DITIPU kira-kira RM500,000 oleh rakan kongsi tidak mematahkan semangatnya untuk bangun membina empayar perniagaannya agar terus berkembang di dalam industri pembinaan.

"Sebaik menerima wang dari syarikat pada 2015, dia hilang dengan wang tersebut tanpa dikesan sehingga kini.

"Saya jadikan ia sebagai pengajaran dan iktibar agar terus berhati-hati dalam perniagaan," kata Pengarah Urusan Vertex Central Industries Sdn Bhd (Vertex), Mohd Ali Amin Ab Latif ketika menceritakan antara keperitan yang dilaluinya sepanjang berniaga.

Anak kelahiran Ketereh, Kelantan berusia 33 tahun ini memulakan perniagaan syarikatnya ketika berusia 26 tahun, selepas menamatkan pengajian di Universiti Tenaga Nasional (Uniten).

Pun begitu, Mohd Ali sempat bekerja, sekali gus menimba ilmu dengan salah satu syarikat swasta perunding kejuruteraan selama tiga bulan.

"Saya bermula secara kecil-kecilan tetapi ketika itu saya banyak fokus kepada perniagaan sebagai pembekal alat-alat pejabat. Sehinggalah pada 2012, saya nekad untuk memulakan perniagaan dalam industri pembinaan," katanya.

Menurutnya, dia bermula dengan membina sebiji rumah di atas tanah sendiri di Kota Bharu, Kelantan.

Semenjak itu, berkat kepercayaan daripada pelanggan, Mohd Ali terus mendapat sambutan positif dengan menerima tempahan berterusan untuk membina rumah dari kawasan sekitar.

Mengulas berhubung kenapa memilih industri ini, Mohd Ali berkata, rata-rata adik-beradiknya terdiri daripada ahli perniagaan, bahkan arwah bapanya juga merupakan pengusaha trading.

"Saya sememangnya meminati bidang perniagaan sejak kecil lagi. Sejak belajar di MRSM Pasir Tumbuh, Kelantan, saya juga telah didedahkan dan dilatih dalam dunia keusahawanan.

"Sebab itu, selepas melanjutkan pengajian, saya memilih untuk meneruskan pengajian di dalam bidang kejuruteraan sivil," katanya.

Mohd Ali melihat bidang itu berkait rapat dengan industri pembinaan, yang mana mampu menjana pendapatan dengan mudah.

Setelah berkecimpung dalam industri ini selama tujuh tahun, graduan program SME@University ini telah berjaya membuka enam cabang perniagaan, bagaimanapun fokus adalah dalam bidang pembangunan hartanah dan pembinaan.

"Antara bidang lain yang kami  terokai adalah stesen minyak menerusi BruderLichkeit, Vertex Technologies yang memberi fokus kepada teknologi baharu dan kejuruteraan jalan, Teraju Prisma perniagaan berkaitan trading, Vertex Star memberi tumpuan kepada kontraktor, dan Vertex Industries Sdn Bhd yang mana memberi fokus kepada projek selatan tanah air," katanya yang juga merupakan Yang Di-Pertua Dewan Perniagaan Melayu Malaysia Negeri Kelantan  (DPMMNK).

Mohd Ali juga berhasrat untuk menyenaraikan syarikatnya di Bursa Malaysia dalam tempoh dua tahun akan datang.

Vertex terokai pasaran luar Kelantan

Vertex Central Industries Sdn Bhd (Vertex) memulakan operasi perniagaan sebagai pemaju hartanah di Kelantan. Sehingga kini, syarikat itu telah berjaya membangunkan pelbagai projek pembangunan di Kelantan dan berkembang ke Selangor dan Terengganu bermula tahun depan.

Mohd Ali (kiri) bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Konvensyen Memacu Agenda Bumiputera 2017 anjuran Teraju pada April lalu.

Menuju ke hadapan, Vertex merancang untuk mengukuhkan kedudukan dengan membida beberapa projek pada masa depan.

Berapa banyak projek yang dibangunkan?

Syarikat kami sudah dikenali di Kelantan dan kebanyakan projek sebelum ini tertumpu di negeri ini. Di Kelantan sahaja, kami telah membina lebih 300 unit rumah persendirian dan pembangunan berkelompok.

Projek paling baharu adalah Rumah Banjir Selangor pada 2016, yang mana kami membina 60 unit dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM7 juta. Projek ini merupakan rumah banjir kos rendah dibangunkan di Manik Urai, Kelantan yang disiapkan tidak sampai satu tahun, sekali gus menjadi kejayaan terbesar syarikat.

Selain negeri itu, kami juga mempunyai tanah di Terengganu dan akan membangunkan projek di Selangor. Vertex juga dalam proses pembidaan untuk mendapatkan projek bernilai RM800 juta di Bangsar.

Setakat ini, kami berada di tangga tiga teratas dan berharap untuk berjaya mendapatkan projek bagi pembangunan semula di tanah berkeluasan tiga ekar itu.

Bagaimana projek pembangunan di negeri lain?

Pada tahun depan, Vertex akan memulakan projek membangunkan rumah semi-D dan banglo dengan keluasan 4,000 kaki persegi dengan harga pasaran RM1 juta seunit di Bandar Baru Bangi.

Bagi projek di Terengganu, kami akan membangunkan 26 unit rumah teres setingkat bernilai RM150,000 dan RM260,000 bagi rumah dua tingkat dengan keluasan 1,600 kaki persegi.

Fokus kami adalah untuk menawarkan rumah mampu milik dan berkualiti kepada pembeli. Setakat ini, Vertex menjual rumah bernilai serendah RM150,000 di Kelantan.

Tumpuan kami adalah untuk tiga negeri ini terlebih dahulu. Bagaimanapun, Vertex menerusi anak syarikat sudah ke Johor menerusi jenama Smartex.

Apakah Vertex turut terlibat dengan projek kerajaan?

Pada April lalu, Vertex menerima dana pembiayaan bernilai RM13.6 juta dari RHB Islamic Berhad bagi membina projek pembangunan Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) di Machang, Kelantan.

Bagi menyokong pembangunan itu, Vertex akan membina kilang mudah alih bagi teknologi Sistem Binaan Berindustri (IBS) di tapak projek itu. Setakat ini, kilang itu dalam proses akhir pembinaan sebelum projek dimulakan pada awal tahun depan.

Projek PR1MA sebanyak 308 unit dengan GDV RM68 juta dijangka siap sepenuhnya dalam tempoh dua tahun. Selain itu, Vertex juga menjadi pembekal komponen IBS kepada sebuah syarikat pemaju projek PR1MA di Jeli, Kelantan.

Kekuatan dan kepakaran Vertex?

Kami mempunyai lapan pakar teknikal yang bertauliah dalam bidang kejuruteraan, selain itu mempunyai mesin dan kilang IBS sendiri. Disebabkan itu, kami mampu mengawal kos dan mengekalkan harga rumah di bawah harga pasaran.

Buat masa ini, kami merupakan pemaju perumahan yang menggunakan 100 peratus IBS. Tetapi, tidak bagi projek di Bandar Baru Bangi kerana ia merupakan rumah mewah.

Harapan saya adalah untuk mengembangkan perniagaan syarikat menerusi beberapa cabang perniagaan lain. Antaranya menerusi syarikat BruderLichkeit, yang mana setakat ini mempunyai satu stesen kepada 10 stesen minyak dalam tempoh lima tahun.

Kami juga akan meneroka pasaran lain antaranya teknologi solar dan bangunan hijau pada masa depan. Sebagai pemaju, kita perlu bergerak seiring dengan trend dan teknologi mengikut peredaran masa, antaranya dengan menawarkan rumah pintar.

Apakah harapan Vertex pada masa depan?

Sebagai sebuah syarikat, sudah pasti saya mahu memastikan bahawa kewangan perniagaan kukuh dan sentiasa stabil walaupun berhadapan dengan keadaan ekonomi negara yang tidak menentu.

Vertex mahu memastikan kesemua cabang perniagaan mampu terus berkembang dan menyumbang prestasi yang baik.

Buat masa ini, sebanyak 90 peratus pendapatan syarikat di sumbang menerusi projek pembinaan. Dalam tempoh dua tahun, kami jangka bahawa pendapatan akan seimbang dengan cabang perniagaan lain. Ini kerana, kami tidak mahu bergantung sepenuhnya kepada projek pembinaan semata-mata.

Pandangan Vertex dalam industri hartanah?

Sektor hartanah adalah satu bidang yang tidak akan mati. Malah, ia akan terus berkembang menerajui cabang industri yang lain pada masa depan.

Saya jangka bahawa industri ini akan terus stabil apabila menuju ke arah negara maju. Melihat ke arah itu, Vertex telah berhasrat untuk tersenarai di Bursa Malaysia dalam tempoh dua tahun.