BACHOK - Pasukan bola tampar Sekolah Kebangsaan (SK) Perupok mengukir kejayaan manis apabila dinobatkan sebagai johan untuk kategori bola tampar lelaki dan naib johan untuk bola tampar perempuan dalam kejohanan Bola Tampar Zon 2 PPD Bachok, baru-baru ini yang diadakan di SK Tangok, di sini.

Jurulatih pasukan, Hamidah Mat Yunus, yang juga merupakan guru sekolah tersebut berkata, kemenangan itu merupakan kejuaraan sulung buat skuad bola tampar SK Perupok dan beliau sendiri tidak menjangkakan kemenangan ini.

Beliau berkata, kejuaraan pertama kali ini hasil daripada usaha bersungguh-sungguh pelajar kedua-dua pasukan dalam latihan dan sokongan kuat daripada guru besar sendiri, Hassan Mamat.

“Saya hanya mementingkan asas latihan bola tampar sahaja dalam latihan mereka dan tidak mengharapkan kemenangan besar memandangkan mereka mula belajar tanpa asas apa-apa.

“Nasib menyebelahi mereka apabila pasukan lelaki mendapat johan dan pasukan perempuan mendapat tempat naib johan,” katanya.

Pasukan tersebut seterusnya akan mewakili Zon II di peringkat PPD. Hamidah berharap akan mendapat juara bagi mewakili Bachok di peringkat negeri Kelantan supaya pengalaman anak murid yang dilatih beliau bertambah dalam sukan bola tampar ini.