BAGI yang memiliki tanah sendiri, sudah tentu mereka mengimpikan rumah cantik dan memenuhi selera masing-masing mengikut bajet.

Disebabkan itu, ada yang sanggup mengupah tukang atau kontraktor tidak berdaftar bagi merealisasikan impian mereka asalkan harganya murah dan rumah dibangunkan mengikut keinginan mereka.

Namun sebenarnya rumah yang cantik sahaja tidak memadai, sebaliknya struktur bangunan kukuh jadi keutamaan dalam pembinaan sesebuah kediaman bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.

Ikuti perkongsian Pengurus NH Warisan Enterprise, Nor Hayati Abideen yang mempunyai kelulusan dalam bidang ukur bahan dan kepakaran dalam bidang pembinaan selama lebih 20 tahun.

Nor Hayati

Boleh kongsikan latar belakang NH Warisan Enterprise?

NH Warisan Enterprise ditubuhkan 7 Disember 1997. Ketika awal penubuhannya, kami hanya membuat kerja-kerja penyelenggaraan melibatkan pembersihan kawasan rumah seperti cuci longkang dan memotong rumput.

Selepas mendapatkan Lesen Perakuan Pendaftaran Kontraktor Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) bagi kelas G1 pada 2000, barulah kami mula menawarkan khidmat membina rumah pelanggan di atas tanah mereka, selain membuat ubah suai dan penyambungan (extention) kediaman serta membekalkan bahan binaan kepada tuan rumah.

Selain itu, NH Warisan Enterprise turut terlibat projek-projek kerajaan membabitkan kerja-kerja undi, iaitu kerja-kerja inden (segera) seperti membaik pulih longkang, bumbung atau kuarters kakitangan kerajaan.

Sehingga kini, berapa banyak projek dikendalikan syarikat?

Sepanjang beroperasi, kira-kira 15 buah rumah pelanggan berjaya disiapkan di seluruh negara, 50 kediaman ubah suai, 30 projek sambungan rumah dan lebih 30 projek-projek inden. Semua rumah yang kami bangunkan menggunakan kaedah konvensional.

Dari segi harga rumah, kami mengikut bajet pelanggan tanpa mengabaikan kualiti struktur bahan binaan digunakan. Harga rumah bergantung kepada keadaan tapak atau tanah tuan rumah serta spesifikasi rumah tersebut iaitu jenis kemasan lantai, kemasan dinding, jenis siling, bumbung dan reka bentuk rumah tersebut secara amnya.

Bagaimana prosedur membina rumah atas tanah milik pelanggan?

Setiap tanah dibangunkan perlu mendapatkan kelulusan pelan kediaman daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) masing-masing jika melibatkan tanah di bawah lingkungan PBT. Ini bermaksud, kami perlu menghantar pelan rumah lengkap kepada PBT mengikut spesifikasi ditetapkan. Proses ini biasanya melibatkan arkitek dengan jurutera yang akan menterjemahkan keinginan tuan tanah dalam bentuk pelan dan memperincikan struktur ukuran bahan binaan diperlukan.

Selepas kelulusan PBT diterima, barulah saya sebagai kontraktor membina rumah mengikut pelan tersebut. Kalau kontraktor bina rumah tanpa kelulusan, tuan rumah akan dikenakan tindakan saman PBT.

Sebab itu kami menasihatkan supaya permohonan pelan dibuat untuk memudahkan semua proses. Tambahan pula, rumah yang ada pelan kelulusan PBT akan dapat sijil layak menduduki (CCC). Apabila rumah hendak dijual, harganya lebih tinggi berbanding rumah tanpa kelulusan pelan. Berbeza dengan tanah kampung, ia tidak memerlukan kelulusan PBT untuk pembinaan rumah.

Apakah kepentingan kelulusan pelan kediaman daripada PBT?

Sebab utamanya adalah supaya kediaman tersusun dan paling penting adalah dari segi keselamatan rumah. Jika tidak mengikut spesifikasi ditetapkan, rumah berisiko roboh. Dalam pembinaan rumah ini, kita ada spesifikasi tertentu contohnya gunakan besi tertentu dengan saiz ditetapkan dan kuantiti diperlukan serta lain-lain.

Jika tidak dipatuhi, ia akan mengundang risiko. Malangnya, terdapat segelintir tuan rumah masih mahu berjimat dengan mengupah pekerja asing yang hanya pandai membina rumah berdasarkan pengalaman tanpa pengetahuan mendalam mengenai hal ehwal struktur dalam pembangunan sesebuah rumah. Mereka mahukan harga murah, tetapi tidak faham dari segi teknikal. Jika ada berlaku masalah, mereka perlu menanggungnya sendiri.

Sebagai kontraktor, kami bukan mahu mengaut keuntungan tinggi, tetapi lebih kepada menjaga dari segi keselamatan. Kebanyakan pemilik rumah hanya menginginkan rumah yang cantik, siling dan lantai cantik iaitu dari segi luaran, tetapi tidak tahu, struktur dalaman lebih penting daripada itu. Yang luaran rumah ini kita masih boleh baik pulih, tetapi jika melibatkan struktur dalaman, bangunan berisiko runtuh dan nyawa jadi taruhan. Disebabkan itu, saya lebih suka beri penjelasan kepada pelanggan supaya jangan ambil mudah tentang perkara ini.

Bagaimana pasaran hartanah sejak kebelakangan ini dan masalah dihadapi kontraktor?

Pasaran hartanah agak perlahan sejak kebelakangan ini disebabkan harga material bahan binaan yang naik hampir setiap minggu atau bulan. Ia disebabkan faktor kos pengangkutan tinggi selepas sistem pengapungan harga minyak dilaksanakan.

Walaupun harga minyak turun, tetapi harga barang binaan tidak turun. Berbanding sebelum sistem apungan harga diperkenalkan, walaupun harga barang binaan naik, tetapi tidaklah sekerap sekarang. Kalau pelanggan bersetuju untuk membina rumah, kami akan menasihatkan mereka membayar deposit untuk ‘lock’ harga itu sehingga rumah tersebut hendak dibina. Selalunya, tempoh maksimum tiga bulan dari tarikh bayar deposit, rumah tersebut haruslah mula dibina.

Apa harapan syarikat?

Saya akan terus melakukan pemasaran agresif supaya lebih ramai sedar kewujudan NH Warisan Enterprise. Pada masa sekarang, saya ada mengikuti beberapa laman sesawang terkemuka untuk tujuan promosi. Alhamdulillah, ramai yang menelefon saya bertanyakan tentang perkhidmatan ditawarkan. Kelulusan saya dalam bidang teknikal membuatkan mereka bertambah yakin untuk mendapatkan khidmat kami dengan harga berpatutan.