AJIYA Berhad (Ajiya) menyediakan bengkel latihan Green Integrated Building Solutions (AGIBS) kepada kakitangan Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB).

Pengarah Urusan Ajiya Berhad, Datuk Chan Wah Kiang berkata, ia merupakan satu pencapaian utama bagi pembangunan dan menerima pakai AGIBS di Malaysia.

“Kakitangan yang hadir pada bengkel itu telah diberi taklimat berhubung fabrikasi dan pemasangan AGIBS di bawah Bengkel CIDB Ereksi Struktur Keluli dan Fabrikasi peringkat satu.

“Pusat latihan telah disahkan Construction Industry Development Board (CIDB) sebagai Pusat Latihan Bertauliah Kontraktor, yang mana Ajiya telah mendapat pengesahan untuk melatih para kontraktor,” katanya.

Menurutnya, selain kerjasama dengan SPNB, Ajiya juga mengembangkan bengkel latihan kepada institusi pengajian tinggi seperti Politeknik Port Dickson dan Politeknik Melaka.

Katanya, Ajiya berharap dengan pertambahan kakitangan yang berkemahiran, ia akan meningkatkan kadar penggunaan AGIBS, dan seterusnya bekerjasama rapat dengan CIDB untuk menyumbang kepada Program Transformasi 2016 hingga 2020 (CITP) yang akan mengubah industri pembinaan ke arah lebih produktif, lestari alam sekitar, dengan pemain bertaraf global serta berdaya saing sementara memberi fokus terhadap standard kualiti dan keselamatan.

Pada 14 Julai lalu, Ajiya Berhad telah memeterai Memorandum Persefahaman (MOU) dengan SPNB untuk menerima pakai AGIBS bagi pembangunan projek perumahan di bawah Kumpulan SPNB.

Projek sulungnya ialah Rumah Generasi Baharu Felda yang melibatkan 20,000 rumah, yang mana ia dijangkakan memulakan kerja-kerja pembinaan menjelang pada akhir tahun ini.

AGIBS merupakan Sistem Binaan Industri dipatenkan (IBS) yang menyediakan industri pembinaan dengan penyelesaian bangunan bersepadu sepenuhnya bagi mengatasi masalah kekurangan tenaga kerja, tempoh pembinaan yang lebih singkat dan mengurangkan kos operasi.

Dengan menerima pakai AGIBS, tempoh pembinaan dan masa penyerahannya telah dapat di kurangkan secara purata projek rumah konvensional yang sering mengambil masa sehingga 24 bulan berbeza dengan AGIBS hanya mengambil masa selama lapan bulan.