SERAMAI  15 orang peserta Persatuan Pengakap Malaysia menyertai program Perkhemahan Muhibah Langkawi – Jakarta dan Lawatan Penanda Aras 2017, baru-baru ini.

Program anjuran Kumpulan Pengakap 02 Langkawi, Sekolah Kebangsaan (SK) Kelibang Langkawi dengan kerjasama Gerakan Pramuka Kwartir Ranting, Palmerah dan Grogol Petamburan Jakarta Barat, Indonesia itu berlangsung pada 18 hingga 24 Disember lalu.

Penolong Pesuruhjaya Pengakap Daerah Langkawi, Ammar Qanwa Mokhtar @ Sota berkata, penganjuran program itu adalah bagi mengeratkan lagi silaturahim antara Pengakap Malaysia dan Indonesia.

“Objektif utama program ini adalah bagi membolehkan para peserta saling bertukar ilmu dan kemahiran dalam aspek pengakap.

“Selain itu, kita juga berharap para peserta dari Malaysia dan Indonesia dapat bertukar serta memahami budaya antara dua negara,” katanya.

Menurutnya, program itu disertai oleh lima murid sekolah kebangsaan dan 10 pelajar sekolah menengah di sekitar Kedah serta Kuala Lumpur.

“Sepanjang perkhemahan berlangsung, kita turut mengadakan pelbagai aktiviti termasuk lawatan ke kawah gunung berapi Gunung Kamojang Garut.

“Di sana, para peserta berpeluang merasai pengalaman berada dekat dengan kawah gunung berapi, melihat wap serta percikan api dari gunung berapi dengan lebih dekat,” katanya.

Sebahagian peserta perkhemahan menyertai aktiviti dalam kumpulan.

Jelasnya, para peserta kemudiannya dibawa pula melawat Stesen Penjanaan Elektrik Geothermal Gunung Kamojang Garut.

“Di tempat ini para peserta didedahkan macam mana penjanaan elektrik berlaku menggunakan wap daripada gunung berapi yang disalurkan kepada beberapa kawasan penempatan berdekatan.

“Selain itu, mereka juga dibawa melawat Masjid Al-Istiqlal dan lawatan ke monumen nasional (Monas),” katanya kepada Sinar Harian.

Ujarnya, program yang julung kali diadakan itu juga secara tidak langsung memberi peluang kepada murid dan pelajar untuk mengenali dunia luar khususnya budaya dan peradaban masyarakat di Indonesia.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • Majlis pelantikan pengawas, pustakawan, ketua dan penolong ketua kelas Sekolah Kebangsaan (SK) Chinchin bertujuan meningkatkan semangat mereka untuk menggalas tanggungjawab diamanahkan.
  • SEJUMLAH peruntukan telah diluluskan Ahli Parlimen Kuala Selangor, Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim untuk Tabung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMK Kuala Selangor.
  • GURU Ahli Jawatankuasa (AJK) Keselamatan di sekolah yang dilantik perlu lebih agresif untuk mengendalikan sebarang aktiviti berkaitan.
  • SERAMAI 100 murid Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Puteri yang layak menerima bantuan awal persekolahan.
  • KLUANG - Sebanyak 578 Sekolah Agama Kerajaan Johor (SAKJ) perlu menjadi benteng daripada ditembusi ideologi Daesh selain menjadikan muridnya berilmu dan berakhlak mulia.