BINA Puri Holdings Bhd (Bina Puri) menyasarkan untuk melancarkan projek pembangunan hartanah bernilai RM500 juta pada tahun depan.

Pengarah Eksekutif kumpulannya, Datuk Matthew Tee Kai Woon berkata, walaupun berlaku kelembapan dalam pasaran hartanah kini, namun syarikat tidak boleh memperlahankan aktiviti, malah berusaha menyediakan tawaran dan pakej menarik untuk pembeli luar.

“Syarikat merancang untuk menambah stesen jana kuasa minihidro dalam tempoh tiga hingga lima tahun akan datang terutamanya di Indonesia, yang kini defisit dalam penjanaan tenaga elektrik.

“Anak syarikat kumpulan di Indonesia, PT Megapower Makmur TBK, yang berjaya disenaraikan di Indonesia pada Julai 2017, akan meninjau peluang tersebut,” katanya.

Menurutnya, Bina Puri juga akan meneruskan rancangan untuk memperoleh pegangan pengawalan dalam Ideal Heights Properties Sdn Bhd, pemaju Kuantan Waterfront Resort City (KWRC), yang bernilai RM15 bilion.

“Syarikat menyasarkan untuk menyelesaikan pemerolehan pada suku pertama 2018 melalui pertukaran saham yang akan menjadikan Bina Puri Holdings menguasai 51 peratus pegangan ekuiti dalam projek KWRC,” katanya

Selain itu, Bina Puri juga yakin dengan prospek jangka panjang dan menyasar memperoleh kontrak bernilai RM1 bilion dalam pembinaan dan infrastruktur dalam tempoh enam hingga sembilan bulan akan datang bagi menambah kontrak sedia adanya.