BATU PAHAT - Seramai 346 pelajar sekolah menengah dalam daerah ini diberi pendedahan berkaitan dengan ibadah Rukun Islam yang kelima, iaitu ibadah Haji dengan menyertai Program Simulasi Haji Perdana Sekolah Menengah 2017 (SHPSEM 2017).

Dalam program yang mampu meningkatkan iltizam pelajar untuk mengerjakan haji di usia muda itu telah dianjurkan oleh mahasiswa Kursus Kokurikulum Umrah dan Haji (UQD10301) Seksyen 1 di bawah Pusat Pengajian Umum dan Kokurikulum, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)

Pengajar program berkenaan, Abd Khalil Abd Rahim, program yang diadakan di Masjid Sultan Ibrahim merupakan program kolaboratif UTHM bersama Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Batu Pahat, Tabung Haji Batu Pahat serta Pusat Islam, UTHM.

Katanya, program ini dipengerusikan oleh Ketua Unit Pendidikan Islam PPD Batu Pahat Md Faridhilmi Muslimin, melibatkan pelajar tingkatan empat dari 30 sekolah di sekitar daerah Batu Pahat.

“Penganjur menggalas tanggungjawab yang besar dalam memastikan para peserta dapat mengaplikasikan pengetahuan dan kemahiran yang dipelajari di bilik darjah secara praktikal dan simulasi di medan,” katanya ketika ditemui.

Dalam pada itu perasmian program disempurnakan oleh Penolong Pengarah Pendidikan Islam Elektif & KKQ, Jabatan Pendidikan Negeri Johor, Mohd Khairul Latif dan Pengurus Tabung Haji Daerah Batu Pahat Md Ghazali Jonet.

Katanya, pelajar yang telah lengkap berpakaian ihram dari sekolah masing-masing, diajar berniat umrah di Miqat yang telah ditetapkan kerana mereka melakukan Haji Tamattuk.

“Usai amali umrah, taklimat haji bermula disusuli amali rukun haji yang diserikan dengan bacaan khutbah Arafah oleh seorang wakil pelajar, Muhammad Irfan Iman Abd Samad pelajar tingkatan 4, SMK Dato’ Syed Esa.

“Simulasi Khutbah Arafah itu dibacakan dengan penuh perasaan sehingga hampir keseluruhan peserta mengalirkan air mata keinsafan.

“Saya tidak percaya bahawa pembaca khutbah sebentar tadi merupakan pelajar tingkatan empat. Bacaannya sangat menyentuh hati setiap orang yang mendengarnya,” katanya.

Tambahnya, pelajar meneruskan simulasi ibadah Haji mereka dengan mengutip anak batu di Mudzalifah, sebelum bergerak ke Mina untuk amali lontaran Jamrah Kubra.

Katanya, selepas bertahalul awal, para pelajar melengkapkan lontaran jamrah untuk hari ke 11, 12 dan 13 Zulhijah sebelum bergerak ke Dataran Masjid Sultan Ibrahim untuk melakukan ibadah Tawaf dan Saie. Maka, berakhirlah simulasi ibadah haji mereka untuk program ini.

“Saya dapat melihat para peserta begitu seronok melakukan ibadah ini secara praktikal, berbanding belajar secara teori semata-mata di bilik darjah.

“Diharapkan program ini dapat dijadikan sebagai program kerjasama rutin tahunan bagi memberi lebih kefahaman sekali gus memupuk minat  peserta menunaikan Rukun Islam yang kelima,” katanya.

Ujarnya, program usahasama berimpak tinggi ini merupakan suatu jalinan dan jaringan peranan dalam memasyarakatkan UTHM bersama komuniti.  

“Sudah terang lagi bersuluh, profesionalisme dalam tugasan dapat dimaksimumkan kerana didasari oleh kerjasama dan muafakat erat semua pihak yang terlibat.  

“Semoga kerjasama ini dapat dilestarikan ke arah pembelajaran sepanjang hayat pelajar dan pembangunan sahsiah mapan generasi muda yang berjiwa agama,” katanya.