LUMUT- Seramai 680 peserta meliputi murid sekolah, anggota Tentera Laut DiRaja Malaysia (TLDM) Pangkalan TLDM Lumut dan ibu bapa dalam Pangkalan TLDM Lumut telah menyahut seruan Jom Baca Bersama Selama 10 Minit yang dijalankan serentak seluruh negara semalam.

Program yang diadakan di Mutiara Armada TLDM Lumut itu dihadiri Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Perak, Mohammad Nazari Abdul Hamid.

Mohammad Nazari berkata, program itu dijalankan serentak di seluruh negara bagi memupuk budaya membaca dalam kalangan masyarakat.

Menurutnya, langkah awal memupuk budaya membaca itu adalah melalui amalan membaca selama 10 minit.

“Membaca selama 10 minit adalah sebagai satu cara kita menyedarkan masyarakat supaya melakukan aktiviti ini walaupun bukan kerap dan dalam jangka masa panjang namun masih ada waktu tertentu diperuntukkan untuk membaca.

“Tujuan kita adalah untuk ‘mengejutkan’ masyarakat melalui Jom Baca Bersama Selama 10 Minit ini supaya selepas ini ia boleh menjadi satu budaya yang baik,” katanya ketika ditemui pada program itu semalam.

Katanya selain Jom Baca Bersama Selama 10 Minit, pihaknya turut mengadakan pertandingan melukis untuk kanak-kanak prasekolah dan pameran bas perpustakaan bergerak multimedia.

“Ini adalah program selingan yang kita laksanakan dalam Pangkalan TLDM Lumut pada hari ini (semalam) sebagai memeriahkan program,” katanya.

Perasmian program peringkat negeri Perak itu disempurnakan Panglima Kesiagaan Laksamana Pertama Mohammad Ruzelme Mohd Fahimy mewakili Panglima Armada Barat Laksamana Madya Datuk Mohamad Roslan Mohamad Ramli.