SISTEM penuaian hujan dibina di Sekolah Kebangsaan (SK) Chabau dalam usaha membantu mengurangkan penggunaan air dan menurunkan bil di sekolah itu.

Penaung Program Eco-School Sk Chabau, Datuk Ghazale Muhamad berkata, pelaksanaan projek di bawah Program Pemuliharaan Air (Projek Penuaian Air Hujan Di Sekolah Melaka) dan Program Exo-School itu mendapat kerjasama pihak Utem, UPM dan WWF.

Menurutnya, ia merupakan kaedah terbaik mendidik generasi muda khususnya dalam kalangan murid-murid mengenai kepentingan hujan.

“Ini termasuklah bagaimana hendak menuai hujan yang saya rasa tidak semua tahu mengenainya.

“Pendedahan awal ini juga adalah ilmu sangat baik kepada murid-murid selain pelbagai manfaat kepada pihak sekolah,” katanya.

Jelas Ghazale, inisiatif dijalankan diharapkan dapat membuka mata masyarakat mengenai isu kekurangan air dan kesan-kesannya.

“Seperti kita tahu, air sangat penting untuk kehidupan. Kerana itu pembaziran air perlu dijauhi.

“Menerusi aktiviti-aktiviti dilaksanakan hari ini, saya yakin ia dapat menyampaikan mesej kepentingan air kepada semua terlibat termasuklah komuniti setempat,” katanya.

Jelas Ghazale, penglibatan Utem adalah bagi mengenalpasti dan membantu menjaga kualiti.

“Kualiti ini termasuklah bagi aspek bebas klorin dan nyamuk.

“Apabila diyakini tahap kualiti memuaskan, barulah boleh digunakan untuk menyiram tanaman, mencuci longkang dan sebagainya,” katanya pada majlis perasmian program berkenaan.

Hadir sama Timbalan Dekan (Siswazah dan Jaringan Industri dan Masyarakat), Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan UPM, Prof Dr Shamsul Bahri Mohd Tamrin, Penyelaras program (projek tadahan air hujan) Jabatan Kesihatan Persekitaran dan Pekerjaan, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan UPM serta Pensyarah Fakulti Kejuruteraan Mekanikal Utem, Dr Tee Boon Tuan.