MULA beroperasi pada 19 Ogos 2013, Sekolah Bimbingan Jalinan Kasih (SBJK) kian dikenali. Sekolah ini antara inisiatif Kementerian Pendidikan (KPM) terhadap keperluan meneruskan usaha memberikan akses pendidikan kepada kanak-kanak jalanan sekitar Kuala Lumpur, antara kumpulan terpinggir di negara ini.

Segala kemahiran dirasakan sesuai diwujudkan dan memberi golongan muda di sini mengasah potensi diri, seperti dalam seni, muzik, masakan dan sebagainya tersedia di institusi ini.  

Pengetuanya, Zulkernai Fauzi berkata, sekolahnya hanya memberikan ruang kepada kira-kira 143 murid dan pelajar di SBJK buat masa ini untuk berkarya dan mengasah kemahiran ada pada mereka.

"Bukan semua pelajar mempunyai potensi dalam bidang sama, jadi kita memang mengalu-alukan kedatangan mereka ini di sini. Ini kerana potensi kanak-kanak ini cukup besar.

"Akademik bukanlah fokus utama kita, itu mungkin di sekolah biasa. Tapi di sini, kita menekankan untuk mereka dapatkan kemahiran asas 3M (membaca, mengira, menulis) sahaja. Dapat asas sahaja sudah mencukupi daripada mereka sebelum ini yang tidak pernah bersekolah, malah boleh kembangkan bakat diri dengan kemahiran diberi," katanya kepada GPS Bestari.com ketika mengulas perkembangan SBJK selepas lebih tiga tahun beroperasi.

Menurutnya, selaku pentadbir, beliau berbangga usaha melalui KPM ini dapat mewujudkan satu-satunya sekolah untuk golongan anak hendak pergi ke sekolah, tetapi tidak berkemampuan serta banyak kekangan.

Zulkernai berkata, antara murid dimasukkan ke sekolah ini adalah kanak-kanak tanpa dokumen pengenalan diri di mana ibu bapanya warganegara atau salah seorang ibu bapanya warga negara.

"Selain itu, murid tercicir dari sistem persekolahan harian secara berpanjangan kerana kemiskinan, yatim piatu yang tinggal di pusat jagaan kanak-kanak berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan kanak-kanak warganegara menghadapi masalah sosial tidak sihat atau mangsa kepada gejala sosial antara syarat kemasukan ke sekolah ini.  

"SBJK ini juga unik kerana satu-satunya sekolah menyediakan perkhidmatan pendidikan formal dengan modifikasi daripada segi kurikulum dan 'pengoperasian' sekolah bersesuaian dengan keadaan setempat dan sesuai dengan situasi kanak-kanak jalanan dan terpinggir," katanya.

Cari pelajar

Jika di sekolah biasa, ibu bapa atau penjaga yang akan menghantar anak mereka ke sekolah. Tetapi istimewanya di SBJK, Zulkernai dan barisan gurunya sendiri akan keluar mencari pelajar berkaitan yang memerlukan bagi ditempatkan di SBJK.

Zulkernai berkata, justeru pihaknya sering kali turun padang untuk program tersebut. Malah kadangkala beliau turun berseorangan dan menyembunyikan identiti untuk mencari anak-anak golongan ini terutama di celah-celah lorong dan kawasan 'tersembunyi' sekitar bandar Kuala Lumpur, biarpun mengambil waktu hingga awal jam 2 ke 3 pagi.

INFO

Keunikan SBJK:
-Satu-satunya sekolah menyediakan makanan percuma tiga kali sehari kepada pelajar: sarapan, makan tengah hari, makan petang.
-Proses pembelajaran bersifat didik hibur (fun learning) dan fleksibel.
-Beroperasi pada waktu pejabat 8 pagi- 4 petang.
-Satunya-satunya sekolah pelajarnya tidak perlu memakai uniform sekolah untuk tidak membebankan penjaga.
-Pembelajaran secara multi-grade learning (tiada tahun dan tingkatan, tetapi pelbagai pelajar umur ditempatkan dalam satu kelas menggunakan modul pembelajaran khas SBJK oleh KPM kerana ada pelajar sudah berusia 17 tahun namun tidak pernah bersekolah).

Antara kemudahan:
-Makmal komputer
-Bilik seni
-Bengkel jahitan, masakan
-Nursery/ hidroponik
-Studio muzik
-Bilik rawatan, pergigian

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • SIAPA sangka, dengan hanya mula-mula ikut abang ke padang bola untuk melihat abangnya berlatih tapi akhirnya dia terjebak dengan sukan yang dimonopoli lelaki itu.
  • KEPUTUSAN sekumpulan tiga pelajar Sekolah Menengah (SM) Imtiaz Yayasan Terengganu Besut memilih untuk membuat penyelidikan menghasilan baja organik (Oil Fertilizer) daripada bahan terbuang untuk dipertandingkan ternyata membuahkan hasil kepada mereka.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.