HANYA tinggal beberapa hari saja lagi menjelang 2017. Sedar tak sedar tahun 2016 akan ditinggalkan. Cepat sungguh masa berlalu.

Bagi murid dan pelajar khasnya mengambil peperiksaan penting seperti UPSR dan terbaharu, PT3 dengan mencapai A sebanyak yang diazamkan, pastinya berpuas hati. Tetapi harus diingat, keazaman tidak seharusnya berhenti setakat itu.

Seharusnya menjelang tahun baharu ini pembaharu azam. Apa pun pastinya ramai sudah membuat perancangan dan sasaran tertentu. 

Bukan sahaja guru-guru, murid dan pelajar ada sudah menanam azam ingin dicapai menjelang tahun baru nanti.

Namun imbas kembali, seiring waktu meninggalkan kita sebelum menjengah tahun depan, sudahkah azam tahun ini tercapai? Kalau jawapannya tidak, kenangkan kembali puncanya?

Jika sikap dan tindakan kita masih sama hingga menyebabkan tiadanya perubahan itu, secara logiknya akan sama sahaja pencapaian kita kecapi pada tahun hadapan.

Memetik artikel Bahagian Pengurusan Psikologi, Jabatan Perkhidmatan Awam, kajian berkenaan azam tahun baru rakyat Amerika telah dijalankan oleh Norcross, Mrykalo, & Blagys (2002) mendapati sebanyak 75 peratus subjek kajian mengekalkan azam mereka hanya dalam minggu pertama Januari dan bilangannya menurun ke 64 peratus selepas sebulan. Setelah enam bulan, sebanyak 46 peratus sahaja subjek kajian yang masih kekal dengan azam masing-masing.

Kalau dilihat secara rambang, kebanyakan kita juga berlaku begitu. Kata orang, azam baru hanya hangat-hangat tahi ayam. Bagaimana kita hendak tetapkan pendirian supaya tidak lari daripada landasan azam tersebut?

Antara tip diberikan, menurut Profesor Wiseman, pakar sains kefahaman psikologi dari Universiti Hertfordshire United Kingdom, antara masalah utama bagi resolusi yang tidak tercapai kerana azam itu tidak realistik.

Azam tahun baru hendaklah tidak terlalu sukar untuk direalisasikan dan mempunyai sifat SMART iaitu Specific, Measureable, Achievable, Realistic and Time Bound.

Pendek kata, azam tahun baru perlu mempunyai sasaran spesifik, sasaran kejayaan boleh diukur, mampu dicapai dengan usaha, realistik dan mempunyai tempoh masa terhad. Persoalannya pentingkah azam tahun baru?

Wujud dalam diri

Mengulas lanjut Fokus minggu ini dengan GPS Bestari.com, Pegawai Psikologi Kanan, Bahagian Kaunseling Universiti Putra Malaysia (UPM) Kemelia Omar berkata, azam boleh diertikan sebagai kemahuan, keinginan ataupun impian yang sangat kuat.

Berazam pula membawa maksud bercita-cita tinggi untuk melakukan atau mencapai sesuatu dalam hidup mereka. Dalam erti kata lain, azam juga boleh bertindak sebagai penanda aras kepada kesungguhan seseorang dalam mencapai matlamat.

"Selain itu, azam juga boleh menjadi pemangkin kepada keberanian seseorang untuk melakukan sesuatu melebihi daripada tahap biasa.

"Setiap kali menjelang tahun baru, kita pastinya akan melihat pelbagai acara dan sambutan sangat meriah di seluruh dunia. Seiring dengan sambutan dan kemeriahan itu, ada kewajaran jika ianya diiringi dengan azam dan semangat baru. Konsep sebegini sememangnya wujud dalam setiap diri individu untuk membuktikan kita menghayati erti tahun baru yang sebenar," katanya.

Menurutnya, namun perlu diingatkan bahawa setiap kejayaan perlulah bermula daripada perancangan teliti dan realistik. Di samping itu, perancangan juga perlu diikuti dengan pelaksanaan sistematik dan bersungguh-sungguh.

Katanya, dalam situasi persekolahan pula, pelajar yang terlibat dengan peperiksaan penting seperti UPSR, PT3, SPM dan STPM semestinya lebih menunjukkan kesungguhan dalam menetapkan azam.

Begitu juga dengan guru-guru sekolah, mereka juga perlu sentiasa menanam azam yang lebih baik saban tahun terutamanya dari segi pencapaian akademik pelajar-pelajar mereka.

"Namun, azam menjadi pelajar cemerlang bukan sahaja perlu pada mereka yang akan menduduki peperiksaan penting.

"Semua pelajar juga perlu mempunyai azam sebegini supaya mereka lebih bersedia menempuhi peperiksaan penting walaupun masih lagi berada di tingkatan 1, 2 dan 4," katanya.

Tindakan perlu seiring  azam

Tanam tekad bukan hanya ketika menjelang tahun baharu

Individu berjaya tentunya akan sentiasa membina azam tanpa mengira masa dan bukannya hanya ketika menjelang tahun baru sahaja.

Azam baru perlu sentiasa dibina setiap kali azam lama dapat dicapai. Ini kerana, azam seumpama kuasa penggerak. Ia boleh mencetuskan usaha, semangat dan kerajinan seseorang untuk menjadikan sebuah impian mereka menjadi kenyataan.

Kemelia berkata, bagi guru-guru pula, antara halangan terbesar dihadapi golongan itu dalam membantu pelajar sekolah mencapai kejayaan ialah diri anak didik itu sendiri.

"Contohnya, seorang pelajar tidak akan mampu menggapai kejayaan cemerlang sekiranya pelajar itu sendiri tidak mempunyai kesedaran berubah ke arah lebih baik.

"Selain itu, pelajar juga perlu patuh kepada tindakan perlu dilakukan agar seiring dengan azam sebenar mereka. Antaranya, iaitu lebih fokus kepada pembelajaran di dalam kelas dan lebih rajin membuat ulang kaji di rumah. Kegagalan mematuhi tindakan sebegini akan menyebabkan azam yang mereka bina tidak akan tercapai," katanya.

Menurutnya, kunci kepada penetapan azam yang sebenar ialah keinginan tinggi untuk berubah seumpama api sedang marak menyala.

Dalam situasi pelajar sekolah, terdapat beberapa persoalan perlu dipertimbangkan supaya azam dibina itu tidak lari daripada landasan sebenar. Antara persoalannya, "Adakah anda benar-benar ingin mencapai azam itu?”, “Mengapa anda ingin mencapai azam itu?”, “Apakah yang akan anda peroleh jika azam itu tercapai?”, “Apakah pengorbanan perlu anda lakukan untuk mencapai azam itu?”

Katanya, sekiranya jawapan diberikan itu lebih kepada tidak pasti atau kurang jelas, maka kebarangkalian besar azam itu tidak diperlukan oleh anda.

Oleh demikian, anda perlulah mencari azam lain yang anda sendiri benar-benar perlukan. Namun, jika azam dan keinginan jelas, anda perlulah membuat pilihan dengan menetapkan apakah tindakan-tindakan perlu dilakukan dan bersedia mengambil risiko atas keputusan diambil.

"Setiap manusia pastinya letakkan harapan tinggi untuk mengecap kebahagiaan dan kecemerlangan segera hadir dalam setiap detik kehidupannya. Tiada seorang pun di dunia ini inginkan sesuatu yang buruk dan malang.

"Namun, kita perlu sedar untuk mengecap kebahagiaan dan kejayaan itu bukan perkara mudah. Ia perlukan semangat dan tekad kuat tanpa mengenal erti putus asa," katanya.

Tegasnya, tiada kejayaan diperoleh tanpa usaha, penat lelah dan komitmen tinggi. Kejayaan dan kecemerlangan itu hanyalah milik individu yang konsisten dalam usaha meraih peluang mereka ada.

Kuatkan jiwa pendidik

Memberi pandangan dari kaca mata pendidik, guru Sekolah Menengah Islam Zadut Taqwa, Shah Alam, Ummu Athirah Roslan pula berkata, azam tahun baharunya untuk menjadi seorang guru yang bukan sahaja menyampaikan ilmu, tetapi nekad memastikan anak-anak murid mengamalkan ilmu dipelajari.

Athirah menyifatkan memberi ilmu mudah, tetapi memberi didikan adalah sesuatu yang sangat sukar.

"Ilmu tanpa pendidikan akan menjadikan ilmu dipelajari sia-sia dan tidak bermanfaat. Kalau kita lihat sekarang pun, jumlah guru ramai tetapi pendidik tak ramai.

"Sedangkan tugas pendidik menentukan pendidikan umat terus berjalan dan tepat pada sasarannya. Sebab itu, jiwa guru atau pendidik mestilah dikuatkan dan didorong atas dasar menjalankan amanah ALLAH dan Rasul, bukan sekadar cari makan," katanya.

Ummu Athirah berkata, oleh kerana kerja-kerja guru atau pendidik adalah seperti tugas para nabi dan rasul, maka ikutannya sendiri dalam berazam adalah dalam kalangan mereka yang mampu mewarisi kepimpinan, kealiman atau keperibadian para nabi iaitu para ulama, mujaddid juga mujtahid dan alhadis, iaitu mereka pewaris nabi.

“Setiap kamu adalah pemimpin dan bertanggungjawab atas yang dipimpinnya" - Riwayat Bukhari dan Muslim serta “Sebaik-baik manusia adalah manusia yang memberi manfaat kepada manusia lain" - Riwayat At Tabrani - ini antara dipegang Athirah.

Ditanya siapa seharusnya memberi dorongan kepada guru dalam berazam, katanya semua pihak sepatutnya memberikan dorongan dan galakan kepada golongan pendidik.

Menurutnya, ini kerana pendidikan bukan sahaja di sekolah sebaliknya berlaku 24 jam di mana sahaja murid dan pelajar itu berada.

 "Waktu makan ada didikannya, waktu bermain ada didikannya bahkan nak tidur pun ada didikannya," katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KLANG - "BEST tak jadi anak cikgu?"Mungkin ini persoalan yang biasa anda dengar dalam kalangan rakan-rakan sekolah. Ada yang cakap, 'Untunglah jadi anak cikgu, semua dapat'. Tak kurang juga, ada yang beritahu 'kau tak payah berangan nak bertanding jawatan Ketua Pengawaslah Haris, confirm anak Cikgu Salleh tu yang menang'...
  • DULU, saya mula tuisyen ketika umur 12 tahun. Itu pun sebab nak periksa UPSR. Nak bagi tambah lagi ilmu sedia ada.
  • ‘BELAJAR dari alam dan haiwan, kita semakin mengenal Tuhan.’ Memerhati pergerakan dan perbuatan haiwan, terlalu banyak yang boleh kita pelajari dan aplikasikan dalam kehidupan.
  • LAHIR di Malaysia, tetapi tidak fasih berbahasa Melayu. Itulah Muhammad Hariz Hakimi Nahrizul Adib, anak kepada pasangan pensyarah, Nahrizul Adib Kadri dan suri rumah, Raha Mat Ghazali.
  • SEKOLAH Menengah Islam Zadut Taqwa (SMIZT) ditubuhkan dalam usaha melahirkan generasi pelapis negara yang berilmu dan bertakwa kepada ALLAH SWT.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.