SERAMAI 500 orang menghadiri program Sehari Bersama BSN yang dianjurkan Medan Prestasi Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh MK Land Holdings Berhad (MK Land) dengan kerjasama Bank Simpanan Nasional (BSN) di tapak projek Residensi Suasana@Damai, Damansara Damai, baru-baru ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, K Mohanachandran berkata, program itu memberikan manfaat kepada pengunjung bagi membantu pembeli memiliki rumah dengan harga berpatutan, sekali gus memberi peluang untuk berurusan dengan pihak bank secara terus.

“Program ini akan memberikan kemudahan kepada pembeli untuk berurusan dengan pemaju, bank dan peguam berkaitan pembelian rumah,” katanya.

Menurutnya, MK Land turut menawarkan diskaun menarik kepada pembeli yang membeli kediaman pada hari itu.

Katanya, syarikat itu menawarkan kos perundangan SPA dan penghawa dingin percuma, kos penyelenggaraan percuma selama satu tahun dan deposit RM1,000.

Sementara itu, Naib Presiden Kanan Ketua Peruncitan dan Perniagaan Komuniti BSN, Datuk Mearia Hamzah berkata, program itu memberikan manfaat kepada pembeli rumah kerana ia adalah platform untuk memaklumkan kepada orang awam mengenai tawaran pembiayaan yang ditawarkan.

“BSN akan bekerjasama dengan pemaju lain untuk menawarkan pelbagai pakej pembiayaan kepada pelanggan.

"BSN menyediakan Skim Perumahan Belia untuk membantu mereka yang belum dan sudah berkahwin untuk memiliki rumah pertama,” katanya.

Dalam program itu, BSN menyediakan pelbagai hadiah utama antaranya kereta BMW dan Mercedes-Benz kepada pemegang Sijil Simpanan Premium BSN, kaunter pinjaman peribadi dan kaunter Sijil Simpanan Premium (SSP).