BALING - Seramai 740 peserta termasuk pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Baling menyertai program Amali Haji Santuni Komuniti di Surau An Nur Taman Mesra anjuran surau berkenaan dan Tabung Haji Baling.

Guru Pendidikan Islam SMKA Baling Ummul Husna Yaacob berkata, program dengan kerjasama SMKA Baling itu bertujuan memberi pendedahan kepada pelajar dan masyarakat tentang ibadah haji dengan lebih dekat dan praktikal.

Menurutnya, program itu juga membudayakan sikap tolong menolong dan berinteraksi antara pihak sekolah dan komuniti luar.

“Program kali keenam ini melibatkan 700 bakal jemaah haji dan 40 pelajar tingkatan empat dan lima SMKA Baling.

“Hasil program, pelajar dapat memahami situasi sebenar dalam melaksanakan ibadah haji. Replika seperti Kaabah dan jamrah membantu kaedah pembelajaran dan meningkatkan kefahaman peserta,” katanya.

Tambahnya, SMKA Baling sentiasa mengalu-alukan program seumpama itu pada masa akan datang.

“Harapan saya pelajar dapat memanfaatkan ilmu yang diperolehi daripada program dengan sebaik mungkin bukan sahaja untuk menghadapi peperiksaan, tetapi bagi menambah kefahaman agama dalam diri,” katanya.

INFO

-Melibatkan 700 bakal jemaah haji dan 40 pelajar tingkatan empat dan lima SMKA Baling
-Dianjurkan Surau An Nur Taman Mesra dengan kerjasama Tabung Haji Baling