TEMPOH  13 tahun dalam industri pembinaan, Q Upeeh Sdn Bhd (dahulu dikenali Q Upeeh Enterprise) menjadikan syarikat kontraktor itu semakin matang mengendalikan perniagaan.

Disebabkan itu, Q Upeeh yang terkenal sebagai Ubahsuai & Pakej Bina Rumah dalam laman sosial Facebook berhasrat berkongsi kepakaran dan pengalamannya sebagai kontraktor pembinaan dalam menggilap bakat-bakat baharu bagi menjadikan bidang pembinaan sebagai sumber pendapatan, sekali gus membantu dalam merancakkan ekonomi negara.

Ikuti temu bual bersama Pengurus Q Upeeh, Mohd Afiq Mohd Anuar mengenai hala tuju syarikat itu.

Boleh kongsikan latar belakang Q Upeeh dan perkhidmatan ditawarkan?

Q Upeeh ditubuhkan sejak 2004 bermatlamat untuk berkongsi rezeki dengan masyarakat. Ia merupakan perniagaan keluarga yang dikendalikan sepenuhnya ahli keluarga kami. Kami bermula dengan menerima tender-tender projek kerajaan dan swasta untuk kerja penyelenggaraan seperti pembersihan dan membaik pulih, selain menerima projek pengubahsuaian kediaman. Dalam tempoh setahun setengah lalu, kami mula menawarkan khidmat pembinaan rumah di atas tanah milik pelanggan pada harga berpatutan. Bagi pelanggan yang tiada tanah sendiri, kami sedia mencari dan menguruskan proses jual beli tanah lot untuk dibangunkan dengan rumah impian mereka.

Apakah cabaran dihadapi?

Kelembapan ekonomi dalam dua dan tiga tahun lalu, mendorong kami bekerja keras sehinggalah melibatkan diri dalam perkhidmatan membina rumah dan tidak terlalu bergantung kepada projek-projek kerajaan. Sepanjang tempoh itu, berlaku penurunan dalam persekitaran ekonomi dalam semua sektor perniagaan dan sudah tentu bidang pembinaan turut terkena tempiasnya. Bidang pembinaan terkesan kerana ia melibatkan banyak rantaian seperti material bahan pembinaan, pembekal dan sebagainya. Ditambah pula faktor kuasa beli pembeli yang kurang menjadikan kemampuan membeli rumah berkurangan, selain disebabkan kejatuhan mata wang negara dan pelaksanaan cukai barang dan perkhidmatan (GST).

Mohd Afiq (dua, kanan) sentiasa berbincang bersama ahli keluarga dan kakitangan Q Upeeh dalam setiap projek pembangunan dijalankan.

Bagaimana Q Upeeh berdepan dengan pasaran hartanah lembap tahun ini?

Bukan sahaja pada tahun ini, sejak dua hingga tiga tahun lalu, kami sudah melihat penurunan akibat kegagalan kami dalam tender-tender projek kerajaan dan swasta. Disebabkan itu, kami tidak terlalu bergantung kepada tender-tender projek semata-mata. Jika dahulu, Q Upeeh pernah mengendalikan projek kerajaan dengan nilai keseluruhan melebihi RM1 juta dalam setahun, namun kini hanya sekitar RM300,000 ke RM400,000 setahun. Sebab itu, kami terpaksa meneroka cabang lain bagi menggantikan sumber pendapatan syarikat dengan tawarkan perkhidmatan membangunkan rumah milik pelanggan.

Berapa harga rumah ditawarkan dan berapa buah rumah berjaya disiapkan?

Kami menawarkan pakej membina rumah bermula harga RM100,000 ke atas, mengikut kemampuan pembeli dan bergantung kepada material digunakan. Sepanjang tempoh satu setengah tahun ini, Q Upeeh berjaya siapkan sembilan buah rumah pelanggan dan mengubahsuai 15 buah kediaman. Semua rumah yang kami bina menerusi kaedah konvensional. Namun, mula awal tahun depan, kami rancang tawarkan khidmat buat rumah guna Sistem Binaan Berindustri (IBS) dari jenis sistem panel.Kami kini melatih kakitangan dengan sistem ini daripada pakar. Jika permintaan sistem IBS tinggi, kami bakal bangunkan kilang sendiri.

Banyak kes penipuan kontraktor, bagaimana Q Upeeh yakinkan masyarakat?

Setakat ini, Alhamdulillah, semua kerja kami disempurnakan dengan baik. Kami pernah berdepan pengalaman kelewatan bayaran pelanggan memandangkan kami berurusan dengan pelanggan tanpa perjanjian pada awal perniagaan. Ada pelanggan minta diskaun terlampau tinggi dan tidak bayar. Belajar dari situ, kami mula sediakan sebut harga dan lain-lain sebelum menandatangani perjanjian. Untuk meyakinkan pelanggan, selalunya kami bawa mereka ke tapak pembinaan melihat sendiri progres pembinaan sebab ada sesetengah tuan rumah tidak ambil tahu pasal rumah mereka. Pada saya, kejujuran kontraktor penting dalam hal ini. Kami beri waranti enam bulan kepada pelanggan selepas serah kunci dan betulkan kecacatan pembinaan tersebut.

Perancangan syarikat?

Kami berhasrat kembangkan perniagaan bukan sahaja sebagai syarikat kontraktor, tetapi sebagai pemaju hartanah berjaya.Q Upeeh juga merancang buka pusat latihan sendiri untuk menggilap bakat baru sebagai usahawan pembinaan. Q Upeeh telahpun  lahirkan tiga usahawan dalam bidang pembinaan menerusi bekas pekerja kami. Mereka berpengalaman 10 tahun bersama Q Upeeh. Kami beri bantuan dari segi kewangan dan bimbingan kepada mereka yang kini memiliki syarikat kontraktor sendiri.