KABINET dapur menjadi perkara penting bagi kebanyakan pemilik rumah sebaik berpindah ke rumah baharu. Terdapat pelbagai jenis kabinet mengikut konsep yang diidamkan. Selain cantik di mata, kriteria kabinet itu juga harus tahan lama. Bagaimanapun, kebanyakan kabinet di pasaran ditawarkan dengan harga mencecah hingga puluhan ribu ringgit. Pun begitu, tidak semua syarikat menawarkan harga yang tinggi terhadap pemasangan kabinet.

Ikuti perkongsian Pengurus Furniture Budget, Noor Eleezan Mohd Ibrahim dan suaminya, Isnain Ishak, yang mempunyai pengalaman lebih 10 tahun dalam khidmat memasang kabinet dapur pada harga bajet.

Boleh kongsikan serba sedikit mengenai syarikat Furniture Budget?

Kami syarikat Bumiputera berdaftar dengan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) berpengalaman lebih 11 tahun dalam bidang perabot, kerja besi, pembinaan rumah banglo dan ubah suai rumah. Furniture Budget sangat menitikberatkan  kualiti produk dan harga yang berpatutan.

Biarpun boleh miliki pada harga bajet, tetapi ketahanan dan kualiti tetap diutamakan.

Sejak 2015, kami beroperasi di Semenyih, dengan membuka pusat pameran kabinet dapur sendiri, memiliki bengkel besi sendiri dan kilang perabot sendiri. Pun begitu, antara yang mendapat sambutan tinggi adalah pemasangan kabinet dapur kerana kami tawarkan dengan harga bajet.

Bagaimana tercetusnya idea menawarkan pemasangan kabinet pada harga bajet?

Ramai antara bakal pemilik rumah atau pemilik rumah baharu mengimpikan untuk memiliki kabinet dapur sendiri, tetapi kebanyakan rekaan kabinet harganya mahal sehingga menyebabkan pemilik kediaman agak terbeban untuk penuhi keinginan tersebut.

Situasi itu membuatkan kami terpanggil membantu orang ramai mendapatkan kabinet impian mereka dengan harga berpatutan tetapi kualitinya baik dengan beza harga lebih rendah dari harga di pasaran.

Berapa harga ditawarkan untuk pemasangan kabinet dapur bajet?

Apabila menyebut istilah bajet, maka, segalanya bergantung pada pelanggan. Jika mereka cuma ada RM1,000, kami boleh berikan khidmat untuk pemasangan kabinet pada harga tersebut. Kami bantu sehingga mereka dapat kabinet mereka sendiri.

Pekerja Furniture Budget menyelesaikan kerja pemasangan kabinet dapur di kediaman pelanggan.

Tetapi kebiasaan harga kabinet bergantung pada saiz dan pemilihan bahan. Paling penting, sebelum pemasangan, kami akan beri panduan dan berbincang terlebih dahulu bersama pemilik kediaman agar segalanya jelas dan berpuas hati. Contohnya kabinet lapan kaki, anggaran harga adalah RM2,800 jika menggunakan table top HPL termasuk pintu melamin. Dan jika pelanggan mahu yang lebih tahan lama, berkualiti dan cantik, hanya keluarkan kos dalam RM3,500, untuk dapatkan kabinet idaman mereka. Caj cukai barang dan perkhidmatan (GST) kami tanggung.

Bagaimana kualiti material digunakan?

Biarpun harga kabinet kami murah, tetapi kualitinya masih baik, boleh tahan lama dan memuaskan hati. Pun begitu, penjagaan kabinet itu sendiri, faktor penentu sesebuah kabinet dapur boleh bertahan lama atau tidak. Contohnya berdasarkan maklum balas pelanggan, ada yang memasang kabinet dengan bajet rendah, boleh bertahan lebih 10 tahun.

Oleh itu, jika pelanggan mahu yang tahan lama, pilihan table top konkrit berserta pintu melamin atau arclik yang tahan air, akan kami sarankan. Manakala bagi yang inginkan harga lebih rendah, pemilihan table top HPL boleh diberikan. Cuma table top HPL yang mengandungi bahan kayu, ketahanannya tidak lama kerana tidak kalis air iaitu antara empat ke lima tahun boleh tahan. Tetapi jika digunakan untuk ruangan dapur kering, ia boleh bertahan lebih 10 tahun.

Kelebihan lain yang ditawarkan syarikat?

Kami bukan hanya pasang kabinet sahaja, tetapi kami beri garis panduan kepada pelanggan sebelum memilih kabinet kerana kami mahu pelanggan dapatkan kabinet impian dengan cara yang betul dan selamat.

Noor Eleezan memantau segala tempahan dan kerja stafnya.

Langkah selalu kami lakukan apabila terima tempahan, kami pergi ke rumah pelanggan untuk mengetahui segala kemahuan yang dirancang, kemudian lihat saiz ruang untuk memasang kabinet. Paling penting, kedudukan peti ais perlu ditentukan terlebih dahulu, selain kami jelaskan juga kelebihan dan kekurangan pada rekaan atau pemilihan material untuk memasang kabinet. Apabila dipersetujui, baharu kami mulakan lakaran dan menghasilkan perabot di kilang, akhirnya dalam tempoh kurang dua minggu pemasangan dilakukan.

Apakah perancangan syarikat sepanjang tahun ini?

Sekiranya permintaan pelanggan semakin tinggi, kami merancang membuka beberapa cawangan lagi di seluruh negara. Buat masa ini, kami hanya ada satu pusat pameran.

Dalam masa terdekat kami akan menganjurkan kelas panduan secara percuma kepada orang awam terutama bakal pemilik rumah untuk berkongsi garis panduan dan maklumat yang perlu mereka diketahui sebelum membeli rumah, urusan dengan peguam dan maklumat selepas memiliki kediaman.