PASARAN hartanah tempatan terus berdepan tempoh sukar pada 2017 berikutan faktor lebihan penawaran kediaman berharga tinggi atau mewah yang membanjiri pasaran.

Keupayaan membeli rumah mampu milik juga terus menjadi isu apabila kebanyakan pembeli rumah pertama terbukti sukar membeli kediaman berharga lebih RM250,000 seunit.

Perkara itu turut dibangkitkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) baru-baru ini apabila berkongsi maklumat mengenai masalah hartanah kediaman tidak terjual yang meningkat ke paras tertinggi dalam tempoh sedekad, sebahagian besar daripadanya bertumpu di Johor.

"Ketidakseimbangan penawaran dan permintaan dalam pasaran hartanah telah meningkat sejak  2015. Hartanah yang tidak terjual adalah di paras tertinggi dalam tempoh sedekad dengan majoritinya dalam kategori harga melebihi RM250,000," kata bank pusat itu.

Maklumat di laman sesawang BNM pada Jun lepas menunjukkan sebanyak 130,690 unit tidak terjual setakat akhir Mac 2017 dengan 83 peratus berharga lebih RM250,000 dan 61 peratus merupakan unit-unit pangsapuri.

Kemelut harga rumah yang tinggi itu turut mendapat perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sewaktu membentangkan Bajet 2018 apabila mengumumkan peruntukan sebanyak RM2.2 bilion bagi pembinaan 248,000 unit tambahan rumah mampu milik.

Hakikatnya, pihak kerajaan sentiasa berusaha menangani isu terbabit bagi memastikan rakyat mampu bergelar sebagai pemilik rumah sendiri dan mengelak berlakunya 'ketepuan’ sektor hartanah, khususnya pasaran mewah.

Salah satu pendekatan yang diambil adalah dengan membekukan kelulusan bagi projek pembangunan hartanah mewah mulai 1 Nov tahun ini dengan objektif utamanya untuk mengelak masalah itu daripada memberi kesan terhadap ekonomi.

Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata perkara itu diputuskan oleh Kabinet berikutan laporan BNM pada Jun lepas mengenai  peningkatan hartanah kediaman yang tidak terjual.

Menurutnya, lambakan projek-projek mewah itu telah menjejaskan permintaan bagi rumah mampu milik.

"Laporan Bank Negara itu mengambil kira unit-unit kodominium mewah, pusat beli-belah dan komersial, termasuk yang berharga lebih RM1 juta seunit," katanya.

Jelas beliau, keputusan membekukan pembangunan pusat beli-belah, kompleks komersial dan kondominium berharga lebih RM1 juta itu adalah bersifat sementara sehingga lebihan unit terbabit dapat dijual.

Pada masa sama, Johari berkata kerajaan akan meneruskan usaha pembangunan rumah mampu milik, terutamanya yang berharga RM300,000 seunit.

"Bagi sektor ini, wujud ketidaksamaan  yang mana permintaan terhadap rumah mampu milik mencecah 48 peratus berbanding penawaran cuma 28 peratus. Inilah perkara yang perlu ditangani dengan sewajarnya," katanya.

Sementara itu, merujuk prestasi pasaran hartanah secara keseluruhannya, Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC) menyatakan sebanyak 153,000 transaksi bernilai RM67.82 bilion dicatatkan pada separuh pertama tahun ini iaitu penyusutan 6.0 peratus dari segi jumlah namun nilainya meningkat 5.0 peratus berbanding tempoh sama pada 2016.

Bagaimanapun, kadar penguncupan itu telah berkurangan yang menunjukkan pasaran hartanah dalam proses penyesuaian dengan landskap pasaran yang kian berubah.

Subsektor kediaman terus menguasai pasaran dengan sumbangan dalam jumlah dan nilai masing-masing sebanyak  61.8 peratus dan 48.4 peratus manakala rumah mampu milik terus mendapat permintaan dengan lebih 83 peratus transaksi kediaman bagi harga RM300,000 dan ke bawah.

Seiring dengan persekitaran pasaran yang mencabar, NAPIC berkata bilangan pelancaran kediaman baharu berkurangan kepada 28,397 unit – susut 9.1 peratus berbanding 31,257 unit dalam separuh pertama  2016 dengan jualan sebanyak 23.9 peratus atau 6,775 unit.

Ketika mengulas  perkembangan itu, Pengarah Urusan PPC International Sdn Bhd, Datuk Siders Sittampalam berkata jumlah lebih rendah itu walaupun nilai transaksi lebih tinggi, membuktikan keadaan yang mana segelintir pembeli sudah mula menyesuaikan diri untuk membeli hartanah pada harga lebih tinggi.

“Ini turut menunjukkan bahawa sentimen pasaran sudah mulai pulih. Jika dibandingkan 2015 dan 2016, tahun ini menyaksikan penurunan dari segi jumlah transaksi hartanah kediaman adalah sebanyak satu angka berbanding dua angka sebelumnya.

“Ia tidak hanya menggambarkan sentimen pasaran yang lebih baik tetapi bagi pembeli juga yang sudah mula menyesuaikan diri dengan persekitaran baharu pasaran,” katanya kepada Bernama.

Beliau juga melihat inisiatif kerajaan sebanyak RM2.2 bilion bagi melonjakkan pembangunan rumah mampu milik sepertimana diumumkan menerusi Bajet 2018, tidak akan memberi sokongan ketara terhadap keadaan pasaran pada tahun depan.

“Sebagaimana yang kita ketahui, inisiatif itu boleh dilaksanakan sepenuhnya pada tahun depan. Bagi saya, ini tidak akan memberi kesan besar dalam tempoh yang singkat,” katanya.

NAPIC pula menyifatkan kelemahan pasaran itu membawa kepada peningkatan bilangan kediaman tidak terjual dalam separuh pertama tahun ini yang membabitkan 20,867 unit bernilai RM12.26 bilion.

Jumlah kediaman tidak terjual mencatat peningkatan sebanyak 40 peratus dari segi bilangan dan nilai berbanding separuh pertama 2016, terutamanya yang berharga RM500,000 dan RM1 juta dengan sebahagian besarnya merangkumi unit-unit kondominium dan pangsapuri.

Menurut NAPIC, walaupun sektor pejabat dan runcit mencatat kadar penghunian melebihi 80 peratus bagi tempoh di bawah kajian itu, ruang yang tidak dihuni kekal tinggi iaitu pejabat persendirian sebanyak 3.40 juta meter persegi didahului oleh Kuala Lumpur dengan lebih 1.62 juta meter persegi dan diikuti Selangor sebanyak 870,000 meter persegi.

Sektor runcit mencatat lebih 2.79 juta meter persegi ruang yang tidak dihuni, iaitu peningkatan kecil sebanyak 2.6 peratus berbanding tempoh sama  2016 dengan Selangor dan Pulau Pinang mencatat ruang melebihi 500,000 meter persegi.

“Kedua-dua isu tersebut – unit kediaman yang tidak terjual dan kekosongan ruang komersial adalah perkara penting yang perlu ditangani oleh semua pihak, terutamanya pihak berkuasa tempatan dan pemaju hartanah.

"Dua pihak terbabit perlu membuat pertimbangan sebelum mengambil sebarang keputusan dalam usaha mengelak berlakunya lebihan penawaran," kata NAPIC.

Malah, pendirian sedemikian juga boleh dilihat menerusi cadangan BNM supaya satu pihak berkuasa tunggal diwujudkan bagi mengendalikan aspek perumahan mampu milik terutama berharga RM150,000 dan ke bawah yang dibina oleh beberapa agensi di bawah Kerajaan Persekutuan dan di peringkat kerajaan negeri.

Selain itu, mengulas prospek pada 2018, Siders berkata segmen runcit dan pejabat dijangka menyaksikan beberapa perubahan dari segi bilangan dan harga bagi projek baharu agar selaras dengan permintaan semasa manakala sektor kediaman diunjur terus tepu.

“Sentimen pasaran dijangkakan stabil sepenuhnya bermula pada separuh kedua tahun depan," katanya.

Sementara itu, mengulas industri  pembinaan, maklumat Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) menunjukkan berlakunya kemerosotan bilangan projek iaitu setakat Jun, 2017 kepada 2,133 projek bernilai RM4036 bilion daripada 3,556 projek bernilai RM67.64 bilion bagi tempoh sama tahun lepas.

Daripada jumlah itu, sebanyak 488 projek bernilai RM6.05 bilion membabitkan  kerajaan dengan penyertaan kontraktor tempatan manakala baki 1,567 projek bernilai RM29.80 bilion merupakan projek swasta kendalian kontraktor tempatan.

Kontraktor asing sebaliknya mengendalikan 48 projek swasta bernilai RM4.51 bilion tanpa membabitkan sebarang projek pihak  kerajaan.

Selain itu, industri pembinaan Malaysia dijangka mencatat pertumbuhan dan muncul antara kelompok terpantas di dunia bagi tempoh 2016 hingga 2020, disokong oleh rancangan kerajaan untuk meningkatkan rangkaian pengangkutan dan infrastruktur pelancongan negara selain menambah jumlah  projek yang boleh diperbaharui. - Bernama