.

Perkhidmatan kami merangkumi pembinaan rumah individu di atas tanah milik pelanggan dan projek perumahan di sekitar Selangor. Kami bukan semata-mata membangunkan kediaman atau premis, tetapi juga melengkapkan bangunan itu dengan kemudahan seperti elektrik, kejuruteraan, hiasan dalaman dan lain-lain sehinggalah proses serah kunci kepada pelanggan.

Setiap anak syarikat di bawah Maju Group of Companies memainkan peranan masing-masing dalam projek pembangunan pelanggan.

Sebagai contoh, Masjaya Eco Construction Sdn Bhd dan IBS Focus Construction memfokuskan kepada sistem IBS, Maju Era Development Sdn Bhd (projek perumahan), Max Electrical & Supply Engineering Sdn Bhd (kerja-kerja elektrikal dan kejuruteraan) dan Maju Cekap Construction Sdn Bhd (projek pembangunan am menggunakan kaedah konvensional).

Sehingga kini, berapa banyak projek yang sudah dibangunkan?

Sebelum lima syarikat ini bergabung menjadi Maju Group of Companies, banyak projek rumah dan bangunan yang telah kami siapkan.

Sebagai contoh, saya sendiri ketika masih di Masjaya Eco Construction dan IBS Focus Construction berjaya menyiapkan lebih 100 rumah. Kini, bersama Maju Group of Companies sejak ditubuhkan awal tahun lalu, kira-kira 50 buah rumah di sekitar Selangor telah disiapkan memandangkan kami mempunyai 100 pekerja. Bagi projek perumahan, 32 unit kediaman di Taman Bentara, Telok Panglima Garang telah disiapkan melibatkan nilai pembangunan kasar (GDV) RM13.2 juta.

Untuk projek kediaman individu, apakah pakej ditawarkan syarikat?

Berbeza dengan syarikat lain, kami tidak menyediakan pakej-pakej tertentu. Sebaliknya, semua kos bergantung kepada pelan kediaman yang dikemukakan pelanggan kepada kami.

Dari situ, barulah kami boleh membuat sebut harga dan datang melawat tapak. Kami sebaik mungkin akan cuba untuk memberi nilai terbaik dan kos minimum kepada pelanggan tanpa berkompromi soal kualiti bangunan menerusi pelan rumah yang diberikan kepada kami.

Jika sebut harga itu sesuai dengan keadaan tapak dan pemilik tanah bersetuju, barulah kami akan menandatangani perjanjian hitam putih. Kemudian, projek pembangunan akan dimulakan. Pembayaran bergantung sama ada secara tunai atau pembiayaan.

Sekiranya melibatkan pembayaran tunai, bayaran dibuat mengikut progres pembinaan. Selain itu, kami juga akan memberi waranti selama 12 bulan kepada pelanggan. Sebarang kerosakan struktur yang berlaku akan diperbaiki secara percuma sepanjang tempoh tersebut.

Apakah projek pembangunan sedang dikendalikan pada masa ini?

Pada masa ini, kami sedang menyiapkan projek kediaman individu melibatkan kawasan sekitar Putrajaya; Meru, Klang dan Batang Kali, Selangor.

Selain itu, Maju Group of Companies sedang membangunkan empat projek perumahan melibatkan 127 unit kediaman, iaitu di Taman Bentara, Telok Panglima Garang Kuala Langat; Taman Meru Ria, Meru Klang; Jalan Dusun, Meru Klang dan Sungai Lang, Banting. Pembangunan kediaman teres setingkat dan dua tingkat itu melibatkan nilai pembangunan kasar (GDV) RM52.7 juta.

Adakah semua projek pembangunan menggunakan sistem IBS?

Tidak semua projek pembangunan kami menggunakan sistem IBS. Ia bergantung kepada permintaan dan kesesuaian. Ada sesetengah kawasan perumahan atau rumah pelanggan individu menggunakan kaedah batu-bata, tetapi ada juga yang menggunakan sistem IBS.  

Apakah perancangan syarikat pada masa akan datang?

Kami berhasrat untuk membuka kilang sendiri bagi membekalkan bahan mentah untuk sistem IBS di pasaran, dalam tempoh lima tahun akan datang. Pada masa ini, kami membeli sistem panel konkrit IBS dan Steel Frame & Wet Wall System daripada pihak ketiga.

Apabila kami mempunyai kilang sendiri dan melakukan pemasangan IBS sehinggalah bangunan siap, ia secara tidak langsung akan menjimatkan kos pembangunan kepada pelanggan.