PEMILIHAN Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Bumbun sebagai pusat latihan daerah antara usaha mengenal pasti bakat sukan dalam kalangan masyarakat Orang Asli terutama di Daerah Kuala Langat.

Penolong Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Bahagian Pengurusan,  Abdul Rashid  Yaakup berkata, pusat latihan tersebut bakal menumpukan latihan multi lateral yang mengenal pasti dan membentuk bakat bersukan di kalangan pelajar-pelajar sekolah tersebut.

Menurutnya, SK Sungai Bumbun merupakan sekolah masyarakat Orang Asli yang mempunyai bilangan pelajar teramai di daerah Kuala Langat.

“Sekitar kawasan tersebut terdapat lebih kurang enam buah sekolah yang terdiri daripada anak-anak masyarakat Orang Asli.

“Selain itu terdapat tenaga pengajar di  sekolah itu yang mempunyai kelayakan Sains Sukan bagi membantu MSN dalam mengusahakan program ini,” katanya kepada Sinar Harian selepas Perasmian Temasya Sukan Tahunan SK Sungai Bumbun, Pulau Carey.

Rashid yang hadir mewakili Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin berkata, secara tidak langsung ia dapat membantu MSN dalam menjayakan program ini selain melihat sudah tiba masanya pencarian bakat bakat sukan diperluaskan terutama yang melibatkan masyarakat orang asli.

Katanya, sekiranya berjaya, kemungkinan MSN akan mengembangkan lagi usaha pencarian bakat sukan di kalangan orang asli.

Sementara itu, Pengerusi Kelab Sukan dan Rekreasi Parlimen Kuala Langat, Jefrizal Mohd Jaafar berkata, beliau bersyukur SK Sungai Bumbun diluluskan sebagai pusat latihan pelapis atlit negara bagi masyarakat kaum Asli.

“Kita bersyukur kerana SK Sungai Bumbun ini bakal menjadi pusat pertama yang mencari bakat dari kaum Asli setelah kejayaan menampilkan beberapa atlit negara dari masyarakat minoriti.

“Ini menunjukkan bahawa kita tidak pernah sesekali meninggalkan masyarakat itu bahkan kita mahu lebih ramai lagi atlit dapat dilahirkan dari masyarakat istimewa ini.

“Kita juga akan bekerjasama dengan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kuala Langat dan Persatuan Belia dan Sukan Daerah (PBSD) Kuala Langat dalam memastikan niat murni MSN ini akan terlaksana,”katanya.