TADIKA ialah sekolah peringkat awal bagi memberikan pendedahan kepada kanak-kanak mengenai suasana persekolahan. Ia penting bagi persediaan untuk kanak-kanak ini menyesuaikan diri dengan persekitaran bersama kanak-kanak lain dan hidup berdikari.

Di hujung-hujung tahun ini pastinya ramai ibu bapa mula tercari-cari taman didikan kanak-kanak atau tadika sesuai untuk menyekolahkan permata hati kesayangan mereka bermula awal tahun 2017 nanti.

Bagi ibu bapa baru pertama kali hendak menghantar anak mengenali alam persekolahan pastinya ada masih samar atau tidak pasti tadika mana sesuai untuk anak tersayang.

Kalau ibu bapa dulu, mungkin tiada banyak masalah kerana pilihan tadika agak terhad. Paling popular, anak-anak sebelum masuk ke darjah 1 ini akan dihantar ke tabika Kemas.

Kalau ada pun yang menghantar ke tadika swasta, boleh dibilang dengan jari, biasanya dalam kalangan ibu bapa yang berpendapatan lebih.

Zaman sekarang tidak lagi. Pendidikan hari ini adalah satu topik kompleks dan menarik dalam dialog pendidikan kita. Soalan tentang kualiti sekolah, akauntabiliti, kurikulum dan latihan guru semakin diambil berat.

Yang pasti keterujaan anak ke sekolah, memungkinkan ibu bapa mahu memberikan pendidikan yang terbaik. Pelbagai pilihan tadika ada. Jika kendalian kerajaan, tabika Kemas atau prasekolah ada tersedia di sekolah-sekolah kerajaan.

Manakala jika di bawah pihak swasta lebih banyak pilihan ada, sama ada tadika lebih berasaskan Islamik, menekankan bahasa Inggeris, tadika Cina dan bermacam lagi tadika dengan kelebihan-kelebihan tertentu.   

Memilih sekolah untuk anak kini mungkin jadi salah satu keputusan penting akan dibuat. Untuk mendapat pilihan terbaik, ibu bapa perlu mendidik diri supaya menjadi pengguna bijak.

Ini bermakna perlu juga buat sedikit 'penyelidikan' dan memastikan anda memahami semua pilihan ada kepada anda dan anak anda. Sama ada tadika kerajaan atau swasta, masing-masing mempunyai kelebihan tersendiri.

Faktor perlu dipertimbangkan

Jika di sekolah kerajaan antara kelebihannya, biasanya ramai guru mempunyai kelayakan dari segi pendidikan dan pengalaman.

Sekolah-sekolah ini juga boleh mengadakan lebih banyak aktiviti menawarkan kegiatan sukan, kokurikulum, aktiviti luar, dan kemudahan serta lebih baik dari segi alatan pembelajaran.

Manakala jika sekolah swasta antara kelebihannya kelas cenderung dengan kapasiti murid lebih kecil. Jadi ini dapat membantu guru-guru untuk memberikan tumpuan kepada setiap murid dan membantu mengenal pasti dan membaiki kekurangan mereka.

Tanpa terlalu bergantung pada birokrasi dan kekangan mematuhi arahan, biasanya guru tadika swasta juga cenderung untuk menikmati lebih autonomi dalam bilik darjah dan mempunyai lebih banyak kawalan kreatif atas kaedah pengajaran mereka.

Penglibatan ibu bapa di tadika swasta juga menggalakkan mereka untuk cenderung menjadi sangat komited kerana mempunyai suara dalam pendidikan anak-anak.

Berkongsi pandangan mengenai pemilihan sekolah tadika ini, Ketua Akademik Kolej Perkembangan Awal Kanak-kanak, Dr Fatimah Saleh berkata, tidak kira apa pun pilihan, yang penting apa bakal diperoleh anak dari tadika tersebut.

Menurutnya, perlu lihat tujuan asal menghantar anak ke tadika berkenaan sama ada untuk diasuh oleh guru atau ilmu apa mahu diterapkan.

"Pertama sekali yang penting sebelum mendaftar anak ini, lihat sama ada tadika ini berdaftar atau tidak. Jika berdaftar dan berlesen, biasanya sukatan mata pelajaran dan kriteria seperti kesesuaian ruang kelas, keselamatan tadika dan sebagainya adalah memenuhi syarat ditetapkan.

 "Kedua, boleh pastikan juga kelayakan tenaga pengajar. Mungkin berjumpa sendiri pengusaha dan ambil tahu berapa bilangan guru dan kelayakan dimiliki mereka. Sekurang-kurangnya ada sijil atau diploma. Jadi mereka ada kelayakan ini tahu mengenai kanak-kanak," katanya kepada GPS Bestari.com.

Tadika mahal tak semestinya bagus

Tadika yang bagus pastinya akan membentuk perkembangan sihat kanak-kanak daripada segenap aspek. Ia juga penting sebagai persediaan golongan berkenaan bagi aspek akademik, fizikal dan rohani sebelum memasuki ke sekolah rendah secara formal nanti.  

Dr Fatimah berkata, selain perlu memastikan tadika berdaftar dengan guru mempunyai kelayakan berkaitan, ibu bapa mahu menghantar anak mereka juga boleh melihat program ditawarkan pengusaha tadika berkaitan.

"Mungkin boleh lihat jadual waktu mereka dan apa aktiviti setiap hari anak-anak ini di tadika tersebut. Jika ibu bapa tiada idea mengenai tadika yang ingin kita hantar anak, elok tanya pengusaha untuk maklumat lanjut.

"Biasanya hanya ibu bapa yang akan buat pilihan tadika atau ada sasaran ke arah mana kita mahukan pendidikan untuk anak-anak kerana mereka masih kecil dan tidak tahu buat keputusan lagi," katanya kepada GPS Bestari.com.

Menurutnya, pada peringkat usia 4,5 dan 6 tahun biasanya anak dihantar ke tadika adalah tahap penting untuk memastikan perkembangan golongan tersebut secara menyeluruh terutama membabitkan mental, latihan berfikir, berinteraksi, sosial dan emosi.

Katanya, jika jadual pembelajaran anak di tadika tiada pengisian, ia tidak akan membantu pembinaan dan potensi perkembangan murid.

Apa pun katanya, kebiasaannya semua tadika berdaftar akan perlu mengikut sukatan mata pelajaran dan kokurikulum telah ditetapkan pihak kementerian. Cuma cara pelaksanaannya yang berbeza.

"Selalunya jika ada guru terlatih, tadika akan gunakan modul kokurikulum ini sepenuhnya. Tadika yang baik akan mengikut perkembangan anak-anak di situ mengikut peringkat umur mereka.

"Guru yang mempunyai kelayakan tahu apa boleh dilakukan jika berdepan sebarang situasi dan perkembangan anak-anak di tadika mereka," katanya.

Diminta mengulas mengenai sikap ibu bapa suka melabelkan tadika seperti 'tadika itu tak bagus sebab hanya belajar mewarna', 'tadika ini bagus sebab beri banyak homework' dan sebagainya, Fatimah berkata, setiap aktiviti ada signifikan tersendiri.

Menurutnya walaupun kelihatan guru tadika hanya menyuruh murid mewarna, tetapi aktiviti dijalankan sebenarnya bagi mengembangkan motor halus dan motor kasar seseorang kanak-kanak itu sendiri.

"Biarpun mewarna, mereka diajar mengikut arahan seperti mewarna mengikut bentuk tertentu, mewarna dengan cara mengecam gambar dan lebih bagus mereka boleh mengikut tona warna dan lain-lain. Masalahnya bila ibu bapa tidak faham, untuk apa dan mengapa aktiviti mewarna itu dibuat.

"Ini yang menimbulkan salah sangka, sedangkan banyak pendekatan bagi mengajar anak-anak ini," katanya.

Bukan setakat membaca

Fatimah berkata, tadika swasta selalunya akan mempunyai penanda aras pencapaian muridnya, misalnya berapa banyak A perlu diperoleh dan waktu bila muridnya perlu tahu membaca.

Menurutnya, bagaimanapun, bukan hanya pencapaian tersebut perlu dikejar, sebaliknya murid memahami dan dapat menerima ilmu dipelajari.

Apa pun katanya, tidak semua anak dihantar ke tadika swasta dengan bayaran mahal akan mudah 'pandai' dek belajar di sekolah tersebut kerana, perkembangan kanak-kanak tidak sama. Ia juga bergantung dengan faktor usaha ibu bapa untuk mengajar dan memantau anak mereka di rumah.

"Manakala tadika satu lagi pula bayaran yuran lebih murah, jadi ramai anak-anak dihantar ke situ. Jumlah kanak-kanak ramai mungkin sebabkan jumlah mereka ditempatkan dalam kelas lebih daripada sepatutnya.

"Bila ramai, kualiti (pengajaran) terjejas. Ini juga boleh jadi faktor hilangnya tumpuan guru atau murid dalam kelas. Namun jika sampai tamat tadika pun masih tak boleh baca suku kata, ini something wrong (ada sesuatu tidak kena)," katanya.

Menurutnya, murid daripada pelbagai peringkat umur ditempatkan dalam satu kelas juga kurang membantu perkembangan anak-anak. Seelok-eloknya kelas mereka dibezakan mengikut peringkat umur.

Namun begitu, bagi GPS Bestari.com perkataan dan pemahaman ‘tadika bagus’ sebenarnya sangat subjektif dan berbeza penerimaan pengajarannya kepada setiap kanak-kanak.

Bayaran mahal tak semestinya bagus, begitu juga sebaliknya. Pendek kata, tepuk dada, tanya selera.