GURU Ahli Jawatankuasa (AJK) Keselamatan di sekolah yang dilantik perlu lebih agresif untuk mengendalikan sebarang aktiviti berkaitan.

Pegawai Bomba Kanan II, Ibrahim Mat Rohni berkata, ia penting untuk memastikan guru AJK keselamatan yang dilantik perlu lebih muda, proaktif dan bertenaga untuk memantau aspek keselamatan di sekolah.

Beliau berkata, guru atau warden perlu tahu bilangan murid yang hadir ketika sebarang latihan dilakukan untuk menghadapi sebarang kemungkinan bencana di sekolah.

“Latihan keselamatan di sekolah perlu untuk memastikan murid tahu kaedah menyelamatkan diri ketika kebakaran. Ketika berlaku kebakaran inilah AJK keselamatan perlu mengambil tahu bilangan murid yang hadir agar tiada yang terperangkap dalam bangunan.

“Kalau boleh elakkan lantik guru yang dah berusia dan nak pencen sebagai AJK Keselamatan kerana ia boleh merisikokan kesihatan mereka. Stamina mereka mungkin tak sekuat guru muda,” katanya ketika menyampaikan ceramah kebakaran di Sekolah Kebangsaan Pantai Senak baru-baru ini.

Hadir sama Guru Besar SK Pantai Senak, Mohd Daud Salleh.

Ibrahim berkata, sejak kes kebakaran maut di tahfiz beberapa bulan lalu, pihaknya menerima banyak undangan untuk mengadakan latihan kebakaran di sekolah dan sekolah agama.

“Boleh dikatakan 100 peratus sekolah sudah mengadakan kerjasama dengan bomba yang menunjukkan kesedaran mereka terhadap aspek kebakaran dalam bangunan ini semakin lebih baik.

“Di Bachok sendiri ada kira-kira sembilan buah tahfiz tetapi kebanyakannya tidak berdaftar dan sebab itulah mereka enggan memberikan kerjasama dengan bomba,” katanya.

Murid pra SK Pantai Senak turut bergambar dengan anggota bomba yang hadir ke sekolah mereka.

Ibrahim berkata, ancaman api yang paling bahaya ialah dari dalam bangunan atau rumah apabila mangsa terperangkap dan tidak dapat melepaskan diri daripada jeriji besi yang dipasang.

Kebanyakan kediaman mempunyai jeriji besi untuk keselamatan daripada penjenayah namun ia juga berkemungkinan menjadi perangkap maut ketika kebakaran.

Beliau berkata, jeriji besi yang boleh dibuka lebih selamat berbanding pasang siap kerana ia boleh dibuka ketika kebakaran berlaku.

“Ketika kebakaran, mangsa perlu duduk merangkak ketika berlaku kebakaran kerana asap lebih ringan berada di bahagian atas ruangan udara yang menyebabkan kita lemas asap dalam bangunan.

“Jika jeriji tingkap yang boleh dibuka, ia akan memudahkan urusan menyelamat dengan kunci yang diletakkan di tempat spesifik untuk memudahkan ia diambil ketika kecemasan. Namun, semuanya terpulang kepada pemilik rumah untuk memasang apa juga jenis jeriji di kediaman mereka,” katanya.