SEORANG murid Tahun Empat Sekolah Kebangsaan (SK) Convent Father Barre di Sungai Petani, dekat sini, menjadi pembaca buku kategori kanak-kanak terbanyak di Kedah.

Nurul Syuhada Zaki Anuar, 10, dari Taman Ria Jaya Indah membaca sebanyak 286 buku pada tahun lepas.

Katanya yang bercita-cita menjadi seorang saintis, dia sememangnya meminati aneka bahan bacaan, tak kira sama ada ilmiah ataupun santai sejak kecil lagi.

“Setiap hari, saya akan meluangkan masa membaca buku kegemaran antara 30 minit sehingga satu jam terutamanya yang bersiri. Apabila habis baca, rasa nak baca lagi untuk tahu kesudahannya.

“Alhamdulillah, tidak sangka minat membaca membawa tuah apabila saya menerima Anugerah Peminjam Terbanyak dengan membaca kira-kira 286 buku pada tahun lalu,” katanya.

Menurutnya, anugerah diterima menyemarakkan lagi dirinya untuk membaca buku dan menambah ilmu pengetahuan melalui budaya membaca.

Katanya, dia akan meneruskan minat membaca, sekali gus menggalakkan semua orang untuk meluangkan masa membaca walaupun sekejap kerana pelbagai maklumat baru dapat diperolehi.

Terdahulu, Syuhada antara penerima Anugerah Peminjam Terbanyak disampaikan Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Kedah (PPAK), Shahizan Affandi Zakaria bersempena Hari Buku dan Hakcipta Sedunia 2018 di Auditorium PPAK.

Selain Syuhada, seorang remaja, Muhammad Izzul Hakim Shaharul Izuan menerima Anugerah Peminjam Terbanyak kategori remaja, manakala Ooi Chong Bin untuk Anugerah Peminjam Terbanyak kategori dewasa.