MATLAMATNYA untuk mempertingkatkan kualiti pengurusan dan melahirkan generasi serba boleh selaras dengan kehendak negara dan dunia. Agak tinggi sasaran matlamat itu.

Tidak hairanlah, pencapaian memberangsangkan Sekolah Kebangsaan Taman Tun Dr Ismail 1 (SKTTDI1) kini.

SKTTDI1 diiktiraf sekolah berprestasi tinggi (SBT) pada tahun 2010 iaitu kohort pengambilan pertama telah dipilih atas sebab utama kerana pencapaian akademik muridnya sendiri.

Sedia maklum, apabila diiktiraf  SBT, sekolah sendiri perlu memilih etos iaitu kebintaraan bagi mengetengahkan kecenderungan sekolah mereka.

Penolong Kanan Tadbir & Kokurikulum, SKTTDI1, Seri Mashayu Abd Majid berkata, pada mulanya sekolahnya 'mengangkat' pasukan pengakap kerana badan beruniform SKTTDI1 sudah ada jaringan dengan pengakap di dalam dan di luar negara.  

Menurutnya, ketika itu SKTTDI1 juga mengangkat sukan boling. Dalam masa sama, setelah mendapat taraf SBT pihak sekolah juga memikirkan kaedah 'menjual' sekolah ini dari segi keistimewaan tersendiri kepada pihak luar.

"Apalagi tiap tahun kami perlu capai Indeks Prestasi Utama (KPI) ditetapkan Kementerian Pendidikan (KPM) dari segi akademik, etos dan jaringan berkaitan yang dinilai setiap tahun melalui pantauan pihak berkenaan.

"Bila KPI... ia akan tengok pencapaian seperti kemenangan. Tapi pengakap tidak banyak pertandingan, bila sertai perkhemahan itu... adalah. Jadi sekolah kita diberi peluang menilai atau memilih semula etos. Pada 2013, kami menukar etos kepada sukan lawan pedang. Tambahan tak ramai tahu mengenai sukan ini. Jika hendak ambil sukan bola sepak dah banyak dan kita perlu bersaing lagi," katanya ketika kunjungan GPS Bestari.com semasa program berkaitan di sekolah tersebut, baru-baru ini.

Sukan pedang

Difahamkan setakat ini SKTTDI1 satu-satunya SBT khususnya bagi sekolah rendah di ibu negara yang mengangkat sukan lawan pedang.

Menurut Seri Mashayu, kebetulan ketika diiktiraf SBT, kecenderungan pada bidang sains dan teknologi jadi sebutan.

"Sebab itu sekolah ini juga mengambil kebintaraan sains dan teknologi kerana bidang tersebut luas. Ditambah pula bidang berkenaan bukan setakat robotik, tetapi inovasi dan banyak lagi berkaitan.  

"Sehingga kini, terbaharu kita buat tong sampah serba guna hingga menyertai pertandingan berkaitan dan sampai hingga ke peringkat antarabangsa. Tahun-tahun sebelumnya antara kita hasilkan ialah roket air, kita juga ada Kelab Aerospace di mana kita mengkaji bintang, bulan dan buat jalinan dengan Yayasan Angkasa Malaysia," katanya.  

Serius dengan etos dipilih, menurutnya Angkasawan Negara, Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor dan Mejar Dr Faiz Khaleed pernah berkunjung ke SKTTDI1 memberikan ceramah berkaitan.

Seri Mashayu berkata, harapan sekolah juga tinggi supaya satu hari nanti ada bekas murid SKTTDI yang akan menjadi angkasawan negara.

Katanya lagi, dari segi akademik, sekolah sentiasa berusaha meningkatkan Gred Purata Sekolah (GPS). Sebelum ini SKTTDI1 pernah mencapai hingga 1.28 GPS, antara pencapaian terbaik.

"Pada tahun lepas, kita antara sekolah rendah top 3 dalam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Daripada segi akademik dan kokurikulum pula pencapaian kita seimbang setakat ini.

"Syukur, guru semua bersemangat, kerja tak berkira sebab mereka minat. Mungkin lagi kelebihan sekolah ini di kawasan elit, 70 peratus ibu bapa pendapatan tinggi, 25 peratus sederhana dan selebihnya lain-lain," katanya.

Menurutnya, walaupun apa pun latar belakang ibu bapa SKTTDI1, semuanya sama-sama menyumbang, sama ada di bahagian akademik, sukan dan lain-lain. Mungkin itulah jadi tarikan ramai memilih hendak masuk ke sekolah ini.  

"Harap SKTTDI1 terus mengekalkan status SBT ini. Orang kata nak dapat senang, kekalkan itu yang sukar kerana ada KPI dinilai tiap tahun," katanya.

INFO:

SKTTDI1 dibuka 4 Mei 1987 dengan nama asal, SK Taman Tun Dr Ismail. mengenang jasa dan pengorbanan pejuang kemerdekaan tanah air, nama Tun Dr Ismail diabadikan untuk memupuk  patriotisme kalangan warga sekolah.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • MENJADIKAN pemain kriket Pakistan sebagai idola, bakat pelajar tingkatan dua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Banting ini semakin menyinar dalam sukan itu.
  • MENYEDARI kepentingan penggunaan ICT pada masa kini, maka guru digalakkan mengukuhkan penggunaan teknologi dalam proses PdPc.
  • MENJADI kebiasaan bagi warga pendidik untuk menulis nota di papan hitam atau papan putih apabila bermulanya proses pembelajaran.
  • ANDA mahu jadi seorang pelajar yang cemerlang? Tetapi anda buntu atau tidak tahu cara yang terbaik untuk mencapainya?
  • USAHA keras 565 pelajar tingkatan satu hingga tiga dan 100 warga pendidik Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Sheikh Abdul Malek, di sini selama lima tahun membuahkan hasil apabila menerima pengiktirafan International Baccalaurreate (IB) World School.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.