Pusat Pelajar Islam (PPI) tidak menyangka muridnya mampu memberikan yang terbaik dalam Ujian Penilaian Kelas Kafa (UPKK) tahun lalu memandangkan soalan subjek Bahasa Arab tidak dijangka.

Pengerusi Lembaga Pengarah PPI, Ahmad Shah Mohamad Salleh berkata, seramai 21 murid berjaya memperoleh 8A dalam UPKK iaitu meningkat 24 peratus berbanding 16 murid mendapat semua A pada 2016.

Menurutnya, persiapan dijalankan lebih awal membolehkan murid lebih fokus kepada menjawab soalan latihan dan menyertai bengkel menjawab soalan, selain diberikan ceramah motivasi untuk meningkatkan semangat mereka.

"Ustazah turut memberikan tip bagi beberapa subjek terutama Sirah dan Bahasa Arab. Dua subjek ini menjadi ketakutan kepada ramai murid di sini," katanya.

Beliau berkata, untuk tahun ini, PPI akan memulakan kelas tambahan bermula Februari iaitu sebulan lebih awal dari tahun sebelumnya di samping meluangkan masa untuk calon UPKK.

Katanya, sukatan pelajaran akan dihabiskan dalam April dan bulan-bulan berikutnya akan dijalankan aktiviti membuat latih tubi.

"Dengan usaha dan semangat juang murid, PPI sasarkan 30 murid akan memperoleh 8A pada tahun ini, bagaimanapun pada bulan ini, mereka akan menghadapi ujian untuk dinilai guru," katanya.  

Ahmad Shah turut berterima kasih kepada Guru Besar, Nurliana Bahadon dan guru-guru Kafa PPI yang lain di atas bimbingan dan didikan kepada murid hingga mencapai keputusan cemerlang dalam UPKK.