MEMILIKI kediaman sendiri, cantik dan selesa merupakan impian setiap individu, ia juga memberi banyak pengaruh dalam kehidupan. Kediaman yang selamat dan selesa adalah kunci kesejahteraan, keharmonian dan keluhuran kehidupan sesebuah masyarakat.

Namun, memiliki rumah idaman sukar dipenuhi kerana faktor harga sering menjadi penghalang. Malah, harga ditawarkan terlalu tinggi dan tidak sepadan dengan pendapatan.

Justeru, syarikat Bumiputera, Al Ansar IBS PLT menawarkan alternatif kepada individu memiliki rumah sendiri pada harga mampu milik.

Pengerusi Eksekutifnya, Datuk Seri Muhamad Khanafi Husin berkata, Al Ansar IBS ditubuhkan pada 2016 bertujuan menyediakan kediaman selesa kepada masyarakat dengan menggunakan teknologi terkini.

“Al Ansar IBS mempunyai kepakaran dalam menyediakan pakej bina rumah serta menguruskan projek binaan. Kami juga merekabentuk pelan rumah dan pelan rumah tambahan serta menyediakan lukisan untuk kelulusan pihak berkuasa tempatan (PBT).

"Syarikat juga menyediakan perundingan yang terlibat dalam pembinaan, menyediakan lukisan persembahan 3D perspektif membuat model ‘scale model’ dan menyediakan khidmat kontraktor binaan dan kontraktor landskap serta kawal selia dan memantau kualiti binaan,” katanya.  

Bangunkan kediaman

Khanafi berkata, sebagai sebuah syarikat yang terlibat dalam pembinaan hartanah sejak 2007 di bawah syarikat Al Ansar Properties Sdn Bhd (Al Ansar Properties) membangunkan lot banglo dan kediaman.

“Sebelum menubuhkan syarikat sendiri, saya bermula dari bawah sebagai seorang kerani dan menimba pengalaman dalam bidang hartanah bersama syarikat milik abang sejak 1997 sehingga 2007.

"Selepas 10 tahun, saya mula mengorak langkah membuka syarikat sendiri yang memfokuskan kepada hartanah kerana keyakinan terhadap industri ini yang dilihat berpotensi dalam jangka masa panjang.

“Saya memulakan pembangunan lot banglo di kawasan Sepang, Selangor kerana kawasan tersebut strategik berhampiran pusat pentadbiran Putrajaya dan mempunyai permintaan tinggi dan ia dikembangkan ke sekitar Lembah Klang. Kami menerima sambutan memberangsangkan dan turut membangunkan kawasan kediaman di Bangi dan Meru,” katanya.

Tambahnya, beberapa tahun kemudian, pasaran hartanah mendapat permintaan tinggi dan menyebabkan harga tanah mahal. Namun, ia tidak menjejaskan kedudukan Al Ansar berikutan syarikat menawarkan kediaman yang mampu milik.

"Saya melihat ia tidak praktikal untuk menjual rumah pada harga mahal. Harga rumah ditawarkan tidak masuk akal sehingga golongan profesional tidak dapat membeli rumah yang mereka impikan,” katanya.

Katanya, bermula dari permasalahan itu, beliau memikirkan bagaimana untuk membantu menawarkan hartanah kepada orang ramai pada harga mampu milik.

“Pada peringkat permulaan, selain membangunkan kawasan perumahan di Lembah Klang, pendekatan digunakan ialah membeli tanah dan mengadakan kerjasama dengan pemilik tanah di beberapa kawasan terpilih dan di luar Selangor dan Kuala Lumpur. Kami pilih kawasan Perak dan Johor kerana harga tanah yang ditawarkan masih rendah,” katanya.

Beliau berkata, kebanyakan pembeli Al Ansar di Perak dan Johor merupakan mereka yang bekerja di Kuala Lumpur tetapi mempunyai tanah di kampung.

Tambahnya, Al Ansar juga dikembangkan ke beberapa negeri lain dan kini menyasarkan untuk menambahkan pemilikan tanah dan dibangunkan lot banglo di beberapa negeri antaranya Kedah, Melaka dan Negeri Sembilan serta Pahang.

“Kami mencari tanah yang berkeluasan tidak melebihi tiga ekar kerana ia mudah untuk diuruskan dan praktikal untuk dipecahkan lot bagi membangunkan kediaman,” katanya.

Perkenal teknologi IBS

Berpengalaman lebih 15 tahun dalam bidang pembinaan memberikan keyakinan kepada Khanafi menyokong pembinaan kediaman menggunakan kaedah Sistem Binaan Berindustri (IBS), kini penambahbaikan dilakukan ke atas bumbungnya.

Katanya, seiring dengan perkembangan semasa, Khanafi menubuhkan Al Ansar IBS PLT memfokuskan membangunkan lot-lot banglo serta membina rumah kediaman sebuah menggunakan kaedah biasa.

“Pada 2016, Al Ansar mula membina rumah menggunakan teknologi IBS iaitu ‘hollow block’ dan ‘interlocking brick’ (batalego) dan kaedah IBS lain,” katanya.

Khanafi berkata, Al Ansar IBS menggalakkan orang ramai memilih kaedah IBS kerana binaannya lebih kukuh, tahan haba dan bunyi, penahan kebakaran, tempoh siap lebih cepat iaitu tiga bulan dan penggunaan tenaga kerja yang minimum.

“Jika dibandingkan dengan kaedah konvesional, IBS mengurangkan kos binaan kerana penggunaan acuan kayu dihapuskan dan diganti dengan sistem pasang siap yang lebih mudah dan sistematik. Malah, ia  mengurangkan tenaga buruh kerana tidak ada kerja melepa dan mengikat batu-bata,” ujarnya.

Katanya, Al Ansar IBS beroperasi di Kajang, Selangor mempunyai beberapa cawangannya di seluruh negara iaitu di Zon Utara terletak di Kedah, Zon Perak, Zon Selatan terletak di Johor, Zon Timur di Pahang dan Zon Tengah di Selangor.

Selain pembinaan banglo, Al Ansar turut menawarkan pembelian produk IBS seperti Interlocking Bricks, Interlocking Hollow Blocks dan Bumbung Atap Gajah kepada kontraktor dan individu yang ingin membina sendiri rumah mereka di samping latihan pemasangan batu IBS.

Ketengahkan inovasi bumbung gajah

Menurutnya, untuk memberikan kelainan kepada pembeli, Al Ansar IBS mengetengahkan inovasi bumbung teknologi nano dan gentian Fiber Hybrid, Atap Gajah yang diimport dari Thailand.

"Formula terkini itu menggabungkan sepenuhnya Simen Portland SCG dengan selulosa khas menghasilkan kekuatan dan ketahanan impak lebih tinggi yang semakin popular digunakan pada bumbung atau atap kediaman di negara ini.

"Bumbung gajah lebih jimat dibandingkan atap genting kerana ia mempunyai sistem aliran haba yang baik, kedap bunyi, tahan lama dan tidak mudah retak. Lebih menarik ia mempunyai dua lapisan warna, disaluti Nano Anti-Kulat dan paling penting lebih ringan dan menjimatkan kos pengendalian logistik,” katanya.

Tambahnya, projek banglo IBS Al Ansar yang pertama menggunakan Atap Gajah adalah di Sungai Buah Bangi, Selangor, seterusnya di Beranang dan Kuang serta di Merlimau, Melaka.

Terbaharu, Al Ansar IBS melancarkan pembinaan banglo IBS model Teratai sangat praktikal kerana ditawarkan pada harga serendah RM116,000 dilengkapi tiga bilik tidur dan dua bilik air serta keseluruhan berukuran 25’ x 39’ kaki persegi.

“Dalam situasi penjimatan kini, orang ramai mempunyai bajet minimum dan model tersebut dijangka memenuhi permintaan kerana menggunakan spesifikasi binaan lebih berkualiti antaranya penggunaan jubin di seluruh kawasan dalaman binaan banglo dan atap gajah yang menjadi salah satu spesifikasi tetap pembinaan rumah banglo di bawah syarikat Al Ansar IBS PLT,” katanya.

Katanya, Al Ansar menyasarkan membina 150 unit rumah lot mampu milik Teratai menjelang 2020 kerana dalam keadaan ekonomi semasa, ia ditawarkan pada harga RM116,000 seunit.

Tawar 44 reka bentuk rumah

Menariknya, Al Ansar yang menawarkan IBS melalui Hollow Block dan Interlocking Brick (Batalego) menyediakan 44 reka bentuk banglo setingkat dan dua tingkat dan satu tingkat setengah.  

“Kami turut beri peluang kepada pelanggan memberikan idea mereka dalam pembinaan rumah diimpikan. Ada kalanya gabungan idea sebegitu akan memberikan hasil terbaik,” katanya.

Khanafi berkata, antara reka bentuk yang ditawarkan menggunakan IBS melalui Hallow Block ialah Safiya, Imtiyaz, Mawar, Sumayah, Teratai, Sofea, Zulfa, Aleya, Maliha, Insyira, Aziera, Puteri, Melia, Dania, Ayuni, Seroja, Nafeesa, Maya Damai Ria bermula pada harga RM90,000 sehingga RM550,000.

Sementara itu, Interlocking Brick (BataLego) pula Al Ansar menawarkan rekabentuk Jasmine, Kiambang, Lily, Camellia, Mutiara, Fressia, Carnation, Laurel, Sakura, Begonia, Veronica, Protea, Oleander, Orchid, Iris, Dandelion, Daisy, Clover, Mallow, Asoka berharga bermula RM105,000 hingga RM305,000.

“Bagi banglo setingkat pula, Al Ansar IBS menawarkan reka bentuk banglo satu tingkat setengah iaitu Violet, berharga RM300,000. Banglo reka bentuk dua tingkat pula Al Ansar IBS menawarkan Aster, Bougainvillea, Magnolia, Cosmo bermula pada harga RM390,000 sehingga RM650,000,” katanya.

Untuk mengukuhkan kedudukannya dalam pasaran hartanah, Khanafi berkata, Al Ansar IBS mengadakan kerjasama bersama Terraland Prestige Enterprise dan Anggun Armada yang akan menguruskan kerja pemasaran projeknya.

“Kami juga mengadakan pemasaran menerusi platform media sosial kerana kami dapati kebanyakan pelanggan mendapat maklumat mengenai Al Ansar melalui facebook dan instagram,” katanya.

Yakinkan pelanggan

Al Ansar IBS turut terkena tempias kontroversi beberapa pemaju hartanah yang gagal menyiapkan rumah pembeli yang tular tahun lalu.

"Segelintir pelanggan anggap kami seperti syarikat tersebut yang menjanjikan rumah disiapkan. Kami perlu yakin mereka bahawa kami ada identiti sendiri. Ia adalah cabaran untuk pastikan pembeli bahawa kami tidak seperti pemaju lain dan telus menjalankan perniagaan.

"Kami terima pelbagai pertanyaan pembeli ketika mengadakan promosi projek Al Ansar di sekitar Lembah Klang dengan menyertai pelbagai pameran hartanah dan mengadakan pameran di beberapa lokasi terpilih.

"Setelah mereka melihat sendiri pembinaan kediaman dan mendapat respons positif pembeli sedia ada, Al Ansar IBS diterima baik dan mereka membina beberapa rumah bersama kami," katanya.