HARGA hartanah kediaman secara keseluruhan kekal stabil dengan hanya 0.2 peratus penurunan dari suku kedua 2017 hingga suku ketiga 2017.

Berdasarkan Indeks Pasaran PropertyGuru (PMI), sejak suku ketiga 2016 hingga suku ketiga 2017, harga permintaan menunjukkan penurunan berterusan sebanyak 2.3 peratus.

Pengurus Negara PropertyGuru Malaysia, Sheldon Fernandez berkata, walaupun sentimen pengguna pulih, harga permintaan masih gagal menunjukkan perubahan itu.

"Ini turut menunjukkan penjual hartanah masih bergelut untuk mendapatkan pembeli dan berhadapan dengan tekanan untuk memberikan harga yang berpatutan bagi menjayakan sesebuah transaksi.

“Selangor dan Pulau Pinang turut menunjukkan penurunan harga pada setiap suku tahun. Ini turut menyumbang kepada kelembapan pertumbuhan pasaran di peringkat nasional,” katanya.

Beliau berkata, trend itu akan berterusan sepanjang 2017 dan dijangka sehingga awal 2018, tanpa mengambil kira sebarang keadaan tidak dijangka.

Walaupun harga hartanah dikatakan berpatutan dan harga permintaan sederhana, katanya, indeks menunjukkan masalah ketidakmampuan kekal menjadi isu utama dengan ramai pembeli yang berpotensi menyatakan rasa tidak puas hati mengenai harga.

"Data daripada indeks itu turut menunjukkan 50 peratus daripada rakyat Malaysia ingin membeli pada tahun ini.

“Mereka tetap berasakan harga hartanah masih mahal walaupun pasaran sedia ada stabil dan insentif disediakan oleh pihak pemaju. Kita perlu tunggu dan lihat reaksi pasaran pada suku tahun seterusnya,” katanya.

PMI diambil daripada koleksi data PropertyGuru yang menyeluruh, termasuk harga permintaan daripada 250,000 senarai hartanah kediaman di PropertyGuru.com.my.