KUALA LUMPUR -- Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) meneruskan prestasi baik pada tahun sebelumnya dan mengubah landskap luar bandar menjadi bertambah baik.

Usaha kementerian itu bertumpu kepada kemudahan jalan raya yang dipertingkatkan, bekalan air bersih dan elektrik yang lancar serta membina dan membaik pulih rumah untuk komuniti luar bandar.

Menurut Laporan Tahunan Program Transformasi Kerajaan (GTP) yang dikeluarkan Jabatan Perdana Menteri, inisiatif Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) di bawah Infrastruktur Asas Luar Bandar (RBI) telah memberi impak secara langsung kepada lebih 3.2 juta penduduk di kawasan luar bandar.

"Memenuhi semangat 1Malaysia, NKRA RBI telah membantu kehidupan masyarakat luar bandar Malaysia tanpa mengira bangsa atau agama. Pelbagai inisiatif RBI yang dilancarkan telah meninggalkan kesan positif kepada kehidupan pelbagai kumpulan etnik seluruh negara.

"Di Sabah dan Sarawak sahaja lebih 27 dan 30 kumpulan etnik masing-masing menerima manfaatnya," kata laporan itu.
    
Laporan itu menyatakan di bawah komitmen membina jalan raya pada 2011, semua jalan yang dijanjikan meliputi jarak keseluruhan 1,013 kilometer telah disiapkan pada Disember 2011 dan kebanyakannya adalah di Sabah dan Sarawak (meliputi 54 peratus daripada panjang keseluruhan jalan negara).

Di bawah komitmen bekalan air bersih terawat pula, sejumlah 73,277 isi rumah menerima faedah itu meliputi 366,235 orang, sementara 27,004 isi rumah pula menerima bekalan elektrik 24 jam sehari pada hujung tahun lepas.

"Bekalan elektrik 24 jam ini juga membolehkan penduduk meneroka peluang meningkatkan pengeluaran dengan menggembleng pelbagai produk hiliran dalam masa terdekat.

"Kemudahan  ini sudah pasti menyenangkan penduduk kampung terbabit," kata laporan itu. 

Menurut laporan itu, di bawah Program Bantuan Perumahan (PBR) RBI, sebanyak 14,365 unit rumah diserahkan setakat Oktober 2011, iaitu peningkatan prestasi 157 peratus.

Pasukan NKRA RBI berhasrat menggandakan usaha bagi mencapai semua sasaran pada 2012. Kerajan merancang untuk melaksanakan Program Mega Luar Bandar meliputi kawasan seluas 6,500 hektar bagi 11 Projek Agropolitan di seluruh negara untuk tanaman komoditi dan kontan serta ternakan ikan dalam sangkar. 

Dengan menyediakan peluang ekonomi yang sesuai dan mapan, beserta kemudahan asas dan sosial yang lengkap, kampung akan dibangunkan semula sebagai kawasan yang moden dan progresif yang menawarkan kehidupan berkualiti kepada penduduknya.

Mendapat inspirasi daripada pencapaian setakat ini dan dipacu matlamat masa hadapan, kementerian dan agensi di bawahnya akan melakukan sedaya upaya bagi memastikan matlamat Wawasan 2020 tercapai yang mana semua rakyat dapat menikmati hasil kemajuan negara.  -- Bernama