Penyiasatan tanah dan penyelenggaraan cerun! Itu antara kepakaran dimiliki oleh Zakaria Abdullah melalui syarikatnya MMA Tech Engineering Sdn Bhd yang ditubuhkan pada 2010 dan kini telah tujuh tahun dalam sektor tersebut.

Kepakaran itu menjadikan ikon berasal dari Jeli, Kelantan ini, antara pemilik syarikat kontraktor pakar geoteknik dan cerun Bumiputera yang dikenali di negara ini.

Pun begitu, bapa kepada empat cahaya mata ini mengakui bukan mudah untuk sampai ke kedudukan sekarang jika diri tidak benar-benar fokus dan minat dalam bidang yang diceburi.

Akuinya, dia bukanlah berasal daripada keluarga senang untuk terus berada di kerusinya sekarang dengan projek bernilai juta-juta ringgit.

Sementelah dia juga seperti kanak-kanak lain yang menjalani rutin persekolahan biasa. Bagaimanapun, peluang untuk menyambung pengajian di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada tahun 1993 dalam bidang Sarjana Muda Geologi adalah permulaan bagi kejayaannya itu.

"Bidang geoteknik bukanlah minat saya, tetapi apabila berpeluang menyambung pengajian dalam jurusan berkaitan tanah, struktur dan pembentukan bumi, secara tidak langsung menimbulkan minat dan pengalaman kepada saya untuk fokus kepada bidang tersebut.

"Bidang geoteknik ini, masa depannya amat cerah dan amat diperlukan dalam sektor hartanah baik di dalam negara dan juga luar negara," katanya.

Ikon berusia 44 tahun ini berkata, sebaik sahaja menamatkan pengajian di UKM, dia berpeluang bekerja di salah sebuah anak syarikat UEM Group dalam bidang penyiasatan tanah.

"Selama 13 tahun saya bekerja di sana, saya ambil sebanyak mungkin pengalaman dan ilmu untuk saya menubuhkan syarikat sendiri.

"Sehinggalah pada awal 2009, terbuka peluang untuk menubuhkan syarikat sendiri yang fokus dengan kaji batu dan tanah," katanya.

Akhirnya pada 2009, Zakaria berjaya mendaftarkan syarikat MMA Tech Engineering tersebut di bawah Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) dan Pusat Khidmat Kontraktor (PKK), serta pada 2010 syarikatnya beroperasi secara rasmi sehingga kini.

"Alhamdulillah, kini syarikat memiliki sembilan mesin gerudi tanah dan batu sendiri yang digunakan untuk pelbagai projek pembangunan baik di dasar tanah, dalam laut, dan juga kawasan bukit bukau.

"Pendapatan syarikat juga bermula dengan RM1.5 juta setahun, kini ia semakin meningkat dan mencecah sehingga RM15 ke RM20 juta setahun," katanya.

Zakaria juga turut berharap agar syarikatnya akan terus berkembang dan menjadi syarikat perunding untuk pelbagai projek pembangunan pada masa depan.