MEMILIKI syarikat sendiri pada usia 18 tahun memang amat mengagumkan, namun banyak pengorbanan yang terpaksa dilakukan bagi memulakan dan mengembangkan perniagaan.

Perkara itu diakui Pengurus Next Innovation Solutions, Adip Nurhasan Abdullah, 21, yang terpaksa mengorbankan usia mudanya dengan bekerja keras untuk bertapak dalam industri pembinaan menerusi syarikat kontraktor dimilikinya.

Pada awalnya, Adib Nurhasan menceburi bidang pembinaan disebabkan dorongan bapanya dan bukan atas minat sendiri, namun lama kelamaan ia menjadi sebati dalam dirinya sehinggakan dia membuka perniagaan sendiri kerana permintaan tinggi rumah mampu milik di pasaran.

“Saya tidak belajar secara formal dalam bidang ini, tetapi sejak dari tingkatan satu lagi saya sudah mula bekerja makan gaji di tapak pembinaan, pasang batu-bata, bertukang dan lain-lain, ketika cuti sekolah. Saya juga turut tidur sekali di tapak pembinaan bersama pekerja yang lain.

“Walaupun kadang kala jiwa muda saya mendesak untuk membuat perkara yang saya suka seperti rakan-rakan sebaya lain, tetapi saya terpaksa korbankan semuanya dan cuba menyelami bidang pembinaan yang menjadi punca rezeki papa, Abdullah Ismail, selama ini. Papa saya berpengalaman 20 tahun dalam bidang pembinaan dan pernah mempunyai syarikat pemaju hartanah,” katanya.

Adip Nurhasan (kanan) berbincang bersama Penasihat Next Innovation Solutions, Abdullah Ismail (kiri) yang juga bapanya dan juruteknik, Aqilah Jamberi.

Ketika memulakan perniagaan, Adip Nurhasan mengakui banyak kesilapan yang dilakukan ketika mengubahsuai kediaman pelanggan, tetapi dia tidak mudah berputus asa, malah terus memperbaiki kelemahannya.

“Ketika saya buat kerja-kerja pengubahsuaian, saya pernah ditegur papa, saya buat sistem paip tidak betul, bumbung bocor dan sebagainya. Mujur saya mempunyai papa yang memang pakar dalam bidang ini dan menjadi penasihat syarikat saya.

“Saya perbaiki sendiri semua kesilapan yang saya lakukan untuk terus mendapat kepercayaan pelanggan,” katanya.

Bermula dengan projek mengubahsuai kediaman, Next Innovation Solutions kini mendapat kepercayaan ramai untuk projek pembangunan rumah individu di atas tanah milik pelanggan sejak dua tahun lalu.

Hampir empat tahun di pasaran, syarikat yang lebih dikenali sebagai Kontraktor Rumah Selangor di laman sosial Facebook berjaya menyiapkan 21 rumah pelanggan dan sedang membangunkan tujuh buah rumah pada masa kini.

Adip Nurhasan berkata, kebanyakan projek pembangunan dijalankan di sekitar Selangor antaranya Kuala Selangor dan Jalan Kebun, Shah Alam dan lain-lain.

“Kami mula dikenali selepas saya mempromosikan untuk membina rumah pada 2015 menerusi Kontraktor Rumah Selangor. Harga yang ditawarkan pula rendah mengikut bajet pelanggan untuk membantu masyarakat memiliki kediaman sendiri.

“Sebelum melakukan pemasaran secara besar-besaran, saya juga ambil kursus untuk kerja-kerja besi dan aluminium di Akademi Binaan Malaysia bagi memantapkan kemahiran sedia ada,” katanya yang turut mempunyai bengkel tingkap sendiri.

Menurutnya, Next Innovation Solutions menawarkan pembinaan rumah menggunakan konsep konvensional dan Sistem Binaan Berindustri (IBS), bagi memenuhi permintaan pasaran.

“Biasanya, projek pembinaan rumah pelanggan akan ambil masa sekitar tiga hingga empat bulan untuk siap kerana kami mempunyai pekerja yang mahir,” katanya.

Selain terlibat dalam bidang pembinaan, Adip Nurhasan turut aktif dalam bidang motivasi sebagai penceramah di sekolah.

Rumah kos sederhana dominasi pasaran

Tahun 2018 bakal menyaksikan permintaan rumah kos sederhana yang berharga RM200,000 ke bawah dijangka akan terus mendominasi pasaran bagi kategori kediaman individu yang dibina di atas tanah sendiri.

Ia didorong oleh penjualan tanah-tanah lot terutama di kawasan pinggir-pinggir bandar yang dijual dalam harga lebih rendah.

Melihat potensi itu, Next Innovation Solutions yang terkenal sebagai Kontraktor Rumah Selangor di laman sosial Facebook, berhasrat untuk terus menawarkan rumah berkualiti mengikut bajet pelanggan.

Ikuti pandangan Pengurusnya, Adip Nurhasan Abdullah tentang pasaran hartanah untuk kediaman individu dan misi syarikatnya.

Boleh jelaskan perkhidmatan ditawarkan Next Innovation Solutions?

Perkhidmatan kami tawarkan adalah menyeluruh sehingga rumah siap kerana Next Innovation Solutions mempunyai pekerja tetap yang masing-masing mempunyai kepakaran dalam bidang pertukangan, elektrik, tingkap dan sebagainya, sekali gus menjadikan harga ditawarkan adalah lebih rendah.

Kami juga mempunyai juruteknik sendiri yang juga merupakan adik-beradik saya yang membantu dalam melicinkan perjalanan syarikat. Jadi pelanggan tidak perlu risau jika tidak mempunyai pelan atau reka bentuk rumah yang ingin dibangunkan. Selain itu, kami turut menawarkan khidmat ubah suai kediaman.

Apakah cabaran dihadapi sepanjang terlibat dalam industri pembinaan?

Saya agak terkesan apabila berlaku kes rumah mampu milik yang dikaitkan dengan scammer. Syarikat kami turut menerima tempiasnya kerana kami juga membina rumah dalam harga yang agak rendah.

Sebelum itu, saya agak kurang menonjolkan diri di khalayak, namun disebabkan perkara itu, saya bangkit dan tunjukkan diri saya dan buktikan syarikat kami benar-benar dapat merealisasikan impian mereka yang mahu memiliki kediaman sendiri, bukan seperti didakwa.

Kakitangan Next Innovation Solutions menyiapkan kerja-kerja besi dan aluminium untuk rumah pelanggan.

Bagaimana pandangan saudara mengenai pasaran hartanah untuk kediaman individu tahun ini?

Memang tidak dapat dinafikan pasaran hartanah untuk kediaman individu agak menurun pada tahun ini. Ia memang sangat mencabar terutama bagi syarikat kecil seperti kami. Tambahan pula, kami juga perlu bersaing dengan banyak syarikat kontraktor lain.

Pada tahun lalu, kami boleh menjalankan sembilan projek pembinaan pada satu-satu masa dalam tempoh sebulan atau dua bulan. Namun, pada tahun ini, kami hanya boleh jalankan tiga projek serentak dalam sebulan kerana permintaan projek perumahan yang berkurangan.

Sebagai kontraktor, kami sendiri kena cari projek dan kebanyakan projek kami ini hanyalah kecil-kecilan dan melibatkan rumah perseorangan. Tidak seperti pemaju yang boleh membangunkan projek perumahan dalam unit yang banyak kerana mereka mempunyai tanah, boleh membangunkan rumah dan menjualnya.

Bagi mengatasi masalah itu, kami perlu menyediakan perkhidmatan dan produk yang betul-betul memenuhi kehendak rakyat Malaysia.

Sebab itu kami menyediakan perkhidmatan membangunkan rumah menggunakan konsep konvensional dan Sistem Binaan Berindustri (IBS). Sepanjang tahun ini, rata-rata pelanggan kami memilih rumah kos sederhana yang bernilai RM200,000 ke bawah.

Adakah trend rumah kos sederhana akan berterusan pada tahun depan?

Ya, rumah kos sederhana dijangka akan terus menjadi pilihan pelanggan pada tahun depan. Ini kerana, jika dilihat dari segi penjualan tanah-tanah lot, ia sedang rancak dijual bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan, terutama di kawasan pinggir-pinggir bandar.

Kebanyakan pelanggan kami menggunakan transaksi secara tunai sama ada simpanan sendiri, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), wang pencen dan lain-lain dalam pembinaan rumah mereka mengikut proses pembinaan.

Sebelum ini, dilaporkan banyak kes yang berlaku melibatkan penjualan tanah lot seperti pemilik tanah cagar tanah kepada bank tanpa pengetahuan pembeli dan sebagainya. Adakah pembelian tanah lot ini selamat?

Sebagai kontraktor dan pernah juga membeli tanah lot pada tahun lalu, saya melihat, pejabat tanah sudah melakukan penambahbaikan bagi mengatasi masalah ini.

Memang kita sedia maklum sebelum ini banyak laporan mengenai tanah lot yang sudah dibeli orang, tetapi tuan tanah kemudian mencagarkan kepada bank atau masalah seperti tanah tidak dituntut selepas tuan tanah meninggal dunia.

Kini, pejabat tanah telah melakukan penambahbaikan supaya nama pembeli tanah itu itu dimasukkan ke dalam geran agar tidak berlaku penipuan dalam jual beli hartanah.

Bagaimanapun, sebelum membeli tanah lot, saya nasihatkan supaya pembeli lakukan carian persendirian di pejabat tanah untuk mengetahui maklumat berkaitan dengan tanah lot tersebut dan tanya pada mereka yang berpengalaman atau merujuk peguam hartanah yang berpengalaman dalam urusan jual beli tanah lot.

Boleh kongsikan perancangan syarikat pada masa akan datang?

Kami sedia meluaskan perkhidmatan kami di luat Selangor pada masa akan datang jika mempunyai permintaan di negeri-negeri lain. Pada masa ini, projek pembinaan Next Innovation Solutions tertumpu di Selangor sahaja dengan permintaan tertinggi di Jalan Kebun, Kebun Baru dan Kuala Selangor.

Pada masa sama, kami juga berhasrat untuk berkembang daripada syarikat kontraktor kepada pemaju perumahan pada masa akan datang. Sebagai permulaan ke arah itu, kami sedia bekerjasama dengan mana-mana syarikat atau tuan tanah untuk membangunkan projek perumahan.