KHOO Soon Lee Realty Sdn Bhd, syarikat milik, KSL Holdings Bhd melancarkan konsep konsep sewa beli dikenali sebagai Rent Now Buy Later bagi pembangunan hartanah yang terletak di Bandar Bestari, Klang.

Projek Bandar Bestari yang dibangunkan dengan keluasan 488 hektar ini menyasarkan pembeli yang mengimpikan kediaman premium dan serba lengkap di kawasan bandar.

Melalui konsep sewa beli ini, pembeli boleh memilih untuk menyewa unit berintegrasi tinggi komersial tiga tingkat di Commercial City ataupun perumahan bertanah jenis Semi-D yang dikenali sebagai Clermont, Argentine dan Pervence bagi tempoh satu tahun.

Wang sewaan tersebut seterusnya akan dijadikan wang deposit bagi pembelian hartanah yang mana membolehkan penyewa untuk menjadi pemilik hartanah tersebut.

Konsep sewa beli ini ditawarkan oleh KSL Realty Sdn Bhd selepas kajian secara rambang dalam pasaran hartanah dilaksanakan selain bertujuan meningkatkan jumlah pemilikan hartanah menjelang 2020.

Bagi unit di Commercial City, KSL menawarkan keluasan antara 4,600 hingga 8,500 meter persegi dengan harga serendah RM1.9 juta manakala, rumah jenis Semi-D pula dijual pada harga bermula RM1.5 juta dengan keluasan 3,400 hingga 5,000 meter persegi.

KSL Realty Sdn Bhd berkata, kawasan itu merupakan prospek lokasi yang menguntungkan berdasarkan beberapa faktor kepadatan penduduk dan terancang, mudah akses ke lebuh raya utama seperti SKVE, Kesas, Lebuh Raya Persekutuan, serta mempunyai kemudahan pengangkutan awam iaitu Transit Aliran Ringan (LRT) Johan Setia yang akan beroperasi dalam tempoh tiga tahun.

Bandar Bestari ini bakal dilengkapi dengan unit perumahan bertanah, 597 unit servis apartmen, 67 hartanah komersial, hotel bertaraf empat bintang serta pusat membeli belah terbesar di daerah Klang iaitu KSL Mall 2 yang mempunyai keluasan 700,000 meter persegi.