DI sebalik ketenangan dan ketangkasan penjaga gol muda Pahang, Khairul Azhan Mohd Khalid mempamerkan kecemerlangannya menjaga gawang pasukan itu daripada dirobek barisan serangan The Red Warriors di Stadium Shah Alam kelmarin, pemain itu sebenarnya mengakui gugup beraksi buat julung kalinya di pentas final piala berprestij itu.

Sudah tentu perasaan itu bermain dalam fikiran anak jati Kuantan itu kerana pertama kali beraksi pada perlawanan akhir dan diberikan tanggungjawab  sebagai penjaga gol utama dalam pasukan Tok Gajah.

Namun sikap gugup itu langsung tidak menjejaskan tumpuan pemain yang lebih mesra dipanggil Yan itu, sebaliknya ketenangan serta kematangan menjaga gawang jelas dipamerkan sehingga mendapat pujian peminat.

Tekanan daripada penyokong dan pemain lawan dapat diatasi dengan mempamer aksi cemerlang sepanjang perlawanan.

Malah dia beberapa kali menyelamatkan cubaan berbahaya pemain Kelantan sehingga membolehkan pasukannya menjulang Piala Malaysia .

Ketika ditanya, pemain yang bakal menyambut ulang tahun kelahirannya ke-24 tahun pada 7 November ini, Yan nyata gembira kerana dapat menjalankan tugasnya dengan baik.

“Memang saya sangat gugup malam tadi (kelmarin), baru pertama kali beraksi di pentas final Piala Malaysia, siapa pun bagi pemain seperti saya mengalami perasaan ini.

“Tapi saya tak mahu layan perasaan ini, buat tak tahu saja, dengan ilmu dan nasihat diberikan jurulatih (Dollah Salleh dan Mudzar Mohamad), saya berlagak tenang dan fokus hingga tamat permainan,” katanya.

Bekas penjaga gol Piala Presiden dan Sukan Malaysia (Sukma) Pahang tahun lalu itu turut memberitahu, kejayaan menjulang Piala Malaysia musim ini juga satu detik baharu dalam kariernya.

“Syukur, harapan pasukan dan peminat selepas 21 tahun kempunan akhirnya tercapai kali ini. Berjuta-juta penghargaan buat jurulatih dan pasukan yang mempercayai kemampuan saya.

“Kepada peminat, memang mereka yang terbaik dan terima kasih menyokong Pahang selama ini,” katanya.