PERBADANAN Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) menawarkan projek perumahan eksklusif dikenali sebagai ‘10 Residensi’ dengan nilai pembangunan kasar sebanyak RM12.3 juta yang dijangka siap awal tahun depan.

Ketua Pegawai Operasinya, Norita Mohd Sidek berkata, projek perumahan berkembar (Semi-D) dua tingkat itu yang terletak di Seksyen 17, Shah Alam melibatkan pembinaan 10 unit rumah berharga antara RM1.2 juta hingga RM1.28 juta bagi setiap unit.

“Pembangunan itu dilaksanakan di atas tanah berkeluasan 0.5 hektar (1.26 ekar) dalam kawasan pembangunan bandar raya Shah Alam yang telah matang.

“Keluasan lantai bagi setiap unit adalah 2,963.84 kps (kaki persegi) bagi lot tengah dan sudut, manakala keluasan lot adalah 3,509.03 kps (bagi lot tengah) dan 3,229.17 hingga 4,854.52 kps bagi lot sudut,” katanya sempena majlis pra pelancaran projek perumahan itu, baru-baru ini.

Norita berkata, ‘10 Residensi’ menawarkan seni bina moden yang selesa dan ideal kepada bakal pembeli.

“Projek perumahan itu juga terletak di lokasi strategik dengan jaringan lebuh raya yang kondusif di samping berhampiran dengan stesen pengangkutan awam termasuk Stesen Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) Shah Alam.

“Lebih menarik, kediaman ini juga berhampiran dengan pusat membeli belah seperti pasar raya Aeon, beberapa hospital serta pusat rekreasi,” katanya.