SEDIA maklum, 2016 tahun pertama pelaksanaan UPSR Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) format baharu di mana murid tahun ini adalah kohort pertama menduduki peperiksaan ini.

Tatkala keputusan kebanyakan sekolah merudum dari tahun sebelumnya, Sekolah Kebangsaan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (LKTP) Ulu Penggeli (SKUP), Kluang, Johor, terletak lebih kurang 30km dari bandar Kluang ini masih mengekalkan peratus lulus seperti tahun sebelumnya iaitu 86.67 peratus.

Walaupun tahun ini tiada calon sekolah ini cemerlang (6A), tetapi dengan Gred Purata Sekolah (GPS) 2.50 meletakkan SKUP di kedudukan boleh dibanggakan apabila menerima Anugerah Cemerlang UPSR 2016 Kategori Sekolah Felda Negeri Johor (tempat kedua) dan tempat pertama bagi kategori sama di peringkat daerah Kluang.

Penyelaras Tahun 6 SKUP yang juga Penyelaras Kecemerlangan UPSR, Hairul Azuan Ahdan berkata, ia kejutan besar kepada warga sekolah terutama guru-guru terlibat mengajar murid darjah 6 pada tahun ini.

"Jika dibandingkan keputusan keseluruhan percubaan hanya mencapai 60 peratus murid lulus dan GPS 3.15.

Bagi warga Felda Ulu Penggeli pula, ini adalah kejayaan berganda kepada mereka kerana Felda ini baharu sahaja diumumkan sebagai Johan dalam Pertandingan Anugerah Kebersihan dan Keceriaan Felda Peringkat Kebangsaan yang menggondol hadiah sebanyak RM1 juta bulan lalu.

"Semestinya kerjasama erat pihak pentadbiran sekolah dan guru terutama yang mengajar murid tahun 6 kerana tidak pernah jemu mendidik walaupun pada musim cuti sekolah," katanya.

Menurutnya, selain itu, sokongan ibu bapa baik dari segi kewangan dan tenaga serta melibatkan diri dalam tiap program sekolah membantu kejayaan.

Tidak ketinggalan beliau sendiri merancang pelbagai program dan aktiviti bagi memastikan murid tahun 6 cukup bersedia menghadapi peperiksaan ini.

Hairul berkata, cabaran dihadapi tetap ada seperti bahan rujukan berkaitan format peperiksaan, cara penandaan betul serta pemarkahan sepatutnya diberi kepada murid sepanjang peperiksaan dalaman di peringkat sekolah.

"Namun, kesungguhan guru-guru mendapatkan maklumat dan bahan-bahan berkaitan sedikit sebanyak membantu kejayaan ini," katanya.  

Latar belakang sekolah

SKUP pernah mendapat Anugerah Lonjakan Saujana 2008-2009 kerana kecemerlangan dalam UPSR.

Tidak ketinggalan dalam kurikulum, pernah memenangi tempat pertama pertandingan bercerita peringkat wilayah Segamat anjuran Felda.

Malah sekolah ini juga dianugerahkan audit kewangan baik sejak tahun 2009 hingga sekarang.              

SKUP ditubuhkan pada 1 Januari 1987. Pada awal penubuhannya, sesi persekolahan dijalankan di bangunan Pejabat Felda Ulu Penggeli sekarang.

Pada hari pertama persekolahan, jumlah muridnya 98 orang yang juga anak peneroka baru berpindah ke Felda ini dan mereka datang dari serata pelosok Johor.

Mereka ditempatkan di enam aliran kelas diwujudkan iaitu bermula darjah 1 hingga darjah 6.

Bermula 1 Disember 2014, jawatan guru besar disandang Rafie Md Dali yang sebelum ini berkhidmat di SK Sri Mersing, Mersing, Johor.

INFO

Guru Besar: Rafie Md Dali
GPK Pentadbiran: Roseman Ali
GPK HEM: Zahrah Hashim
GPK Kokurikulum: Norashikin Ismail
Enrolmen murid: 128 orang
Enrolmen guru: 18 orang
Pencapaian sekolah:
-Peringkat daerah acara olahraga.
-Tuan rumah Karnival Pendidikan Islam peringkat zon Renggam/Layang tahun 2015.
-Tuan rumah pertandingan bola sepak zon Renggam/ Layang 2014.
- Mendapat tempat ke-2 tilawah al-Quran peringkat negeri 2013.
-Johan tilawah al-Quran peringkat daerah 2013.

Keputusan UPSR 2016:
B. Melayu Pemahaman – 100% lulus
B. Melayu Penulisan – 100% lulus
B. Inggeris Pemahaman – 86.67% lulus
B. Inggeris Penulisan – 93.33% lulus
Matematik – 86.67% lulus
Sains – 100% lulu