SYARIKAT pemaju terkemuka negara, Kumpulan Mah Sing mencatatkan pelbagai kejayaan sejak terlibat dalam bidang hartanah lebih dua dekad lalu. Pengarah Urusan Kumpulan Mah Sing, Tan Sri Leong Hoy Kum adalah insan luar biasa kerana membangunkan syarikat tersebut dengan penuh dedikasi sehingga kini, mempunyai 47 projek di seluruh negara.

Hoy Kum berkata, falsafah perniagaannya bertujuan untuk mewujudkan senario situasi menang-menang dan membina hubungan jangka panjang dengan pelanggan, pemegang saham, kakitangan, rakan perniagaan dan kontraktor.

"Saya suka melihat seni reka bangunan dalam dan luar negara dijadikan sumber inspirasi untuk digunakan dalam bidang saya ceburi. Saya mahukan yang terbaik dalam Mah Sing kerana dimulakan mendiang bapa pada 1965 dengan aktiviti perdagangan plastik.

"Setelah menyertai syarikat Mah Sing, berjaya membangunkan syarikatnya dan seterusnya mengasaskan Mah Sing Plastics yang memberi fokus dalam bidang  perkilangan membuat plastik. Pada 1992, Mah Sing disenaraikan dalam Bursa Saham Kuala Lumpur (KLSE) pasaran kedua dalam sektor perindustrian. Pada tahun 1994, saya menceburi industri hartanah kerana mendapati bahawa adanya permintaan yang tinggi dalam pasaran perumahan," katanya.

Beliau berkata, sejak itu, Mah Sing bermula dengan projek perumahan pertama, iaitu rumah teres satu tingkat di Ulu Yam, Selangor. Pada tahun yang sama,  i-Parc Series, iaitu projek taman perindustrian turut dimulakan.

"I-Parc series menjadi projek perindustrian Mah Sing paling berjaya kerana kepakaran saya dalam bidang perindustrian. Kami memahami keperluan usahawan dan i-Parc Series ini dapat memenuhi keperluan tersebut. i-Parc Series menawarkan ruang perindustrian pelbagai fungsi yang terdiri daripada campuran pejabat kedai dan kilang industri ringan," katanya.

Pada tahun 2000, Mah Sing dikelaskan semula dari sektor perindustrian ke sektor hartanah dan seterusnya memasuki pasaran utama Bursa Malaysia pada tahun 2004.

Hoy Kum berkata, Mah Sing mencapai pelbagai pencapaian pertama dalam industri pembangunan dan Kumpulan ini berjaya mengenalkan konsep berpagar dan pengawalan sekuriti untuk kediaman halaman Sri Pulai Perdana di Iskandar Malaysia 17 tahun lalu, konsep itu belum lagi diamalkan pada masa tersebut.

"Mah Sing turut berjaya mencatat sejarah apabila projek komersialnya yang pertama, iaitu The Icon, Jalan Tun Razak merupakan projek komersial yang pertama berjaya dijual secara en bloc. Projek M City, Jalan Ampang merupakan projek Mah Sing pertama yang menerapkan konsep thematic hanging gardens.

"Konsep ini membolehkan residen untuk menikmati garden lifestyle di tengah kesibukan bandar. Bukan itu sahaja, galeri jualan Southville City yang berukuran 20 ekar dianugerahkan ‘Galeri Hartanah Terbesar’ Malaysia Book of Records di 2016," katanya.

Beliau berkata, Mah Sing akan meneruskan usaha untuk melancarkan projek pada harga harga yang berpatutan selaras dengan keperluan pasaran.

"Kami merancang untuk meningkatkan simpanan tanah di Lembah Klang dari 66 peratus kepada 75 peratus. Disokong oleh penyata imbangan kami yang baik, kami akan meneruskan usaha untuk mencari tawaran tanah yang sesuai untuk peluang pelaburan.

"Tahun ini, kami membeli tiga tanah, dua di Lembah Klang dan satu di Bukit Mertajam, Pulau Pinang.

Projek kami yang akan datang termasuk M Aruna, Rawang, M Vertica, Cheras, M Centura, Sentul, M Vista@Southbay dan M Parc, Bukit Mertajam, Pulau Pinang manakala di Fasa 2 Fern di Meridin East di Johor," katanya.

Mah Sing kuasai pasaran hartanah

Kumpulan Mah Sing (Mah Sing) adalah adalah antara pemaju industri hartanah terkemuka di Malaysia dengan 47 projek di Kuala Lumpur dan Lembah Klang, Pulau Pinang, Johor dan Sabah di mana 13 projek siap dibina. Mah Sing terbukti sebagai pemaju yang serba-boleh dalam mendirikan pelbagai jenis projek dari kediaman berlaman, kediaman bertingkat bertahap sederhana hingga mewah, pejabat Gred A, projek komersial, SoHo serta projek perindustrian.

Penglibatan Mah Sing dalam industri hartanah melebihi dua dekad.Dalam tempoh tersebut, Mah Sing juga memenangi pelbagai anugerah untuk prestasi syarikat, rekaan produk, konsep, inovasi dan kualiti. Ikuti temu bual bersama Pengarah Urusan Kumpulan Mah Sing, Tan Sri Leong Hoy Kum.

Apakah perspektif Mah Sing terhadap pasaran hartanah tempatan?

Dalam industri hartanah, ianya amat penting bagi pemaju untuk membina produk yang bersesuaian dan diperlukan rakyat. Pasaran hartanah kini tertumpu kepada projek perumahan yang berharga kurang daripada RM500,000.

Sejak tahun 2015, kami memberikan tumpuan dalam membangunkan projek pembangunan berharga kurang daripada RM500,000 kerana harga berpatutan merupakan salah satu faktor penting untuk setiap pembeli rumah. Kami percaya pasaran hartanah mempunyai potensi, terutamanya untuk pembangunan rumah harga berpatutan, terletak di lokasi yang strategik serta dilengkapi dengan fasiliti yang baik.

Sebagai contoh, kami baru sahaja membuka Sesi Previu dan Pemilihan Unit dengan serentak untuk tiga projek di seluruh Malaysia pada 28 Oktober lalu. Ketiga-tiga projek kami iaitu M Centura di Lembah Klang, M Vista@Southbay di Pulau Pinang dan Fern di Meridin East, Johor Bahru semuanya mencatatkan kadar purata  pengambilan sebanyak 95 peratus.

Kami menerima sambutan yang baik, Bajet 2018 memberi impak yang bagus serta memulihkan sentimen dan keyakinan pembeli terhadap pasaran hartanah. Kami akan terus fokus dalam hala tuju kami yang selaras dengan kempen Reinvent Affordability dengan menyediakan rumah dengan harga yang boleh dimiliki oleh pembeli.

Projek perumahan kami memberi tumpuan pada susun atur yang praktikal dan fasiliti yang baik. Yang paling penting, projek kami juga dibina berdekatan dengan pengangkutan awam seperti MRT, LRT serta mudah diakses.

Apakah ciri-ciri projek Mah Sing yang mendapat sambutan?

Antara projek Mah Sing  yang mendapat sambutan iaitu M Centura kerana terletak hanya 5 kilometer (km) dari pusat bandar Kuala Lumpur, terletak pada harga yang berpatutan dari RM328,000 dan juga berdekatan dengan pelbagai infrastruktur pengangkutan awam seperti LRT (Sentul Timur dan Sentul), stesen MRT Sentul Barat yang akan datang, stesen KTM Sentul, stesen KTM Kampung Batu dan stesen KTM Batu Kentonmen.

Selain itu, M Vista@Southbay, Penang di Pulau Pinang berharga dari RM345,800 terletak hanya 1 km dari Jambatan Pulau Pinang kedua dan 9 km dari Jambatan Pulau Pinang yang pertama. M Vista menawarkan belian nilai bertentangan dengan trend harga pasaran di Pulau Pinang yang semakin meningkat.

Hoy Kum bersama logo baharu Mah Sing.

Sementara itu, projek Fern, Meridin East in Johor menawarkan harga indikatif yang bermula dari RM410,550. Rumah teres dua tingkat ini menawarkan kediaman di pinggiran tasik dengan harga berpatutan.  Ianya terletak di dalam projek perbandaran terbesar (seluas 1,313 ekar) oleh Mah Sing di Johor Bahru. Bukan itu sahaja, pihak kerajaan turut komited untuk meningkatkan lagi kualiti pembelajaran dengan menyediakan peruntukan yang lebih tinggi dalam Bajet 2018 bagi sektor pendidikan dan serta meluluskan pembinaan 10 lagi sekolah di Johor dan Selangor. Salah satu dari sekolah tersebut adalah SJK (C) Sim Moy Yu yang akan dibina dalam projek perbandaran Mah Sing iaitu Meridin East di Johor.

Apakah peranan Mah Sing dalam menyokong agenda negara untuk membantu rakyat memiliki unit kediaman?

Dalam menyokong objektif kerajaan untuk menggalakkan pemilikan rumah, Mah Sing sebagai pemaju rumah utama Malaysia dalam kategori harga berpatutan melancarkan kempen Reinvent Affordability menjelang pengumuman Bajet 2018. Kempen ini merangkumi empat projek baru dan ia bertujuan untuk mengubah persepsi mengenai rumah harga berpatutan. Mah Sing menyediakan rumah berspesifikasi baik pada harga boleh dimiliki ramai. Empat projek tersebut adalah M Centura di Sentul, M Vertica di Cheras, M Vista@Southbay di Pulau Pinang, dan Fern, Meridin East di Johor Bahru.

Kempen  Reinvent Affordability kami tepat dan selaras dengan insentif-insentif Bajet 2018 seperti PR1MA Skim Pembiayaan, Program MyDeposit dan pengurangan cukai pendapatan yang dapat memenuhi aspirasi kerajaan dalam menangani masalah kekurangan rumah pada harga berpatutan, sesuai dengan kategori berpendapatan sederhana. Kami bersungguh dengan status kami sebagai pemaju terkemuka Malaysia yang menyediakan rumah yang berciri premium pada harga yang berpatutan.

Kempen ini juga melibatkan kempen Rewards Reloaded Incentive bernilai RM23 juta yang akan menjadikan pemilikan projek-projek sedia ada lebih murah dengan menyediakan insentif dalam bentuk kereta, pakej dan baucar hiasan dalaman. Kumpulan Mah Sing juga akan menghadiahkan bar emas kepada pembeli. Pembeli dari projek-projek yang terpilih akan mendapat peluang yang lebih untuk memenangi bar emas eksklusif. Kempen ini sudah bermula dan akan tamat pada 31 Disember depan.

Boleh ceritakan projek perumahan rumah mampu milik yang dilaksanakan Mah Sing dan bagaimanakah sambutan daripada pelanggan dan di manakah lokasinya?

Kami menyokong inisiatif kerajaan Malaysia untuk membina lebih banyak rumah mampu milik untuk rakyat.

Pada awal tahun ini, kami melancarkan projek RUMAWIP ‘Residensi Seri Wahyu’. Pembangunan ini berada di lokasi yang strategik di Kuala Lumpur dan bersesuaian untuk golongan belia yang bekerja di kawasan bandar serta keluarga kecil.Residensi Seri Wahyu ini mempunyai satu blok yang memuatkan sebanyak 660 unit buah rumah. Setiap unit berukuran 805 kaki persegi dan mempunyai tiga bilik berserta dua buah bilik mandi. Setiap unit mempunyai satu tempat letak kereta dan berharga RM300,000.

Mah Sing juga menerima anugerah sempena The Edge Excellence Award 2016.

Kami juga melancarkan projek Rumah Selangorku di M Residence 2 pada May 2015. Projek tersebut merangkumi 244 unit-unit kediaman berharga RM170,000. Setiap unit berukuran 850 kaki persegi dengan tiga bilik dan dua bilik mandi  disertai dua tempat letak kereta. Projek tersebut mencatat 95 peratus kadar ambilan.

Dalam perancangan masa depan, kami akan melancarkan Rumah Mampu Milik Johor di Bandar Meridin East, Johor dan Rumah Selangorku di M Aruna (projek baharu).

Sektor hartanah di Malaysia terus berkembang pada kadar yang stabil, adakah pengenalan Sistem Binaan Berindustri (IBS) dapat membantu pemaju?

Kos untuk membangunkan perumahan semakin meningkat akibat peningkatan kos tanah, kos bahan binaan seperti keluli, dan kos compliance. Bukan itu sahaja, mata wang Malaysia yang lemah juga turut menyumbang kepada peningkatan kos pembangunan kerana bahan-bahan utama untuk setiap projek diimport dari negara lain.

Oleh itu, pengenalan Sistem Binaan Berindustri (IBS) tiba tepat pada masanya. Menerusi IBS, komponen-komponen binaan dihasilkan di kilang dalam persekitaran terkawal. Penggunaan bahan bancuhan serta pembinaan komponen yang diselia rapi menjadikannya lebih kukuh. Komponen-komponen tersebut kemudian dihantar ke tapak pembinaan untuk dipasang menjadi struktur dengan tenaga kerja yang minimum, justeru itu penggunaan tenaga buruh serta kos pembinaan dapat dikurangkan. IBS akan memanfaatkan pemaju dalam mengurangkan kos serta menjimat masa pembinaan.

Mah Sing antara perintis dalam industri hartanah yang menggunakan IBS untuk projek kediaman semasa kami membina Aman Perdana. Pada masa itu IBS lebih kerap digunakan untuk pembangunan kediaman bertingkat. Di antara projek Mah Sing yang menggunakan IBS adalah Aman Perdana, Residence@Southbay, The Meridin@Medini, M City, Jalan Ampang dan Icon Residence, Mont’ Kiara. Kami berharap untuk menggunakan sistem IBS sepenuhnya pada masa depan.

Apakah fokus Mah Sing untuk masa akan datang dan projek terbaru?

Mah Sing berhasrat untuk menjadi pemaju hartanah terkemuka yang memberi tumpuan kepada segmen mampu milik atau rumah pada harga yang berpatutan. Masih terdapat jurang di antara bekalan dan permintaan dalam industri hartanah dengan kenaikan purata tahunan sebanyak 118,000 bilangan isi rumah terbentuk, berbanding dengan 85,000 bekalan rumah baru setahun di antara tahun 2012 hingga 2014.

Oleh itu, Mah Sing akan meneruskan usaha untuk melancarkan projek pada harga harga yang berpatutan selaras dengan keperluan pasaran.

Selain itu, kami turut merancang untuk meningkatkan simpanan tanah di Lembah Klang dari 66 peratus kepada 75 peratus. Disokong oleh penyata imbangan kami yang baik, kami akan meneruskan usaha untuk mencari tawaran tanah yang sesuai untuk peluang pelaburan. Tahun ini, kami telah membeli tiga tanah, dua di Lembah Klang dan satu di Bukit Mertajam, Pulau Pinang.