TIDAK kira sama ada dulu atau sekarang, jika pelajar ditawarkan ke sekolah asrama (asrama penuh), tentu mengundang gembira kepada ibu bapa.

Tawaran ke sekolah asrama umpama cap mohor yang menunjukkan anak atau individu tersebut seorang yang cerdik dan pintar. Dan sudah tentu belajar di sekolah asrama dianggap satu kelebihan.

Untuk melayakkan diri ke sekolah bukan mudah. Murid atau pelajar mestilah memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan besar UPSR dan PT3.

Namun, pelajar cemerlang tidak hanya muncul dari sekolah asrama. Malah, sekolah harian tidak kurang hebat. Setiap tahun bila keputusan PT3, SPM dan STPM diumumkan, ramai calon dari sekolah harian tampil dengan keputusan lebih baik daripada calon dari sekolah asrama.

Sememangnya banyak jenis dan gelaran sekolah menengah boleh dipilih sama ada oleh ibu bapa atau anak.

Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK), Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA), Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) seperti pondok, madrasah dan sekolah agama Islam lain, menuntut secara harian atau berasrama antara pilihan.

Mereka memiliki keputusan baik dalam UPSR dan PT3 boleh memohon untuk ke Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), Sekolah Berasrama Penuh (SBP) atau Sekolah Kluster jika berminat.

Tidak ketinggalan Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) yang mempunyai etos atau identiti unik.

Anak meminati seni dan bidang kreatif pula mungkin boleh mencuba Sekolah Seni yang juga institusi pendidikan formal menyediakan kemudahan menggilap dan menggarap potensi dan bakat diri. Bagi kaki sukan, sekolah sukan seperti Sekolah Sukan Bukit Jalil antara tersedia.

Selain itu, sekolah dengan konsep tertentu seperti Sekolah Amanah (separa korporat) dan Sekolah Bestari kebanyakannya menggunakan ICT dalam pengajaran dan pembelajaran di sekolah juga boleh masuk senarai.

Pelbagai sekolah yang ditawarkan di Malaysia bukan? Sama ada yang berasrama atau tidak, mana-mana boleh dipilih ikut kelayakan. Tepuk dada tanya lah selera, mana yang terbaik untuk anda.

Sekolah yang mana satu jadi pilihan pelajar-pelajar ini pula?

“Tidak kisah berasrama penuh atau tidak, janji sekolah itu ada tempat tinggal selesa. Sekolah berasrama lebih memudahkan saya untuk belajar dalam kumpulan selain dapat berdikari.”  - Nursyahira, 12

"Sudah tentu sekolah seperti SBP dan MRSM jadi pilihan kerana dapat jumpa dan bersaing dengan kawan-kawan yang pandai. Selain itu dapat tidur dan makan bersama kawan sekolah dan ini akan semakin merapatkan hubungan.” - Danish Iskandar, 12

"Saya lebih suka sekolah di asrama kerana dapat kenal kawan baharu dan dapat berdikari. Bila di asrama saya dapat meringankan beban ibu kerana tidak perlu menguruskan saya lagi.” - Adib Izudin, 10

"Saya  memilih sekolah harian kerana dapat duduk bersama ibu bapa. Jika saya tinggal di asrama saya tak dapat tolong ibu jaga adik-adik yang lain.” - Nurul Syafiqah, 8

"Sekolah asrama lebih seronok berbanding sekolah harian kerana akan lebih mengenali kawan-kawan dan lebih rapat dengan guru. Jika tak faham sesuatu subjek, mudah untuk dapatkan rujukan kerana mereka ada di sekitar kita.” - Aminudin, 14

"Saya tak mahu sekolah asrama kerana banyak dengar cerita seram, sekolah kebangsaan di rumah sudah cukup." - Iffti Lyiana, 6

"Saya pilih sekolah harian, terutama yang dekat dengan rumah. Ramai kawan yang saya kenal. Jadi tak perlu cari kawan baharu.” - Madiha, 6

 

 

"Saya pilih sekolah harian sebab dekat dengan rumah, mudah untuk pergi dan balik. Banyak masa dapat bersama mak dan ayah.”

Mardiah, 7

 

 

"Saya lebih meminati sekolah berasrama penuh. Di sana orang akan lihat kita sebagai budak yang pandai. Hanya budak pandai dapat masuk sekolah asrama.”

Amru Umai, 7

 

 

“Saya pilih sekolah berasrama sebab dapat bertemu kawan baharu, dapat disiplinkan diri, dapat belajar mengemas dan basuh baju sendiri.”

Amir Zafran, 9