INTERCONTINENTAL Hotels Group (IHG), antara kumpulan hotel yang terkemuka di dunia telah mengumumkan pelancaran InterContinental Hanoi Landmark72 di Hanoi, Vietnam.

Hotel tersebut terletak dari tingkat ke-62 hingga 71 dalam bangunan Keangnam Landmark72 yang tinggi megah, sekali gus membolehkan tetamu menikmati salah satu daripada 359 bilik yang mewah dan canggih.

Naib Presiden Operasi Aisa Tenggara dan Korea IHG, Leanne Harwood berkata, Hanoi merupakan destinasi pelancongan yang melonjak popular di rantau ini dan mencapai pertumbuhan dua digit dalam kunjungan antarabangsa setiap tahun.

“Oleh itu, pembukaan hotel InterContinental kedua meletakkan kami di kedudukan yang lebih baik bagi menawarkan penginapan yang mewah kepada pelancong dalam negara.

“Pelancaran ini sangat mengujakan bagi IHG dan jenama InterContinental kerana kami berjaya melakar sejarah dengan melancarkan hotel tertinggi di Vietnam,” katanya pada majlis pelancaran hotel itu, baru-baru ini.

Tambahnya, hotel terbaharu di ibu negara Vietnam itu terletak dalam kompleks Landmark72 yang luas, terdiri daripada ruang jualan, komersial dan hiburan serta ruang mesyuarat bersaiz 70 hingga 920 meter persegi.

Selain itu, tetamu Club InterContinental juga mempunyai akses eksklusif ke Club InterContinental Lounge di tingkat ke-71 bagi menikmati suasana yang menyamankan fikiran. Club InterContinental Lounge merupakan antara lobi istirehat yang terbesar di Asia Tenggara.

Kini, sebanyak 17 hotel dan resort InterContinental berasas di Asia Tenggara, dan 11 lagi bakal dibuka dalam tiga hingga lima tahun yang akan datang. InterContinental Hanoi Landmark72 merupakan hotel InterContinental yang kedua di Hanoi selepas InterContinental Hanoi Westlake.