KREATIFNYA cikgu!, demikian gambaran paling sesuai digunakan buat Cikgu Sudin dan Cikgu Syafiq.

Cikgu Sudin menggunakan gitar manakala Cikgu Syafiq pula dengan kostum adiwira seperti Ultraman, Iron Man, Spider Man dan banyak lagi.

Walaupun berbeza usia namun kedua-dua guru ini mempunyai semangat yang luar biasa dalam mengajar dan mendidik anak bangsa.

Cikgu Sudin atau nama sebenarnya Samsudin Seri, 64, seorang pesara guru yang masih setia mengajar kelas tambahan di rumahnya di Kampung Parit Betak, Pontian, cukup dikenali penduduk terutama di sekitar Benut dan sempadan Batu Pahat-Pontian.

Bagi guru muda, Syafiq Md Yusof, 30, atau Cikgu Syafiq gelaran seperti Cikgu Spiderman sering diberikan kepadanya kerana dia gemar mengenakan kostum adiwira tersebut untuk menarik minat murid-murid belajar dan bertutur dalam Bahasa Inggeris.

Kisah Cikgu Syafiq yang menyambut murid-murid dengan memakai kostum Spiderman pada hari pertama sesi persekolahan awal tahun ini di Sekolah Kebangsaan (SK) Rambah, mendapat perhatian ramai dan tular di media sosial.

Sinar Harian berkesempatan bertemu kedua-dua guru ini, yang tidak lokek berkongsi kisah suka duka mereka sepanjang bergelar warga pendidik.

 

Gitar jadi peneman  

Sudah lebih 30 tahun Cikgu Sudin mengajar kelas tambahan di rumahnya dengan bertemankan gitar sebagai alat bantu mengajar.

Bapa kepada enam anak ini mengakui jiwa sebagai seorang penduduk sukar dipisahkan meskipun dia sudah bersara.

Lihat sahaja jadual kelas tambahan Cikgu Sudin, begitu padat dan dia hanya berehat pada hari Khamis sahaja.

Cikgu Sudin yang merupakan bekas guru di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Parit Betak, tidak sanggup menolak hajat ibu bapa yang mahu dia terus mengajar kelas tambahan untuk anak-anak kampung.

“Saya tak pernah penat dalam mengajar sebab ilmu ini perlu dikongsi. Selagi diberi kesihatan, saya akan mengajar dengan bertemankan gitar.

“Paling tak disangka, pelajar yang dulu tidak cemerlang dalam subjek Sains, berjaya mendapat A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun lepas,” katanya.

Menurut Cikgu Sudin, dia mahu terus berjuang untuk mengubah persepsi pelajar luar bandar yang menganggap subjek Sains dan Matematik begitu sukar.

Lagu-lagu formula akan dinyanyikan bersama petikan gitar dalam setiap kelas tambahan yang diadakan bagi menarik minat pelajar dalam subjek sains, biologi, matematik tambahan dan matematik.

Katanya, penggunaan gitar sebagai alat bantu mengajar sudah lama digunakan ketika mengajar di sekolah.

“Sewaktu menjadi guru di sekolah, saya lihat pelajar suka menyanyi di dalam kelas dari situ timbul idea untuk membuat lagu dari formula sains dan matematik.

“Lagu pertama yang digubah ialah Hujan nyanyian Sudirman yang mana liriknya menjadi formula kitaran nitrogen.

“Hanya menggunakan gitar berharga RM60, saya nyanyikan lagu yang digubah itu di dalam kelas, ternyata pelajar begitu seronok mendengarnya,” katanya.

Kini Cikgu Sudin mempunyai lebih 50 lagu formula dengan pelbagai lirik dan muzik yang digubah sendiri menggunakan gitar.

 

Kejutan Iron Man

Minat begitu mendalam terhadap adiwira memberi idea kepada Cikgu Syafiq untuk mengenakan kostum bagi menarik minat murid terhadap subjek Bahasa Inggeris yang diajar.

Ada sahaja idea Cikgu Syafiq. Bukan mengenakan kostum, Cikgu Syafiq juga pandai membuat kostumnya sendiri.

Dia kini sudah memiliki lebih tujuh kostum adiwira antaranya Spiderman, Ultraman, Power Rangers, Kamen Rider, Black Panthers dan Strom Trooper.

Sempena Hari Guru, Cikgu Syafiq telah menyiapkan kostum khas Iron Man.

Cikgu Syafiq berkata, kostum dengan anggaran RM400 itu dibuat sendiri semata-mata mahu memberi kejutan khas kepada murid-murid.

“Bila tengok reaksi murid terkejut dan ketawa, ia satu kepuasan yang sukar digambarkan sebagai seorang pendidik.

“Kejutan Iron Man muncul ketika sambutan Hari Guru di SK Rambah sememangnya tidak sangka murid-murid dan cikgu-cikgu,” katanya.

Cikgu Syafiq turut memiliki lebih 1,000 figura kamen rider dan pelbagai koleksi kostum, lego, dan mainan adiwira yang dikumpulkan sejak 10 tahun lalu sewaktu dia menuntut di United Kingdom.