MN Associates (KL) Sdn Bhd merupakan syarikat penilai hartanah yang telah berkecimpung dalam industri ini sejak 2005, juga menerima pentauliahan daripada Lembaga Penilai, Pentaksir dan Ejen Hartanah Malaysia.

Pengarah Urusan MN Associates (KL) Sdn Bhd, Sr Kamarul Eddyhazli Zakaria berkata, selain menjalankan operasi sebagai penilai hartanah, syarikat ini juga dikenali sebagai pakar perunding hartanah.

"Peranan penilai hartanah adalah penting dalam memberi bimbingan khidmat nasihat kepada bakal pelabur dari awal hingga akhir.

"Bagaimanapun, penglibatan dalam bidang ini tidak ramai dan ia sebenarnya satu peluang yang perlu diceburi khususnya golongan muda," katanya kepada Sinar Harian, baru-baru ini.

Menurutnya, hanya kira-kira 1,000 penilai berdaftar yang terdapat di Malaysia walaupun industri itu luas, dan bagi yang berminat boleh memilih bidang dalam pengurusan hartanah di mana-mana universiti yang menawarkannya.

Katanya, penilai hartanah adalah bidang profesional yang ramai tidak tahu dan peluang pekerjaan juga luas, antaranya dalam syarikat pemaju, telekomunikasi, bank dan perladangan.

Apakah peranan penilai hartanah?

Kami memainkan peranan yang penting kepada bakal pembeli untuk memberikan khidmat nasihat kepada pelanggan berhubung harga pasaran hartanah semasa. Hal ini kerana adalah penting setiap pembeli dan penjual mengetahui nilai hartanah yang akan dibeli atau dijual sebelum dijual.

Selain itu, dapat mengelakkan daripada kerugian berikutan penipuan harga hartanah semasa. Oleh itu, digalakkan mana-mana pemilik hartanah untuk menghubungi bank dan syarikat penilai hartanah bagi mengetahui harga rumah semasa. Pun begitu, pertanyaan menerusi perbualan telefon adalah tidak tepat, sebaliknya anggaran sahaja.

Bagaimana harga rumah dinilai?

Harga rumah yang dinilai bergantung kepada permintaan dan penawaran serta transaksi di kawasan itu. Harga rumah baharu dan rumah lama (subsale) juga saling berhubung kait antara satu sama lain.

Ini kerana, harga rumah lama bergantung kepada harga pasaran sesama rumah sedia ada dan begitu juga sebaliknya bagi rumah lama. Pun begitu, harga rumah bukan dinilai menerusi bangunan tetapi harga tanah.

Situasi pasaran hartanah tahun ini ?

Pasaran hartanah tahun ini sedikit perlahan jika dibandingkan dengan beberapa tahun lalu. Index harga perumahan suku kedua tahun ini juga menurun kepada 5.6 peratus berbanding 13.2 peratus pada 2013.

Trend ini didorong oleh keadaan ekonomi yang tidak baik, yang disebabkan oleh kos sara hidup meningkat dan prosedur kelulusan pinjaman yang ketat oleh Bank Negara Malaysia (BNM).

Keadaan itu dapat dilihat dengan lebih 20,000 unit rumah tidak dijual di seluruh Malaysia pada separuh pertama 2017. Melihat kepada trend itu, kini pemaju perumahan sudah beralih kepada menjual rumah mampu milik atau kos sederhana.

Pasaran perlahan, adakah harga rumah akan turun?

Hartanah tidak pernah menjadi satu pelaburan yang merugikan. Sebab itu, jangan jual ketika situasi ekonomi tidak baik, sebaliknya rebut peluang untuk membeli masa ini (bagi yang mempunyai wang). Situasi semasa pembeli rumah akan untung tetapi penjual akan rugi. Setakat ini, harga rumah tidak pernah turun dan permintaan terhadap hartanah sentiasa ada. Dari segi harga, ia akan terus meningkat bergantung kepada lokasi. Antara lokasi yang mungkin tidak terjejas sekiranya ekonomi tidak terus tidak menentu adalah Taman Tun Dr Ismail (TTDI), Bangsar dan Melawati. 

Bilakah masa sesuai untuk membeli rumah?

Kepada mereka yang mempunyai wang, 2018 adalah tahun yang sesuai untuk membeli rumah. Hal ini kerana keadaan ekonomi yang tidak menentu, ramai terdesak untuk menjual rumah (berikutan peningkatan kos sara hidup contohnya), dan rumah yang dijual lebih murah daripada harga pasaran.

Oleh itu, masa ini adalah sesuai untuk mereka membeli rumah. Bagaimanapun, sesiapa yang ingin membeli rumah perlu mempunyai pengetahuan tentang hartanah, walaupun hanya pengetahuan yang asas bagi mengelakkan diri daripada ditipu.

Berapakah harga rumah mampu milik yang sepatutnya?

Pendapat saya secara peribadi, hari ini rumah mampu milik adalah sekitar RM300,000 tetapi berapa ramai yang mampu untuk membeli rumah itu dengan harga itu? Bagi mereka yang mempunyai gaji RM3,000 sebulan sudah pasti tidak, bukan?

Sememangnya ramai yang ingin beli rumah tetapi tidak lepas daripada syarat kelulusan pinjaman perumahan yang ditetapkan oleh BNM. Itu adalah realiti yang perlu dihadapi oleh semua orang hari ini.