Langkawi mampu menjadi sebuah hab perdagangan di rantau Asia apabila Teluk Ewa yang terletak di utara pulau itu dibangunkan menjadi sebuah pelabuhan yang besar.

Ahli Parlimennya, Datuk Nawawi Ahmad, berkata, perairan di Teluk Ewa mempunyai kedalaman semula jadi 18 meter, 25 meter dan 30 meter yang sangat sesuai untuk laluan dan pelabuhan bagi kapal-kapal dagang yang besar.

“Saya mencadangkan pelabuhan di Teluk Ewa diperbesarkan supaya dapat menampung puluhan kapal sedalam 18 meter, sekali gus membolehkan kapal-kapal kargo dengan muatan 20,000 TEU (unit bersamaan 20 kaki) masuk ke Langkawi.

“Dengan adanya pelabuhan seumpama ini, Langkawi mampu menyambung dan memendekkan laluan perdagangan antara Lautan Hindi dan Laut China Selatan yang kini perlu melalui Singapura,” katanya.

Menurutnya, pada masa ini terdapat kira-kira 700 kapal dagang yang melalui Selat Melaka untuk tujuan perdagangan, yang boleh memakan masa sehingga seminggu kerana laluannya yang sempit.

"Dengan adanya pelabuhan dagang di Teluk Ewa itu, laluan kargo akan menjadi lancar dan dianggarkan hanya mengambil masa antara tiga dan empat jam ke Pelabuhan Songkhla di selatan Thailand," katanya.

Lokasi strategik membolehkan Teluk Ewa diangkat sebagai pelabuhan dagangan yang berjaya.

Sementara itu, mengenai cadangan menaik taraf Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi dalam Bajet 2018, Nawawi berkata ia akan memberi lebih keselesaan kepada pengunjung memandangkan jumlah pelancong tempatan dan asing ke pulau itu meningkat setiap tahun.

“Sekarang ini, lebih dua juta pengunjung menggunakan lapangan terbang Langkawi setiap hari dengan waktu operasi selama 16 jam. Kita menjangka jumlah ini akan meningkat apabila lebih banyak penerbangan terus dari luar negara diperkenalkan pada tahun depan.

“Pada masa ini, kerja-kerja menaik taraf sedang berjalan dengan peruntukan sebanyak RM89 juta bagi membolehkan lapangan terbang ini menampung tiga juta pengguna pada satu-satu masa,” jelasnya.