DALAM  pemilihan hiasan dalaman, pelbagai jenis konsep dekorasi ditawarkan kepada pengguna.

Antaranya konsep Asian, kontemporari, cottage, gaya English, Mediterranean, moden, tradisional, klasik dan tropika.

Terbaru, konsep minimalis menjadi pilihan ramai untuk dekorasi kediaman.

Apakah yang dimaksudkan dengan konsep minimalis dan apakah keistimewaannya? Lanai mendapatkan perkongsian daripada pereka dalaman yang berpengalaman dalam industri ini iaitu Pengasas bersama SYDEZ Consultancy, Syed Ahmad Fadzil. Ikuti temu bual berikut;

Sejauh manakah konsep minimalis menarik pelanggan?

Sebelum ini, ramai pemilik kediaman lebih memilih untuk mengubah suai ruang kediaman dengan gaya English. Tetapi sejak akhir-akhir ini, pemilihan konsep itu semakin menunjukkan trend penurunan. Konsep minimalis pula mengambil alih trend tersebut. Dan saya melihat tahun 2018 ini, pemilik kediaman akan lebih memilih konsep hiasan dalaman itu untuk ruang kediaman mereka.

Mengapa konsep ini menjadi pilihan pelanggan dan apakah keistimewaannya?

Konsep minimalis menjadi pilihan kerana kebanyakan kediaman yang dibina kini, saiz lebih kecil. Kebanyakan pemaju kini juga, memilih untuk membina kediaman dengan saiz lebih kecil kerana mahu mengimbanginya dengan harga rumah yang mampu dibeli. Apabila rumah kediaman lebih kecil, konsep yang ringkas dan minima adalah lebih sesuai.

Selain itu, konsep minimalis menjadi trend kegilaan kebanyakan pemilik rumah terutamanya untuk dekorasi ruang tamu mereka, kerana ia sesuai dengan gaya dan reka bentuk rumah moden yang lebih fokus kepada fungsi setiap ruang dalaman rumah mereka.

Malah dekorasi minimalis menjadikan ruang kelihatan bersih, lebih kemas serta tidak serabut, secara tidak langsung membuatkan ramai pemilik rumah memilih konsep ini.

Bagaimana dengan kos, adakah konsep minimalis lebih menjimatkan?

Sebenarnya jika berkaitan dengan kos, apa sahaja konsep hiasan dalaman bergantung pada saiz ruang tersebut, material dan perabot yang digunakan. Jika pandai menyusun atur dan bermain dengan warna cat, pasti ia boleh menjimatkan kos. Tetapi memang diakui untuk konsep minimalis, ia lebih jimat berbanding konsep lain, kerana sesuai dengan gelarannya 'minima', jadi pilihan perabot, aksesori dan perabot pastinya terhad dan tidak terlalu padat pada sesuatu ruang. Kos yang pernah kami lakukan untuk hiasan dalaman kediaman pelanggan dalam anggaran RM10,000 ke atas. Ia bergantung juga pada bajet pelanggan dan pemilihan material yang digunakan.

Boleh kongsikan tip bagaimana untuk minimalis ruang kediaman yang kecil?   

Untuk memberikan ruang kecil menjadi luas, penggunaan cermin, pencahayaan dan warna cat antara yang dapat membantu situasi tersebut. Cermin membantu memberi pantulan ruang agar ia kelihatan besar dan luas. Warna cat pula, penggunaan warna yang lebih terang membolehkan ruang yang sempit akan kelihatan lebih luas, ruang yang rendah akan kelihatan lebih tinggi manakala ruang yang dekat akan kelihatan lebih jauh. Pemilihan perabot dan susun aturnya juga penting untuk menampakkan ruang yang lebih luas.

Kelebihan menggunakan khidmat pereka dalaman untuk menata rias kediaman?

Ia bergantung kepada sesetengah individu, bagi yang mampu, tetapi tiada waktu untuk melakukannya sendiri, menggunakan khidmat pereka dalaman adalah pilihan mereka.

Tetapi jika pemilik kediaman itu mempunyai kepakaran bertukang dan inginkan lebih penjimatan, mereka boleh melakukannya sendiri. Namun untuk lebih rundingan dan kepuasan bagi rekaan lebih tersusun dan kemas, khidmat pereka lebih diperlukan kerana kepakaran yang dimiliki.

Apakah cabaran yang dihadapi oleh syarikat pereka dalaman ketika ini? Dan apakah harapan bagi tahun baharu ini?

Cabaran pertama adalah kenaikan harga barang yang dipengaruhi oleh faktor ekonomi dan nilai ringgit.

Keduanya adalah kehadiran aplikasi hiasan dalaman di telefon mudah alih yang mudah diakses oleh pengguna, di mana memudahkan mereka mendapat paparan 3 dimensi (3D) untuk kediaman mereka.

Namun kami sebagai pereka dalaman, sentiasa bersedia dengan pelbagai kemungkinan yang berlaku apabila menceburkan diri dalam industri ini.

Apa yang penting adalah harapan untuk terus kekal dalam pasaran dengan memberikan khidmat terbaik kepada pelanggan agar hubungan yang telah dijalin dapat diteruskan untuk menarik lebih ramai pelanggan.