PERSATUAN Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Kebangsaan Tuanku Adul Rahman (STAR), Gemas meraikan guru tingkatan enam atau pra universiti (pra-u) sebagai penghargaan kepada mereka.

Yang Dipertua PIBG Gemas, Mohd Yusoff Ismail berkata, penghargaan berkenaan adalah sebagai simbolik ucapan terima kasih warga sekolah apabila barisan guru pra-u telah berjaya membantu seramai 52 daripada 77 pelajar menjejakkan kaki ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA) ambilan 2017.

Menurutnya, ia adalah pencapaian cemerlang dan sewajarnya jasa, pengorbanan dan kesungguhan guru dalam meningkatkan prestasi akademik pelajar khususnya di tingkatan enam perlu dihargai.

“Malah, kita selaku PIBG sangat bersyukur dengan pencapaian ini. Justeru kita juga berharap agar kecemerlangan ini akan dapat diteruskan lagi, hasil kerjasama semua pihak terutama guru dan tentunya pelajar yang bakal melanjutkan pelajaran mereka.

“Malah, usaha kita ini juga adalah bagi memberikan contoh kepada pelajar dan pihak lain, untuk sentiasa menghargai jasa guru masing-masing terutamanya dalam mendidik pelajar,” katanya kepada Sinar Harian, di sini.

Sementara itu, Guru Penolong Kanan Tingkatan 6, Norasyikin Aris berkata, pencapaian STPM 2016 STAR Gemas merupakan pencapaian terbaik yang pernah dicapai oleh pihak sekolah.

“Oleh itu, sempena majlis ini, sijil penghargaan Anugerah Pengetua telah disampaikan kepada semua guru tingkatan enam.

"Sijil ini bukan sahaja sebagai penghargaan malah diharap menjadi sumber motivasi untuk terus memberikan perkhidmatan lebih baik kelak, dalam melahirkan modal insan berjaya," katanya.

Turut hadir meraikan guru, Pengetua STAR Gemas, Kamarulzaman Hasanuddin.

Untuk rekod, Sinar Harian 1 Mac lalu melaporkan STAR Gemas mencatatkan sejarah paling manis dalam keputusan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2016, apabila seramai 44 daripada 77 calon memperoleh Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 3.0 ke atas.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • BATU PAHAT - Tidak semua wanita mahupun mereka yang bergelar ibu, layak untuk menjadi pengasuh atau tenaga pengajar di taska juga tadika.
  • Ibu bapa dan pelajar Sekolah Sukan Terengganu Bukit Nenas (SSTBN) diberi taklimat mengenai Liga Bola Sepak Kementerian Pendidikan Malaysia yang dijangka berlangsung Mac ini dalam Program Motivasi Atlet Sukan Bola Sepak SSTBN, di sini.
  • SATU kolaborasi antara Sekolah Kebangsaan Pagar Museh dan Majlis Perbandaran Kulim (MPKK) diadakan untuk mendidik warga sekolah dengan amalan kitar semula.
  • Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Batu Laut yang mempunyai rekod kehadiran 100 peratus hadir ke sekolah tanpa cuti sepanjang tahun 2018 berpeluang membawa pulang sebuah motosikal.
  • Pendidikan mengenai penjagaan alam sekitar dengan kaedah kitar semula perlu diterapkan di peringkat sekolah rendah melalui aktiviti yang menyeronokkan.