TUAH ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu.

Itulah peribahasa tepat bagi menggambarkan kejayaan Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Selangor yang diangkat sebagai juara Kejohanan Piala DYTM Raja Muda Selangor 2018.

SK Seri Selangor yang baru pertama kali menyertai kejohanan itu muncul juara selepas menewaskan SK Seri Petaling 2-1 dalam perlawanan akhir yang berlangsung di Padang SUK Shah Alam, semalam.

Jurulatih SK Seri Selangor, Cikgu Nozaid Hamid berkata, kemenangan bersejarah itu merupakan antara kejayaan terbaik sekolah sejak mula ditubuhkan selepas 21 tahun.

"Perancangan kita memang dah lama, kita dah bermula sejak awal lagi dengan mengadakan klinik bola sepak dan kita juga banyak menyertai kejohanan bola sepak.. sebelum ini kita dah dapat tempat ketiga, kedua dan sekarang johan.

"Alhamdulillah kemenangan ini hadir hasil komitmen terbaik anak buah saya," katanya.

Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan memeriahkan perlawanan akhir dan menyampaikan hadiah kepada pemenang.

[LAGI GAMBAR DI SINI]